18 February 2014

Nurul Izzah Ingin Bercerai Cara Baik @n_izzah


Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur hari ini menangguhkan tuntutan perceraian secara baik yang difailkan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar (gambar) pada 11 Mac depan.

Nurul Izzah sebelum ini memfailkan tuntutan perceraian dengan suaminya, Raja Ahmad Shahrir di bawah Seksyen 47 (cerai secara baik) Undang-Undang Keluarga Islam 1984.

Nurul Izzah bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah hari ini, sebaliknya hanya suaminya Raja Ahmad Shahrir hadir di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pagi ini bagi mendengar sebutan semula kes tuntutan tersebut.

Raja Ahmad Shahrir tiba berseorangan dengan berpakaian kot kemas kira-kira jam 10.30 pagi dan terus memasuki kamar Mahkamah Rendah Syariah 1.

Peguam Nurul Izzah, Normawaddah Ramli hadir sebagai wakil pihak plaintif.

Kira-kira 15 minit kemudiaan, Raja Ahmad Shahrir bersama peguamnya, Muhamad Nakhaie Ishak keluar daripada kamar selepas mengadakan perbincangan dengan peguam plaintif.

"Kita cuba untuk selesaikan kes ini secara baik, itu sahaja lah," kata peguam, Normawaddah.

Apabila ditanya sama ada kes tuntutan tersebut akan digugurkan, Normawaddah berkata ia masih lagi dalam proses.

"Kita masih lagi dalam proses perbincangan dan cuba selesaikan kes ini secara baik.

"Ia masih dalam proses," katanya lagi.

Normawaddah juga membetulkan laporan sebelum ini mengatakan anak guamnya membuat tuntutan perceraian secara fasakh, sebaliknya tuntutan tersebut dibuat secara baik di bawah Seksyen 47.

"Fasakh adalah perceraian dengan memberikan alasan tertentu, tapi ini adalah cerai secara baik," terang peguamnya lagi membetulkan laporan sebelum ini.

Raja Ahmad Shahrir sejurus itu bergegas ke keretanya dan tidak memberikan sebarang komen.

Hari ini adalah sebutan semula kes tuntutan cerai secara baik yang dibuat oleh Nurul Izzah, 34 ke atas suaminya Raja Ahmad Shahrir, 35 di hadapan Hakim Syarie, Ab Malek Awang selepas sebutan kali pertama pada 22 Januari lalu.

Anak perempuan sulung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan perceraian di bawah Fasakh (untuk membatalkan perkahwinan itu) pada akhir Disember melalui petisyen di Mahkamah Syariah.

Suaminya, Raja Ahmad Shahrir yang dipercayai sudah menerima petisyen itu pada 16 Jan, meminta penangguhan dua minggu sebelum ini berhubung perkara itu bagi menyediakan kesnya.

Nurul Izzah dan Raja Ahmad Shahrir, berkahwin pada 9 Mei 2003.

Upacara perkahwinan mereka diadakan di kediaman bapa Nurul Izzah, di Bukit Damansara.

Mereka dikurniakan dua cahaya mata seorang puteri berumur 7 tahun dan putera 4 tahun. – 18 Februari, 2014.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...