Sejak zaman Muawiyah dan Ali harga persaudaraan sesama Islam menjadi
terlalu mahal. Apabila kelompok Khawarij mengkafirkan pihak lain, ia
menjadi contoh yang hodoh kepada umat. Apabila Saidina Othman terbunuh
ketika membaca al-Quran, itulah puncak perseteruan sesama umat. Hal ini dibangkitkan menginsafi bahawa perseteruan kalangan umat
berlaku sejak dulu. Ini membawa kesan sehingga hari ini.
Pertentangan
Syiah dan Sunnah melarat sehingga kini. Pendekatan berbeza antara
kelompok Mazhabi dengan Salafi Wahabi yang kurang bijaksana
mengendalikan isu usul dan furuk menyebabkan pertentangan dan perpecahan
umat.
Umat menjadi lemah dan tidak dapat dicontohi orang lain. Banyak tenaga
fikir terbazir untuk mendalamkan pertentangan tetapi kurang daya usaha
untuk mencari penyelesaian. Pada tahap faham neoliberalisme berkembang, umat Islam amat leka dengan perbalahan yang tidak ada titik noktahnya. Pada peringkat hak asasi ala Barat yang sifatnya melampau, ada yang
terjebak sama dengan aliran ini sedangkan maqasid syariah memberikan
batasnya.
Ketika tahap aliran anarki sedang subur dan berkembang dalam kalangan
pemikiran umat, ada yang tidak menyedari bahawa umat sedang terjebak
dalam perangkap pasca-modenisme yang akhirnya bakal meruntuhkan citra
Islam itu sendiri. Faham liberalisme dan pluralisme dianggap biasa. Atas nama liberalisme
ada umat sanggup mencabut akar agamanya dan mendukung faham hedonistik
Barat semahu-mahunya dan meletakkan status Islam sama dengan agama lain.
Akhirnya usaha memartabatkan Islam sebagai Sistem Kepercayaan yang
tauhidik dan Cara Hidup mengalami kekaburan. Pemurtadan terjadi di
negara orang Islam. Pengaruh hedonistik atas nama LGBT yang menyerupai
kisah Nabi Lut AS dengan kaumnya yang menolak kehidupan yang fitrah
terjadi. Sedangkan risalah perjuangan Islam ialah risalah akhlak. Apabila akhlak
semakin tercemar, isu akidah menjadi semakin tercalar. Apabila benteng
akhlak runtuh, kekuatan umat bakal hilang. Akhir umat menjadi penciplak
dan peniru kepada pola hidup orang lain khususnya dari Barat.
Oleh itu, al-Quran menjadikan innamal mukminu nai’ikhwah – sesama
Muslim itu bersaudara sebagai landasan penting mencari titik-temu dan
menghindarkan titikbeza. Islam adalah agama jamaah dan muafakat melalui
pendekatan muzakarah, perbincangan dan adab al ikhtilaf atau etika dalam
menangani hal perbezaan tersebut.
Umat perlu kembali kepada ajaran Islam yang amat fundamental ini.
Perbezaan berlaku hanya isu furuk dan ranting, bukannya usul atau pokok.
Persengketaan akibat berlainan orientasi gerakan Islam dan fahaman
politik. Akhirnya, jalan dituju ibarat fatamorgana atau mirja yang
dikejar di lebuh raya kehidupan, tetapi tidak kesampaian. Di sini pentingnya memahami maksud Surah al Asr yang menyebutkan
manusia itu sentiasa dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan
beramal soleh.
Orang yang menyatakan hak atau kebenaran dengan kesabaran. Sabar dan
menyerap kesabaran adalah kunci kepada perjuangan Islam. Kita sering
menjadi gopoh, buruk sangka, membina tanggapan negatif, mudah membuat
keputusan tanpa usul periksa, mudah mengikut hawa nafsu bukan
pertimbangan syarak, seronok menyuburkan perbalahan, jengkel apabila
disebut muzakarah dan bergembira umat berada dalam pecah-belah.
Sebab itu dustur dakwah yang dianjurkan al-Quran dalam Surah an Nahl
ayat 125 menyebutkan bil hikmah walmauizatil hasanah, wajadilhum billati
hiaahsan – dengan bijaksana, memiliki peribadi teladan dan apabila
berhujah, dengan hujah yang terbaik (selari dengan hukum syarak). Warga umat harus menerima kebenaran itu yang perlu diperjuangkan dengan
bijaksana. Bijaksana menuntut pendekatan yang berkesan; faham latar
madu’ atas sasaran, mengerti tahap pemikiran, latar pembesaran dan
pendewasaan seseorang dan akhirnya bersifat kasih sayang serta belas
kasihan sesama manusia yang tidak tahu dan belum diberitahu.
Dakwah berkesan menggunakan silat lidah dan silat hati. Tugas dai’ atau
pendakwah melakukan ajakan terbaik. Asbab daripadanya tercetus
kesedaran timbul dan hidayah diberi. Itu adalah kerja ALLAH.
Menyerap kesabaran adalah jejak yang dimiliki Rasulullah SAW. Betapa
Baginda dibenci wanita Yahudi setiap kali lalu di hadapan rumahnya,
tetapi tidak pernah menghinanya. Betapa Rasulullah SAW mengasihi bapa
saudaranya Abu Talib mendekatinya dengan sabar dan kasih sayang. Jiwa
besar yang dimiliki Rasulullah SAW menyebabkan wanita tersebut memeluk
Islam dan takdir ALLAH menentukan hidayah kepada Abu Talib tidak
terjadi.
Hebatnya teladan ini harus membangkitkan keinsafan kepada umat apakah
usaha bersaudara dan silaturahmi mengikut jejak yang ditinggalkan
Rasulullah SAW. Atau kita sedang dilingkari nafsul amarah bissuk tampak
zahirnya berjuang kerana Islam tetapi hakikat batinnya adalah penyumbang
mencederakan imej Islam itu sendiri.
No comments:
Post a Comment