Oleh : Fathul Bari
Syahid adalah kemuliaan yang besar daripada
ALLAH. Tiada apa dapat menghalang orang yang syahid dari masuk syurga seperti
mana sabda Nabi SAW, “Yang terbunuh di jalan ALLAH akan dihapus semua dosanya
kecuali hutang.” (Riwayat Muslim). Antara syarat utama syahid adalah iman
kepada ALLAH dan RasulNya dengan sebenar-benar iman dan menjauhi segala
kesyirikan yang menjadi punca terbatalnya seluruh amal.
Firman ALLAH, “Barang siapa mengharap
perjumpaan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal soleh dan janganlah
dia menyekutukan apa pun dalam ibadat kepada Tuhannya.” (Al-Kahf: 110)
Adapun penghalang-penghalang dari mendapat
syahid antaranya adalah; pertama, keluar berjihad tanpa kebenaran daripada
pemerintah Muslim. Sesuatu urusan penting yang melibatkan umat (termasuk jihad)
keputusannya terletak di tangan pemerintah Islam. Ia bukan sesuatu yang boleh
diputuskan oleh sesiapa saja.
Sabda Nabi SAW, “Imam adalah perisai, kaum
Muslimin berperang di belakangnya dan berlindung dengannya.
Jika dia memerintahkan untuk bertakwa kepada
ALLAH SWT dan berlaku adil, maka dia mendapat pahala kerana itu.
Tetapi jika dia memerintahkan berbuat
maksiat, maka dia memperoleh dosanya.” (Riwayat Muslim)
Imam Al-Nawawi menjelaskan, “(Imam adalah
perisai) seolah-olah dirinya adalah tabir kerana dirinya menghalang musuh untuk
tidak menyakiti kaum Muslimin dan mencegah kaum Muslimin agar tidak saling
menyakiti dan melindungi negeri Islam.
Manusia berlindung kepadanya dan takut dengan
hukumannya. Dan makna (berperang di belakangnya) adalah kaum muslimin berperang
bersamanya menghadapi kuffar, pemberontak, Khawarij dan seluruh golongan yang
berbuat kerosakan dan kezaliman.” (Syarah Muslim)
Kedua: Memerangi orang yang tidak boleh
diperangi. Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa membunuh seorang mu’ahad
(orang kafir yang ada perjanjian), maka dia tidak akan mencium bau syurga dan
sesungguhnya baunya dapat tercium dari jarak perjalanan 40 tahun.” (
Al-Bukhari)
Ketiga: Berjihad di bawah panji buta. Sabda
Nabi: “Barang siapa yang berperang di bawah panji yang tidak jelas, marah
kerana (taksub pada) kelompok atau mengajak kepada kelompok atau menolong
kerana kelompok lalu terbunuh maka dia terbunuh seperti terbunuhnya orang
jahiliah.
Siapa yang memberontak dari umatku, membunuh
yang baik dan yang fajir dan tidak mempedulikan kemukminannya serta tidak
menunaikan janjinya kepada orang yang dijanjikan maka dia bukan dariku dan aku
berlepas diri darinya.” (Riwayat Muslim)
Keempat: Berperang dengan tujuan mati syahid.
Syaikh Muhammad Bazmul berkata: “Adalah tidak benar bagi orang yang keluar
berjihad dengan tujuan mendapatkan syahid (mati).
Sebaliknya hendaklah dia keluar dengan tujuan
untuk meninggikan kalimah ALLAH (untuk menang) dan jika dia mendapat syahid itu
adalah kemuliaan daripada ALLAH untuknya. Dan jika dia tidak mendapat syahid,
dia pulang dengan pahala dan harta rampasan.
Kelima: Berperang tanpa izin orang tua. Ini
berdasarkan hadis seseorang lelaki bertemu Rasulullah SAW meminta izin ikut
berjihad.
Baginda bertanya: “Adakah kedua orang tuamu
masih hidup?.” Dia menjawab: Ya. Baginda bersabda: “Jika begitu, berjihadlah
untuk kedua orang tuamu.” (Bukhari dan Muslim).
Dalam riwayat lain ada tambahan, Baginda
bersabda: “Pulanglah dan mintalah izin kepada mereka. Jika mereka izinkan maka
berjihadlah. Jika tidak, berbaktilah kepada mereka berdua.” (Riwayat Ahmad dan
Abu Daud)
Adapun menghukum secara khusus bahawa
seseorang itu syahid, ini tidak dibolehkan kecuali dengan persaksian Nabi SAW
(melalui wahyu).
Imam Al-Bukhari meletakkan satu bab dalam
Sahihnya: “Bab Tidak Boleh Mengatakan Si Fulan Syahid”. Ini kerana antara
syarat syahid adalah berperang untuk meninggikan kalimat ALLAH yang tinggi dan
ini adalah urusan niat yang tidak ada jalan untuk mengetahuinya. Oleh itu Nabi
SAW bersabda, “Perumpamaan seorang mujahid di jalan ALLAH, dan ALLAH lebih tahu
siapa yang berjihad di jalanNya.” (Bukhari)
Namun orang yang secara zahirnya baik, kita
mendoakan dia syahid.
Kita tidak menghukumnya syahid dan kita tidak
berburuk sangka kepadanya. Kita memperlakukannya di dunia dengan hukum-hukum
syahid jika dia terbunuh dalam jihad fi sabilillah.
Dia dikubur dengan darah di bajunya tanpa
mensolatinya. Dan untuk syuhada yang lain, dimandikan, dikafani dan disolati.
No comments:
Post a Comment