Ramai yang seakan sinis apabila ada yang mengatakan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali merajuk kerana semakin dipinggirkan. Malah tidak kurang juga ada yang mengatakan ia hanyalah ‘game’ untuk menagih semula ‘kasih’ Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim.
Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, sejak bermulanya krisis pergolakan dalaman dan perebutan kuasa di Selangor, Anwar dilihat lebih memihak kepada Abdul Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar berbanding Azmin.
Malah perlantikan Khalid sebagai Pengarah pilihan raya DUN Kajang juga seperti ingin meminggirkan Azmin, walaupun dia merupakan Pengerusi, PKR Selangor. Lebih menghairankan apabila kelibat Azmin juga hampir tidak kelihatan di sepanjang ‘kempen awal’ yang dilakukan Anwar.
Walaupun ada di kalangan penyokong PKR mengatakan ia hanyalah ‘persepsi’ yang sengaja dimainkan untuk memecahbelahkan parti itu. Namun berdasarkan bukti dan fakta yang ada di tambah dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan PKR sebelum ini, ternyata bukan sekadar persepsi namun merupakan realiti.
Terbaru, ahli parlimen Gombak itu turut memuatnaik tulisan Yusof Harun yang bertajuk ‘Putus Sudah Kasih Azmin’ di dalam blognya. Artikel tersebut antara lainnya mengupas peranan dan ‘bakti’ yang pernah dicurahkan oleh Azmin kepada Anwar selama ini.
Namun demi kepentingan politik, semua jasa bakti tersebut seakan-akan diketepikan oleh Anwar demi memenuhi nafsu politiknya.
“Oleh itu, umum kian faham betapa Anwar sanggup mengetepikan Azmin demi kepentingannya sendiri. Apakah sudah putus kasih sayang mereka berdua? Atau ia hanya wujud semata-mata sebagai kasih sayang politik?”.
Untuk makluman Yusof Harun adalah merupakan seorang penulis tamu di dalam akhbar Sinar Harian yang sering menghentam dan mengkritik Anwar.
Persoalannya ialah, apa motif Azmin memaparkan artikel yang dikarang oleh penulis yang sering menghentam Anwar di dikongsi pula dengan semua pengunjung blog rasminya itu? Apakah ia membawa maksud Azmin bersetuju dengan setiap bait-bait perkataan yang dinukilkan oleh Yusof Harun itu?
Apakah ini bermakna Azmin turut menyedari dan merasai, ‘layanan’ bosnya itu sudah tidak lagi sama. Atau dalam bahasa lirik,
Anwar yang dulu, bukanlah sekarang,
Dulu sayang Azmin, sekarang dia di tendang,
Dulu, dulu waktu dipenjara, Azminlah segala-galanya.
Kesimpulannya, ia bukanlah perkara baru buat Anwar. Rata-rata mereka yang pernah menjadi pengikut setianya dahulu, telah lari meninggalkannya. Ini kerana mereka akhirnya sedar dan dapat menilai watak sebenar Anwar?
Persoalannya, apakah Azmin masih tetap setia mengharapkan ‘kasih’ Anwar yang sering berubah mengikut ‘nafsu politiknya’ atau bakal mengambil pendekatan untuk lari meninggalkannya?
No comments:
Post a Comment