11 February 2014

Isu Gaduh : Sumpah, Kejadian Terowong Tidak Berlaku - Irfan


JOHOR BAHRU: Pemain T-Team Muhammad Irfan Abdul Ghani bersumpah dia tidak nampak sebarang pergaduhan di terowong Stadium Larkin ketika perlawanan antara pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan T-Team pada 1 Februari lalu.

Muhammad Irfan bersumpah dengan menyentuh al-Quran di Restoran LC di sini, tadi.



Dia melakukannya di depan wartawan serta jurugambar dalam satu sidang media.

Pada masa sama, Muhammad Irfan meletak jawatan sebagai pemain T-Team dengan alasan mahu menjaga ibu dan seorang adiknya yang tidak sihat.

Muhammad Irfan berkata, dia tampil dan sanggup mengangkat sumpah bersaksikan al-Quran dengan rela hati bagi menegakkan kebenaran.

"Dengan ini saya bersumpah semua kenyataan yang dibuat adalah benar," katanya sambil menyentuh al-Quran menggunakan tangan kanannya.

Malam tadi, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said menyaksikan pemain dan pegawai T-Team bersumpah di depan al-Quran di Kuala Terengganu.

Majlis angkat sumpah itu didahului penolong jurulatih, Azlan Johar yang menyatakan insiden pemain import, Evaldo Rodrigues ditumbuk dalam terowong Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada malam 1 Februari lalu, adalah benar.

Bagaimanapun, Irfan yang menjadi tumpuan berikutan kenyataan mengejutnya dengan mendakwa kejadian itu tidak berlaku, gagal hadir dalam majlis berkenaan walaupun diminta berbuat sedemikian.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...