02 February 2014

Tanam Pokok Ganja Dalam Kondo



KOTA KINABALU - Sebanyak 36 pokok ganja ditemui di dua unit kondominium di Bukit Bendera di sini dan lima suspek ditahan termasuk seorang wanita Perancis dalam Operasi Cantas Khas Narkotik, Rabu lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, berdasarkan maklumat awam polis membuat serbuan pukul 11.30 pagi di sebuah kondominium dan menemui 29 pokok yang mana 10 daripadanya telah dipotong untuk diproses.



"Dua suspek ditahan di unit kondominium pertama iaitu seorang lelaki tempatan berumur 25 tahun dan seorang wanita Perancis berumur 30-an yang telah tinggal lebih setahun di negara ini," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Hamza berkata hasil serbuan pukul 1.10 tengah hari di unit kedua kondominium yang sama, mendapati tujuh pokok ganja, yang mana dua daripadanya telah dipotong dan menemui satu paket mengandungi ganja yang diproses seberat 500g.

"Ketika serbuan (unit kedua), pembantu rumah membuka pintu. Pada masa itu (pintu dibuka), ada dua lelaki tempatan berumur 20-an memasuki premis berkenaan dan mengaku penghuni rumah itu," katanya.

Hamza berkata semua suspek ditahan, temasuk pembantu rumah bagi membantu siasatan kerana menanam pokok ganja dan kesemua suspek turut positif dadah kecuali pembantu rumah.

Katanya pokok berkenaan dipercayai daripada jenis gred terbaik kerana menggunakan baja berkualiti tinggi.

"Semua pokok berusia empat bulan dan setinggi 1.21m. Ada yang cakap bila pokok setinggi enam kaki dah boleh dituai.

"Kita akan hantar semua pokok ini ke Jabatan Kimia untuk mengetahui sama ada pokok adalah dari benih tempatan atau diimport," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...