Dulu Saman Berjuta, Kenapa Sekarang Dikatakan Satira Politik?
Ahli parlimen DAP,
Teresa Kok cuba mempertahankan tindakan biadap dan kurang ajar yang dilakukan
melalui video sindiran sempena Tahun Baharu Cina baru-baru ini. Menurutnya Umno sengaja ingin memutarbelitkan isu
kandungan klip video yang bertajuk ‘Onederful
Malaysia’ itu kerana telah bankrap idea.
Wakil rakyat dari
Seputeh itu mengatakan, rakaman video tersebut hanyalah merupakan ‘satira politik’ (lawak politik) semata-mata
kerana ia tidak merujuk kepada mana-mana pihak dan tidak menyebut sebarang nama
serta bukan bersifat hasutan.
Paling menarik dia
turut mengatakan sekiranya pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap dirinya
ia adalah merupakan “penindasan politik”.
Video berdurasi hampir 12
minit yang disiarkan di YouTube itu antara lain memperlihatkan barisan tetamu
undangan berkenaan mengeluarkan kenyataan menyindir beberapa perkara, termasuk
sistem pendidikan negara dan isu keganasan di Sabah.
Malah, seorang tetamu dikenali
Master Yan Yan yang ditanya mengenai Tahun Melawat Malaysia 2014 mengutuk Sabah
dengan kenyataan berikut : But then, you can travel to Sabah, where you
get to see pirates, with a bonus show of kidnapping and scenes of open fire"
(anda boleh melancong ke Sabah, di mana anda boleh melihat lanun, dengan
pertunjukan bonus penculikan dan babak tembakan).
Sindiran-sindiran lain didakwa
turut ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri,
Datin Seri Rosmah Mansor.
Yang menariknya isu yang
hampir sama ini, pernah terjadi pada beberapa tahun yang lalu. Pada 9 Oktober 2008, dia telah mengemukakan saman berjumlah RM30 terhadap
Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Zaini Hassan dan Utusan
Melayu (M) Bhd yang kononnya telah menerbitkan sebuah artikel fitnah.
Artikel yang bertajuk
'Azan, Jawi, Jais, UiTM dan
'ba-alif-ba-ya' itu dikatakan bertujuan memperkecilkan
dirinya secara peribadi dan rasmi termasuk sebagai Ahli Parlimen, ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) dan anggota Exco kerajaan negeri Selangor.
Yang menariknya ketika
perbicaraan kes tersebut, dia yang ditanya oleh peguam mengakui artikel
tersebut langsung tidak menyebut namanya. Tidak lama selepas itu, Teresa telah
mengarahkan peguamnya untuk menarik semula kes tersebut tanpa memberikan
sebarang alasan.
Selain daripada itu, dia juga
pernah mengemukakan saman terhadap Ketua Pegawai
Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Chamil
Wariya kerana menulis sebuah cerpen bertajuk “Politik Baru YBJ” yang kemudiannya diterbitkan dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 12
Oktober 2008.
Merasakan cerpen tersebut merujuk kepada dirinya, anggota Exco kerajaan negeri Selangor itu segera memfailkan saman pada 12
Disember 2008 yang berjumlah RM30 juta juga. Dia mendakwa cerpen tersebut telah
merujuk kepada dirinya dan bukan hanya sekadar kebetulan. Kes tersebut juga
akhirnya diselesaikan di luar mahkamah.
Kesimpulannya,
apabila terkena batang hidung sendiri dia bukan main marah lagi, sehingga
bertindak mengemukakan saman yang bernilai jutaan ringgit. Pada ketika itu,
tidak timbul pula soal satira politik atau hanya sekadar lawak jenaka.
Diharapkan semoga siasatan
terhadap kes ini dapat dijalankan dengan segera. Agar hukuman dapat dijalankan
sekiranya terbukti dia bersalah. Diharapkan dengan tindakan itu, tidak ada lagi
kes-kes yang menyentuh sensitiviti dan bersifat perkauman dilakukan oleh
mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.
No comments:
Post a Comment