KUALA LUMPUR - Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) telah membuka satu kertas siasatan berhubung penganjuran Seminar "Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian", di Putrajaya pada 15 dan 16 Februari lalu.
Pengarah Jawi, Paimuzi Yahya dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya sedang menyiasat dan mengenalpasti beberapa orang saksi yang menghadiri seminar berkenaan.
"Saya menasihatkan orang ramai terutamanya umat Islam supaya memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk menanganinya. Orang ramai juga dinasihatkan supaya menghentikan sebarang provokasi bagi mengelakkan sebarang ketidakharmonian," kata kenyataan itu.
Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta tampil ke Bahagian Penguatkuasaan Jawi bagi membantu siasatan.
Pada Ahad lepas, Kassim dilaporkan mengkritik golongan ulama Islam yang disifatkannya sebagai 'kasta paderi' dan mendakwa Nabi Muhammad SAW tidak perlu dimuliakan, serta rambut wanita bukan aurat.
Di IPOH, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menasihatkan Kassim Ahmad dan umat Islam yang bersetuju dengan ucapan yang disampaikannya di seminar itu agar bertaubat kerana ia bercanggah dengan ajaran Islam.
Beliau turut menasihatkan umat Islam agar tidak terpengaruh dengan ucapan Kassim yang bertajuk "Halatuju Negara untuk Tiga Puluh Tahun Akan Datang" kerana ia juga mengandungi perkara sangat berbahaya kepada aqidah mereka.
"Asasnya beliau bukan orang yang berkeahlian dalam membicarakan ayat-ayat hukum di dalam al-Quran kerana sangat kurang ilmu asas bahasa Arab dan ilmu usul Fiqh yang merupakan mekanisme penting dalam menginstinbat hukum, sebaliknya beliau hanya menggunakan ilmu logik dan ilmu bahasa yang mudah sifatnya," kata Harussani kepada pemberita.
Katanya dalam ucapan itu, Kassim menyangkal beberapa perkara pokok dan asas dalam Islam iaitu mempertikaikan dua kalimah syahadah serta selawat, menafikan hadis sebagai sumber syariat Islam serta mengatakan umat Islam mengikut satu "kasta paderi" yang dipanggil ulama, selain rambut wanita bukan aurat.
Ini terserlah apabila rujukan Kassim hanya kepada orang bukan Islam dan beberapa orang Islam yang tidak dikenali dalam dunia akademia umat Islam dan ulama.
Harussani berkata mempertikaikan dua kalimah syahadah adalah perkara yang mengeluarkan seseorang itu daripada Islam kerana ini bertentangan dengan hadis Nabi serta mempertikaikan Nabi Muhammad sebagai Pesuruh ALLAH juga bertentangan dengan ajaran ALLAH dalam al-Quran - ayat 29 surah al-Fath.
"Dalam ucapannya juga (Kassim) menafikan hadis sebagai satu sumber pensyariatan. Ini secara langsung menafikan kerasulan dan kenabian Nabi Muhammad kerana baginda tidak memperkatakan sesuatu mengenai agama Islam mengikut kemahuan dan pendapatnya sendiri, semua itu... adalah wahyu yang disampaikan oleh ALLAH melalui malaikat Jibril," katanya.
Harussani berkata mempertikai selawat ke atas Nabi juga bertentangan dengan firman ALLAH dalam ayat 56, surah Al-Ahzab.
No comments:
Post a Comment