02 June 2012

PANAS!!! ALAHAI KESIANNYA NASIB 'ULAMA' PAS


BERMULA dengan kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang melahirkan hasrat untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti, seorang lagi daripada golongan ulama iaitu Datuk Seri Azizan Abdul Razak memberikan isyarat yang sama. Bagaimanapun kita tidak boleh menyatakan bahawa pendirian mereka ini suatu yang pasti atau tidak kerana akhirnya keputusan muktamad terletak kepada parti. Namun ini tidak bermaksud kita tidak berhak untuk menghitung nasib golongan ulama di dalam Pas dalam pilihan raya umum akan datang.


Sememangnya, kedudukan golongan itu menjadi perhatian sama ada mereka akan menjadi calon majoriti atau sekadar ditempatkan dalam kelompok yang kecil untuk bertanding di kawasan-kawasan luar bandar (kampung-kampung). Semua orang tahu bahawa biar pun Pas suatu ketika memperkasakan kepimpinan ulama namun slogan berkenaan boleh dikatakan hampir tidak kedengaran lagi, apa yang kita sering dengar kini adalah Pas Untuk Semua (Pas For All).

Justeru timbul persoalan sejauh manakah suara ulama akan memainkan peranan penting dalam penentuan calon bagi Pas dalam PRU-13 nanti. Sama ada penyokong Pas hendak mengakui atau tidak, suara ulama di dalam parti itu sudah semakin menipis. Segalanya berlaku sejak Pas bersekutu dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, malahan pemilihan parti itu tahun lalu sudah menjadi bukti bagaimana golongan ulama tidak begitu lagi diharapkan untuk menjadi peneraju utama dalam mencapai cita-cita politik Pas mencapai kejayaan cemerlang dalam pilihan raya.

Mungkin atas dasar itu juga, Abdul Hadi ketika diminta mengulas mengenai kejayaan calon-calon profesional menduduki jawatan utama dalam parti itu menganggap, ''inilah barisan pilihan raya Pas." Sememangnya Abdul Hadi tidak mampu berbuat apa-apa bagi menghalang penguasaan golongan ulama semakin luntur dalam parti itu. Biar pun Pas mempunyai Dewan Ulama atau Majlis Syura yang seharusnya menjadi pakar rujuk kepada sebarang tindakan politik Pas tetapi sejauh manakah badan-badan berkenaan berfungsi? 

Apa yang menarik dari semasa ke semasa suara ulama yang lantang memperjuangkan sesuatu perkara atas nama kebenaran semakin dihalangi dengan cita-cita politik Pas. Sebab itulah kita melihat bagaimana Dr. Hasan Ali biar pun menjadi Exco Kerajaan Negeri Selangor beliau akhirnya disingkirkan, begitu juga dengan nasib Ahli Parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa yang dikatakan semakin tidak menentu kerana dilihat cenderung kepada usaha bekerjasama dengan UMNO. Ramai pemerhati politik melihat, penguasaan golongan profesional bagi jawatan-jawatan utama dalam Pas akan turut mempengaruhi keputusan parti itu dalam penentuan calon-calon dalam pilihan raya umum akan datang.

Ini memandangkan, golongan profesional mungkin sudah merasakan masanya sudah tiba bagi mereka menguasai parti itu manakala golongan ulama hanya bertindak sebagai penasihat sahaja. Mengulas perkara ini, penganalisis politik, Ahmad Masrizal Muhammad berkata, sesuatu yang menarik untuk diperhatikan dalam isu ini ialah bagaimana pengaruh pemimpin profesional dalam Pas membuat keputusan terbaik memilih calon untuk partinya dan setakat mana kumpulan aliran agama sanggup berkompromi. Menurut beliau, secara strategiknya, peminggiran terhadap kumpulan berlatarbelakang agama dilakukan dalam beberapa situasi.

''Pertama, ia dibuat berdasarkan kepada faktor lokaliti iaitu kumpulan itu tetap akan menjadi taruhan terutama dalam kawasan yang majoriti Melayu konservatif namun bagi kawasan Melayu di bandar utama, pasti kumpulan ini tidak akan diberi peluang. Kumpulan profesional akan lebih diutamakan.

''Kedua, peminggiran berlaku dalam situasi kepimpinan struktural parti. Jawatan-jawatan utama yang strategik akan dipastikan diproksikan kepada kumpulan bukan aliran agama. Ini adalah lebih merbahaya kerana ia akan ada kaitan dengan hala tuju, dasar dan orientasi parti," katanya.

