18 February 2014

Artis Menang Anugerah, Terpaksa Makan Pasir @SyafieNaswip

Syafie Naswip menangis memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke 25 tahun lalu menerusi filem Songlap. Tapi sayang, selama dua tahun dia menderita tidak dipedulikan walaupun banyak menerima anugerah.

DALAM satu luahan kepada wartawan pelakon Syafie Naswip berkata kejayaannya memenangi beberapa anugerah dalam industri lakonan tidak memberi apa-apa makna.



Syafie, 21, juga menerima nasib malang. Selepas menang anugerah, dia hilang ‘pekerjaan’ selama dua tahun.

Semasa menerima anugerah, dia menitiskan air mata terharu. Tetapi air matanya terus keluar selepas itu kerana tak ada sesiapapun nak mengiktiraf bakat dan kebolehan dia walaupun juri telah melihat pelakon ini mempunyai potensi untuk berjaya.

Syafie yang popular dengan watak Mukhsin pernah memenangi beberapa anugerah termasuklah pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 2007, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik (Festival Filem Malaysia (FFM) ke-20), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (FFM22 & FF25) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Anugerah Seri Angkasa.

Ia satu pencapaian yang luar biasa buat anak muda ini selepas bakatnya dicungkil oleh Allahyarham Yasmin Ahmad menerusi filem Mukhsin.

Kalau saya jadi Syafie, persetanlah dengan anugerah-anugerah di Malaysia ni. Anugerah hanya sekadar pengiktirafan yang belum tentu dapat mengisi periuk nasi kita untuk kelangsungan hidup.

Sebab itulah jika yang menang seribu anugerah sekalipun di negara ini, usahlah mendabik dada kerana kita tidak tahu apa akan jadi apabila berada di hujung-hujung usia.

Kecemerlangan seseorang artis di Malaysia diukur kepada populariti. Kalau tak popular, jangan haraplah nak dapat peluang berlakon.

Maaf ya... menang anugerah sebakul pun kalau muka tak jambu, tak handsome, tak bergetah, susah nak dapat peluang. Itulah ukuran dunia seni kita.

Apabila Rita Rudaini kata pelakon kita harap muka ‘jambu’ tapi lakonan mereka ‘hampeh’ saya sokong seratus peratus.

Muka-muka yang lawa hanya layak untuk dijadikan cover muka depan dan poster dalam majalah dan surat khabar. Apabila suruh berlakon, keras macam kayu.

Puncanya dek kerana terlalu ramai pengarah dan produser pada hari ini terlalu ambil mudah soal bakat seseorang.

Hasilnya terbentuklah lambakan golongan ini tetapi kebolehan tak seberapa.

Maka mereka mulalah mencari publisiti dengan melakukan segala kontroversi untuk menjadi popular kerana mereka sedar dengan cara itu sahajalah mereka akan mendapat peluang.

Apabila populariti bersandarkan kontroversi ini menjadi pilihan, dunia seni kita akan hancur lebur dan jadilah macam Syafie Naswip yang terpaksa hidup bagaikan peminta sedekah selama dua tahun gara-gara dipinggirkan.

NIEZAM: Wow... dengar cerita ada produser drama beli motosikal kuasa besar kat pelakon barunya. Patutlah artis baru sekarang ni naik lemak!
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...