03 June 2012

RASIONAL MENERUSKAN MUZAKARAH UMNO-PAS


Sejarah membuktikan kerjasama Pas-Umno pernah wujud. Ia bermula sebaik berlaku peristiwa 13 Mei 1969, di mana salam undangan Umno terhadap Pas yang dimulai pelawaan oleh Tun Razak terhadap Datuk Asri- ketika itu YDP Agung Pas Pusat sambut baik. Pas setuju menerima pelawaan Umno bagi membentuk kerjasama kuat hingga tertubuh satu kerjasama politik baru di bawah pembentukan Barisan Nasional (BN) pada 1972, walaupun akhirnya Pas keluar daripada BN pada 1978. Sekiranya ia boleh berlaku pada zaman Asri-Tun Razak, mengapa ia tidak pada zaman Datuk Seri Hadi-Datuk Seri Najib?.

Isu kerjasama Pas-Umno amat wajar diteruskan kembali dan di‘lagukan’ atas nama perpaduan Melayu serta Islam sepenuhnya. Akibat perbezaan pendapat dan kelainan pendirian terhadap sesuatu masalah, muzakarah menjadi jawapan terbaik bagaimana masalah dapat diselesaikan dengan bijaksana.

Oleh itu, muzakarah dengan niat ikhlas tanpa sebarang syarat amat diharapkan kerana ia merupakan tuntutan agama. Sudah tiba masanya untuk Pas- Umno memandang secara serius isu ini, agar muzakarah dapat disegerakan dan diteruskan, terutama apabila mutakhir ini terlalu banyak pertelingkahan berlaku sesama umat Melayu dan Islam sehingga memecah-belah umat Melayu dan Islam kepada kelompok kecil, sehingga bukan Islam semakin berani mempersoalkan kedudukan umat Melayu dan Islam.

Dalam ayat 159 Surah Ali- Imran, ALLAH SWT berfirman yang bermaksud, “...dan juga bermesyuaratlah (bermuzakarah) dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal berkaitan keduniaan), kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat untuk membuat sesuatu), maka bertawakallah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH mengasihani orang bertawakal kepada-Nya”.

Persoalannya, mengapa Pas sanggup bersekongkol dengan DAP yang jelas kurang senang dengan Islam. Ia amat berbeza dengan Umno kerana pemimpin dan ahli Umno adalah saudara sebangsa dan seagama yang berpegang kepada akidah sama dan menghadap kiblat sama.

Perpaduan Melayu dan Islam yang ditekankan melalui muzakarah itu lebih besar berbanding syarat-syarat ditetapkan oleh Pas. Cuba lihat sejarah Islam bagaimana Saidina Ali seorang khalifah besar sanggup bermuzakarah dengan Muawwiyah atas nama perpaduan ummah dan kemaslahatan umat Islam ketika zaman itu tanpa syarat.

Oleh itu, usaha menemukan kedua-dua parti besar orang Melayu itu hendaklah diteruskan, memandangkan ia kini menjadi harapan besar umat Melayu dan Islam di negara ini.

Kita tiada lagi kekuatan ekonomi, pendidikan, malah moral. Kuasa politik yang dimiliki pula semakin tercabar. Manakala pemimpin Melayu pula semakin dihimpit pelbagai strategi taktik dan provokasi ke atas isu-isu orang Melayu dan Islam. Orang Melayu kini umpama pepatah ‘jika pohon kelapa tumbang, kura-kura pun teringin memanjatnya’. Pohon kelapa itu diibaratkan masyarakat Melayu dan ia baru condong. Tetapi pelbagai haiwan yang sebelum ini tidak berupaya memanjat pokok, kini begitu gagah tegak berdiri menanti tumbangnya pokok itu.

Apakah kita sedar siapa yang menebang pokok ini? Tidak lain orang Melayu sendiri yang sanggup memperjudikan masa depan dan maruah agama, seterusnya bangsa sendiri semata-mata untuk menjadi pemimpin negara dan membalas dendam ke atas seterunya. Kita sebagai anak Melayu masih sayangkan bangsanya sendiri tidak sanggup melihat perpaduan umat Melayu dan Islam hanya tinggal sejarah.

Perasaan saling menghormati, semangat bekerjasama dan kasih sayang akhirnya membentuk perpaduan jitu perlu diterapkan pada jiwa setiap orang Melayu yang beragama Islam. Perkara ini sangat bersesuaian dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Orang mukmin itu mengasihi saudaranya seperti mana ia mengasihi dirinya sendiri”.

Sekiranya Islam dijadikan teras bagi mencapai perpaduan Melayu, pasti Pas-Umno tidak akan bertelagah sehingga akhirnya umat Melayu dan Islam berpecah-belah seperti yang kita lihat sekarang.

Percayalah sekiranya orang Melayu terus bertelagah sesama sendiri tanpa secebis pun hasrat untuk bersatu, sudah pasti suatu hari kelak, kita bukan sahaja kehilangan semua hak dalam Perlembagaan yang kini dicabar dengan hebat, malah tidak mustahil umat Melayu dan Islam akan menjadi pelarian di tanah air sendiri.

Ayuh! Teruskan dan gerakkan segera muzakarah Pas-Umno.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...