Beliau berkata, dalam hal ini jika jawatan-jawatan utama parti dipegang oleh kumpulan profesional maka adalah tidak mustahil dalam pilihan raya umum nanti kita akan dihidangkan dengan lebih ramai calon-calon Pas yang bukan daripada aliran agama kerana sudah pasti mereka akan campur tangan menentukan calon-calonnya.

''Jawatan utama mereka dalam parti adalah modal untuk mereka bertegas dalam membuat keputusan penting parti seperti calon-calon pilihan raya. Majlis Syura pun nampaknya sudah semakin menipis imunitinya. Inilah wajah dan warna baru pas di era kepimpinan profesional dengan tagline 'Pas For All'," katanya.

Namun apa pun yang hendak dilakukan oleh Pas, mereka tidak harus melupakan jasa golongan ulama yang bukan sahaja bertanggungjawab menubuhkan parti berkenaan tetapi juga meletakkan Pas pada tahap sekarang.

Bermula dengan hanya menangi satu kerusi dalam pilihan raya, Pas kini sudah berupaya memerintah dua negeri iaitu Kelantan dan Kedah serta suatu ketika pernah menawan Terengganu. Semua itu berlaku kerana jasa dan pengorbanan golongan ulama yang disifatkan oleh Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr.Haron Din sebagai juruterbang.

Malahan dalam satu wawancara dengan lidah rasmi Pas, Haron pernah mengingatkan bahawa sejak Pas ditubuhkan pada 1951, ia adalah sebuah parti Islam yang tujuan utamanya untuk melaksanakan tuntutan Allah bagi mengislamkan masyarakat dan negara. Selain itu, Haron juga menyentuh bagaimana dalam era kepimpinan ulama, pencapaian besar perjuangan yang diletakkan atas landasan Islam bagi menuju matlamat, keagungan dan memartabatkannya menjadi perjuangan yang memikat hari majoriti umat Islam.

Tetapi itu dulu, Haron bercakap dalam wawancara yang disiarkan 15 Mei 2009, namun sekarang Pas sudah berbeza,. Matlamat negara Islam sudah tidak lagi menjadi sasaran parti itu dan ini kemungkinan akan disusuli dengan peminggiran konsep kepimpinan ulama secara terancang. Ia terjadi kerana keterujaan Pas yang lebih bersikap terbuka dalam berpolitik merebut kekuasaan. Keterujaan inilah yang memungkinkan Pas sanggup berkompromi dan bersekongkol dengan PKR dan DAP biar pun banyak tindak-tanduk kedua-dua parti itu dilihat bertentangan dengan perjuangan Pas.

Oleh itu bagi penyokong-penyokong golongan ulama dalam Pas mereka perlu sedar tentang ancaman yang sedang dihadapi oleh golongan berkenaan menjelang pilihan raya umum akan datang. Seperti mana kita ketahui golongan ulama bukannya kumpulan yang semakin kuat dalam Pas malah semakin luntur kekuatan mereka. Tanpa menduduki jawatan penting dalam parti kecuali Abdul Hadi yang menjadi Presiden, golongan ulama dalam Pas tidak boleh bersuara banyak. Selama ini pun kita sudah lihat bagaimana apabila ada ulama yang cuba bersuara lantang hatta dalam soal agama sekali pun mereka akan mendapat kritikan daripada dalam Pas sendiri.

Oleh itu, kata-kata kononnya golongan ulama akan menjadi jurupandu kepada perjuangan politik Pas hanyalah omong kosong dan nasib golongan itu akan terus terpinggir dalam pilihan raya umum akan datang. Jika golongan ulama mahu memperkukuhkan semula kedudukan mereka dalam parti itu, mereka harus mematikan calon daripada golongan itu paling ramai menjadi calon kerana jika tidak percayalah haluan perjuangan Islam yang dipelopori oleh ulama pada 1951 hanya akan tinggal sekadar catatan sejarah.

4 comments:

Anonymous said...

Suka atau tidak itulah yang terpaksa di terima apabila Pas cenderung utk angkat Anwar sebagai pemimpin krn ideolgi Anwar matlamat menghalalkan cara akan sentiasa mendominasi arah tuju perjuangan Pas

Anonymous said...

Oi Bodoh!!!!! Jangan cuba nak pecahbelahkan ukhwah dalam pakatan rakyat

Anonymous said...

setuju, dia just nk pecahkan kekuatan dlm pakatan...

Unknown said...

Hahahaha.. relax laaa... bukan nk pecahkan.. tapi itulah realiti sebenar.. cuba belajar untuk terima hakikat yang sebenar

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...