24 August 2013

Ada Usaha Untuk Jatuhkan Nazri Aziz?




Bertepatan dengan budaya Umno pada musim pemilihan, gerakan menjatuhkan pemimpin tertentu yang sudah established kini telah pun bermula. Jika ada sesuatu faktor yang mampu merosakkan perpaduan dalam Umno, malah melemahkan parti itu sendiri, maka inilah di antara faktor utamanya.

Lazimnya ia dimulai dan diusahakan oleh orang tertentu, sama ada di luar atau di dalam parti atas sebab yang hanya diketahui oleh mereka sendiri. Lazimnya ia berpunca daripada dendam dan hasad oleh mereka yang menyertai Umno kerana kepentingan peribadi.


Kali ini, di ambang pemilihan pucuk pimpinan Umno pada Oktober ini, tidaklah sukar untuk melihat betapa sasaran awal puak-puak ini ialah Datuk Seri Nazri Aziz, menteri berpengalaman yang juga dikenali sebagai ‘chief’. Usaha tidak murni ini dilihat dimulakan oleh orang di luar Umno.

Namun disebabkan usaha ini juga turut melibatkan bantuan gigih dari sebuah stesen TV swasta yang memanipulasi perihal anak lelakinya yang didakwa kononnya dibayar gaji oleh kerajaan, maka timbullah pula pelbagai spekulasi. Tiga malam berturut-turut stesen TV itu “menyerang” Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu  habis-habisan.



Muhamad Nedim, dilantik sebagai pegawai khasnya. Hal ini mula terdedah kerana nama Nedim dimuat dalam laman web kementerian berkenaan. Mereka mendakwa anaknya dibayar gaji oleh kerajaan tetapi hal ini dinafikan Nazri. Maknanya tak betullah fakta mereka. Pengkritiknya berpendapat ia conflict of interest yang tidak harus dibiarkan berlaku lebih-lebih lagi oleh orang macam Nazri.

Menyedari isu ini ibarat lalang kering bakal  menghanguskan politik nasional jika tidak dikawal, Perdana Menteri tampil dengan kenyataan susulan. Kalau ada sesiapa tak faham, Datuk Seri Najib Razak tampil dua kali mempertahankan anggota Kabinetnya. Najib berkata beliau berpuas hati penjelasan Nazri bahawa Nedim bertugas di kawasan Parlimen Nazri, bukan di pejabat menteri berkenaan dan gajinya pun Nazri yang bayar.

Justeru kenyataan Najib itu tentu tidak disenangi musuh-musuh “Chief” kerana ia secara tidak langsung memadamkan api yang cuba dihidupkan bagi tujuan membakar politik Nazri. Seperti kita maklum, lazimnya orang politik bila dikritik dan didedahkan dalam media mengenai salah laku mereka akan bertindak melepaskan jawatan. Namun hal ini tidak berlaku pada Nazri, malah ironinya kedudukan beliau semakin kuat.

Pembangkang juga turut mempromosikan perihal bukan-isu ini dengan melabelnya sebagai satu amalan nepotisme. Sebagai nota, pembangkang terlupa walaupun dalam Umno ada pemimpin tertentu yang memegang jawatan politik selepas bapa mereka berbuat demikian, namun semuanya melalui proses pemilihan yang sah.

Tidak ada berlakunya peristiwa si bapa menggunakan kuasa dan pengaruh supaya si anak menjadi timbalan presiden dan mengetepikan tokoh lebih berkelayakan seperti berlaku dalam PKR.

Jika perihal Nazri menggaji anaknya dengan wang peribadinya sendiri untuk membantu tugasnya di kawasannya, itu nepotismekah namanya?. Lainlah sekiranya Nazri memaksa Najib melantik anaknya senator dan menjadikan Nedim sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan.

Memang ada cerita atau cerita yang direka bagaimana dua NGO, satu daripadanya pernah bertelingkah dengan Nazri, dan seorang bekas pembangkang terlibat dalam usaha menjatuhkan Nazri dengan alasan dangkal ini.

Namun, penglibatan stesen TV swasta berkenaan dalam turut memainkan isu ini secara begitu bersungguh-sungguh menolak kemustahilan adanya tangan kotor di belakangnya.

Mari pula kita ulas pasal “serangan” terhadap Nazri kerana pemilihan Umno akhir tahun ini. Kerana yang menghairankan Nazri dan tokoh-tokoh seperti MB Perak, Menteri Kewangan Kedua,, MB Pahang, Shahrir Samad dan lain-lain lagi tidak mempertahankan jawatan Majlis Tertinggi. Mereka mahu memberi peluang kepada tokoh-tokoh jauh lebih muda bertanding. Rumusannya jelas Nazri diserang bukan kerana  pemilihan parti.

Apa yang menghairankan ialah jika bukan kerana isu pemilihan isu apa lagi yang menyebabkan tiga malam berturut-turut Nazri diheret dalam isu anaknya? Ketidaktamakan Nazri terhadap jawatan dan kegigihan bekerja, menyelesaikan masalah rakyat menerusi kementerian-kementerian yang pernah diketuainya sudah menjadi pengetahuan umum.

Tidak syak lagi memang terdapat keperluan menyokong Nazri dan dalam waktu sama menghapuskan apa juga budaya yang boleh porakkan Umno.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...