NAMPAK sangat kurang bijak kenyataan Ketua
Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahukan semua
ahli Pas yang berhasrat dan terpilih untuk menunaikan fardu haji tahun
ini menangguhkan pemergian mereka jika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)
diadakan dalam musim haji. Ibadah haji adalah rukun dan wajib ditunaikan oleh mereka yang
mengaku dirinya Islam apabila cukup syarat. Dalam hal wajib ini tiada
kompromi dalam apa situasi sekali pun, melainkan jika berlaku musibah
seperti merebaknya penyakit berjangkit yang serius atau berlakunya
kucar-kacir di tempat ibadah itu.
Tetapi kalau setakat untuk meraih undi kepada parti Pas sahaja sudah
tentu ia bukan darurat yang membolehkan bertindak menangguhkan haji.
Hadis mana dan fatwa mana yang dibawa oleh Ketua Penerangan Pas ini
sehingga sanggup mengenepikan apa yang dituntut dalam Islam? Hendak dikatakan jahil Tuan Ibrahim ini rasanya tidak. Beliau
dianggap sebagai ustaz dan sebagai seorang pemimpin yang mempunyai
jawatan penting di dalam Pas. Tetapi beliau boleh meracau hingga ke
tahap itu, seolah-olah cuba untuk mengubah qadak dan qadar yang sudah
ditentukan.
Bayangkan jika seseorang itu menolak untuk menunaikan haji yang telah
ditetapkan jadualnya sudah tentu namanya akan terkeluar dan jatuh
gilirannya ke belakang semula di dalam senarai permohonan untuk
menunaikan haji. Untuk dapat pergi lagi, mungkin mengambil masa
bertahun-tahun, serta menanggung akibat jika jatuh sakit ataupun mati
tidak sempat menunaikan haji.
Sudah-sudahlah dengan agenda politik yang tidak sihat ini seolah-olah
menggunakan Islam untuk meyakinkan rakyat bahawa Pas itu Islam dan
Islam itu Pas. Ingin saya tanya, mampukah dan bolehkah Pas melaksanakan
hukum hudud jika menang PRU-13 kelak? Dengan parti DAP dan Parti
Keadilan di belakangnya nanti, bolehkah Pas berlaku adil sebagaimana
yang dituntut oleh Islam?
Sepatutnya politik dipisahkan daripada agama kerana agama terlalu
suci untuk dipolitikkan, tambah-tambah lagi di zaman yang penuh dengan
pancaroba ini. Jika terlalu banyak berpolitik dalam menegakkan agama
Islam, akan berlakulah krisis atau salah faham di antara umat itu
sendiri.
Apa yang berlaku di negara-negara Islam yang menghadapi
berbagai-bagai masalah dalaman dan apa yang berlaku dalam sejarah lampau
tamadun Islam yang runtuh selepas pemerintahan Khulafah Rasyidin,
menjadi iktibar kepada kita bahawa Islam dan politik bukan acuan yang
terbaik untuk menegakkan sesebuah negara Islam.
Kalau hendak ikut ajaran Islam sebenarnya ikutlah ajaran al-Quran
yang dibawa oleh Rasulullah SAW, bukan dicampuradukkan dengan ajaran
ideologi politik yang dibawa asalnya oleh kerajaan Yunani purba. Bacalah
sejarah.
No comments:
Post a Comment