23 August 2013

Himpunan Pertahan Kalimah Allah, Pemimpin Pas Masih ‘Mabuk Lemang’



Di anggarkan hampir 300 orang yang terdiri daripada beberapa kumpulan NGO seperti Pembela dan Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa) yang berhimpun sejak awal pagi tadi di hadapan Istana Kehakiman bagi mendengar keputusan rayuan kerajaan berhubung penggunaan kalimah Allah di dalam kitab Bible.

Namun apa yang menyedihkan apabila, tidak ada seorang wakil kepimpinan tertinggi Pas yang hadir bagi menyatakan sokongan terhadap isu kontroversi itu walaupun parti itu menyatakan berjuang atas nama Islam.


Mungkin ada di kalangan mereka yang akan mengatakan, kehadiran mantan Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa adalah merupakan tanda parti itu menyokong perjuangan mempertahankan kalimah Allah. Namun apakah mereka lupa, Nasharuddin yang sinonim dengan panggilan Ustaz Nasha bukan lagi merupakan pemimpin tertinggi parti itu.

Bukankah beliau telah dipecat sebagai ahli Majlis Syura Pas? Malah parti itu juga tidak mencalonkan beliau untuk bertanding bagi mewakili Pas dalam pilihan raya umum yang lalu kerana dilihat ‘mesra’ dengan Umno. Oleh itu kehadiran Ustaz Nasha tidak boleh diambil kira sebagai wakil kepada pemimpin tertinggi Pas.

Malah ketika ditanya kepada mereka yang hadir, di manakah Nik Aziz, Hadi Awang, Mat Sabu, atau setidak-tidaknya Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan? Mereka hanya memberikan senyum sinis sambil menggelengkan kepala.

Paling menarik ada seorang pemuda yang mendakwa sebagai bekas ahli parti itu mengatakan mungkin semua pemimpin Pas pusat masih lagi ‘mabuk lemang’. Maklum sahajalah, raya kan sebulan, jawabnya dengan nada yang berbaur sindiran.

Yang menghairankan, sekiranya himpunan jalanan seperti Bersih, Black505 dan sebagainya diadakan, merekalah (pemimpin Pas) antara yang paling awal menyatakan sokongan. Walaupun pengerusi penganjur program tersebut adalah merupakan orang yang sama menganjur dan menyokong ‘Seksualiti Merdeka’ yang amat jelas bertentangan dengan Islam.

Kepada yang tidak mengetahui, Seksualiti Merdeka adalah merupakan gerakan menuntut ‘hak kebebasan’ untuk golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual [LGBT] bagi  mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka.

Persoalannya ialah, di manakah perjuangan Islam yang kononnya berlandaskan Al-Quran dan As-Sunah yang diperjuangkan oleh Pas? Apakah perjuangan mempertahankan kalimah Allah ini tidak termasuk dalam cabang perjuangan Islam?

Sedangkan isu yang diperjuangkan ini adalah merupakan isu akidah umat Islam. Ini kerana kalimah Allah adalah merupakan lafaz al-jalalah iaitu gelaran tertinggi dan paling mulia yang digunakan oleh umat Islam untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa dan kalimah itu termaktub lebih 20,000 kali di dalam al-Quran dan disebut sebanyak 425 kali oleh umat Islam dalam solat lima waktu setiap hari.

Oleh yang demikian sebarang tindakan membiarkan mereka yang bukan Islam menggunakan kalimah Allah bukanlah merupakan satu pendekatan toleransi tetapi satu tindakan menggadaikan hak dan kedaulatan. Ia adalah merupakan kalimah yang menjadi bahagian penting dari sudut pandangan Islam dan jika kalimah ini dikaburkan, maka sudah tentu akan memberi kesan kepada pemikiran dan akidah umat Islam.

Apa yang jelas, di sebalik kemelut ini, Pas hanyalah merupakan sebuah parti politik sama seperti PKR dan DAP dan bukannya parti yang memperjuangkan Islam seperti yang di dakwa.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...