19 November 2008

Benarkah Pakatan Rakyat Pertahan Islam dan Hak Keistimewaan Melayu?

Anwar: Pakatan Pertahan Islam dan Hak Istimewa Melayu

SHAH ALAM: Ketiga-tiga parti anggota Pakatan Rakyat menerima kedudukan hak istimewa Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam sebagai agama persekutuan sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Menurut beliau, isu berhubung perkara itu tidak perlu dirisaukan lagi kerana persefahaman mengenainya telah dibuat antara ketiga-ketiga parti anggota Pakatan - PKR, DAP dan PAS.

Malah, tegas Anwar lagi, kenyataan bahawa kesemua pihak telah bersetuju mengenai perkara itu telah dikeluarkan pada 8 September lalu.

Kenyataan tersebut antara lain menegaskan bahawa Pakatan sekali lagi mengulangi pendirian menjunjung prinsip-prinsip dasar yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan menjaminkan kebebasan mengamalkan agama lain, kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan mempertahankan hak bahasa ibunda, kedudukan kedaulatan dan institusi Raja-raja Melayu serta kedudukan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

Menurut kenyataan itu lagi, berdasarkan prinsip-prinsip perlembagaan tersebut, Pakatan menolak sekeras-kerasnya pendekatan politik perkauman sempit.

Oleh itu, tegas Anwar, tidak timbul lagi sebarang salah faham mengenai isu yang membabitkan hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam.

Anwar menegaskan demikian dalam ucapannya di majlis perjumpaan khas dengan guru KAFA di Shah Alam Selangor hari ini. Hadir sama ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Komen:

Persoalannya benarkah Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PKR, DAP dan PAS mempertahankan Islam dan hak keistimewaan Melayu sebagaimana yang didakwa oleh Anwar?

1). Siapa yang membangkitkan soal laungan azan dan tulisan jawi sehingga membangkitkan kemarahan orang Melayu - Teresa Kok (DAP).

2). Siapa yang membuat kenyataan langkah mayatnya dahulu jika mahu menubuh dan menegakkan undang-undang Islam di negara ini - Karpal Singh (DAP).

3). Siapa yang mahu menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) jika Pakatan Rakyat berkuasa - Anwar Ibrahim (PKR).

4). Siapa yang berjanji hak yang sama rata kepada semua kaum jika Pakatan Rakyat berkuasa - Lim Kit Siang (DAP).

5). Siapa yang berjanji untuk menghapuskan hak keistimewaan Melayu ketika berkempen di hadapan orang Cina dan India jika Pakatan Rakyat berkuasa - Anwar Ibrahim (PKR).

6). Siapa yang mempertikai teks ucapan Yang DiPertuan Agong dan kuasa Sultan Perak - Karpal Singh (DAP).

7). Siapa yang mencadangkan supaya UITM dibuka kepada bukan Melayu dan bangsa asing - Khalid Ibrahim (PKR).

8). Siapa yang mencadangkan supaya bahasa lain juga dijadikan bahasa rasmi negara - Teresa Kok (DAP).

Anwar dan pemimpin Pakatan Rakyat perlu menjawab semua persoalan di atas jika benar dakwaan beliau Pakatan Rakyat mempertahankan Islam dan hak keistimewaan Melayu di negara ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...