AYER KEROH - Padah merakam adegan anak perempuannya sedang mandi, seorang pekerja kilang dijatuhi hukuman penjara enam hari dan denda RM1,400 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan memiliki rakaman video lucah.
Hukuman itu diputuskan Majistret Syajaratudur Abd Rahman terhadap tertuduh yang berusia 40 tahun selepas mengangguk faham dan mengaku bersalah pertuduhan kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Nizam.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati memiliki sebuah telefon bimbit jenis Sony Ericson W5801 yang mengandungi rakaman video lucah di sebuah rumah di Jalan Pulau Gadong, Klebang Besar kira-kira jam 2.30 pagi pada 24 Januari lalu.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, isteri tertuduh mengambil telefon bimbit milik tertuduh daripada anak lelaki mereka berusia empat tahun, kemudian mendapati terdapat rakaman video anak perempuan mereka berusia 12 tahun sedang berkemban sambil menggosok gigi untuk mandi.
Sebelum ini, isterinya juga pernah melihat rakaman anak perempuan mereka itu sedang tidur tetapi dipadam tertuduh, bimbang perkara lebih buruk berlaku wanita berkenaan membuat laporan polis.
Peguam Ishak Kari yang mewakili tertuduh ketika rayuan memohon mahkamah supaya menjatuhkan hukuman ringan terhadap anak guamnya yang telah insaf.
“Tertuduh hanya bekerja kilang dengan pendapatan kurang RM1,000 dan perlu menanggung anak serta ibu bapa, saya memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman rendah terhadapnya,” katanya.
Bagaimanapun, Nabilah meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran selain mengambil kira faktor tindakan tidak bermoral dilakukan tertuduh terhadap anak sendiri.
Selepas mendengar rayuan dan hujah pihak pembelaan dan pendakwaan, Syajaratudur kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara selama enam hari dari tarikh ditangkap pada 5 Februari lalu dan denda RM1,400 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda.
No comments:
Post a Comment