11 June 2012

BERSEDIAKAH MELAYU TERIMA GUAN ENG SEBAGAI PM



WALAUPUN mengaku tersasul dan kemudian segera minta maaf, namun Karpal Singh berjaya membaca fikiran orang Melayu. Karpal tahu sejauh mana semangat muafakat bangsa Melayu. Pengerusi DAP itu mungkin tersenyum lebar apabila melihat tidak semua Melayu bersatu menempelak beliau bila tersasul kata begitu. Yang betul-betul marah dan naik angin tak suka Cina atau India jadi PM Malaysia hanyalah pemimpin dan penyokong UMNO. Kelompok inilah betul-betul bersatu mempertahankan kerusi Perdana Menteri kekal di tangan Melayu. Melayu dalam parti lain tidak sepen­dapat. Memang ada segelintir menen­tang. Ada segelintir pula berfikiran terbuka. Ada yang buat tak kisah. Ada yang berkata, daripada UMNO jadi PM biarlah diberi pada orang lain!


Yang pasti, penyokong PAS tidak semua marah dan tidak semua setuju. Yang ambil pendirian atas pagar pun ramai. Jelaslah ahli PAS tidak sekata dalam isu Perdana Menteri bukan Melayu. Presiden PAS, Haji Hadi cuma anggap kata-kata Karpal itu pendirian peribadinya sahaja. Dia tidak pula marah atau menentang kata-kata itu. Tok Guru Nik Aziz pula kata dia tak kisah siapa pun jadi Perdana Menteri, asalkan Islam. Anwar Ibrahim, orang yang paling bercita-cita menjadi Perdana Menteri juga sekadar berkata, “Sayalah calon Perdana Menteri jika pembangkang menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.”

Soalnya, betulkah Karpal tersasul?

Boleh jadi kata-kata Karpal yang tersasul itu ditujukan pada Anwar. Karpal nak usik sentimen Anwar. Memang Anwar terkedu dan jauh dalam lubuk hatinya Anwar perlu sedar bukan jalan mudah dia naik jadi PM kalau Pakatan Rakyat menang PRU13 nanti. Ditakdirkan Pakatan menang, Per­dana Menterinya belum tentu Anwar. Karpal sudah pun berjaya melakukan provokasi. Sebagai peguambela Anwar, Karpal tahu banyak rahsia Anwar. Bukan mustahil, mimpi Anwar pun Karpal boleh baca. Sebab itu ramai melihat Karpal sengaja tersasul cakap.
 
Kalau di dalam mahkamah memang ada peguam berpura-pura tersasul. Mereka pura-pura kemukakan soalan yang tidak relevan, tapi maksudnya dalam. Jika Yang Arif Hakim tidak peka atau benarkan soalan itu dikemukakan sudah tentu peguam yang tersasul itu akan mengorek lebih jauh lagi rahsia pihak lawan. Karpal adalah peguam cukup ber­penga­laman. Dia juga veteran dalam politik. Kalau dia tersasul pun sudah tentu dengan maksud tertentu. Karpal tidak mungkin sengaja tersasul. Dia banyak ilmu mengorek rahsia pihak lawan.

Dalam kes Perdana Menteri bukan Melayu Karpal dianggap berjaya mengo­rek rahsia orang Melayu. Betul, orang Melayu tidak bersatu, belum bersatu dan mungkin tidak akan bersatu. Maka mudahlah pembangkang melak­sanakan cita-cita mengangkat bukan Melayu naik jadi Perdana Menteri Malaysia. Kalau Lim Guan Eng yang dicita-citakan secara diam oleh pihak pembangkang maka dia tidak akan melalui jalan berliku mencapai cita-cita. Bukan mustahil Guan Eng akan bergelar YAB Perdana Menteri.


Lagipun ada pengikut PAS menerima beliau sebagai Khalifah Umar Abdul Aziz. Maknanya sudah ada orang Melayu mengakui kebaikan Guan Eng. Karpal sudah dapat gambaran tidak semua Melayu bantah. Karpal juga tidak dengar suara pemimpin Cina dalam MCA dan Gerakan bantah atau terkejut. Karpal juga tidak dengar orang India kata tak setuju. Cuma yang betul-betul bantah PM bukan Melayu ialah pengikut UMNO dan NGO yang berkiblatkan kepada UMNO.

Setakat bantahan UMNO Karpal tidak berapa risau. Jika ditakdirkan Barisan Nasional (BN) kalah dalam PRU13 nanti semua masalah UMNO dapat diselesai­kan. Mulut pemimpin UMNO senang ditutup jika kuasa mereka sudah dihakiskan oleh politik Melayu sendiri nanti. Gambaran yang Karpal dapat hasil lidah tersasulnya itu ialah orang Melayu sukar bersatu dan disatukan. Dendam PAS pada UMNO sampai bila-bila pun tak akan padam. Muzakarah antara UMNO dan PAS sampai bila-bila juga tak akan jadi kenyataan. Jadi, apa mustahilnya Guan Eng naik jadi Perdana Menteri?

Kalau bangsa Melayu benar-benar bersatu tak mungkin mereka percaya fatwa Tok Guru yang sekejap naik sekejap turun. Tak mungkin ada Melayu masih jadi pak turut Anwar yang dikelilingi pelbagai tuduhan moral. Karpal sudah dapat gambaran hati orang Melayu. Dalam perlembagaan sendiri tidak sebut PM Malaysia mesti  orang Melayu. Maknanya, siapa saja mendapat so­kongan rakyat ia boleh ditabalkan jadi PM. Cuma halangannya ialah raja-raja Melayu. Adakah raja-raja akan meres­tuinya?

Mengikut perlembagaan negara, Perdana Menteri adalah penasihat agama kepada raja-raja Melayu. Kalau Guan Eng jadi PM bolehkah dia menasihatkan raja-raja Melayu mengenai hal ehwal agama Islam sedangkan dia sendiri bukan Islam? Inilah halangannya. Dalam masa sama pula beberapa kejadian yang dilakukan oleh tokoh politik pembangkang banyak menghiris perasaan raja-raja Melayu. Selagi ada raja-raja Melayu sudah tentu sukar bukan Melayu naik jadi Perdana Menteri. Raja-raja Melayu pasti tidak merestuinya.

Sebab itu peranan raja-raja Melayu masih relevan dalam pentadbiran negara. Peranan raja-raja Melayu masih tidak boleh diketepikan. Sebab itu kita tidak boleh sewenang-wenangnya ‘sembah derhaka’ terhadap raja-raja Melayu. Kita tidak boleh pertikai raja-raja Melayu bida nombor plat kenderaan dengan harga yang tinggi. Kita juga tidak boleh tuduh raja-raja salah guna duit rakyat tanpa kita selidiki terlebih dahulu.

Tetapi semua ini telah dilakukan oleh pemimpin pembangkang. Kerenah mereka akan datang belum tahu lagi. Mungkin lebih teruk lagi. Yang masih setia mendaulat dan menjaga raja-raja Melayu ialah UMNO. Tapi kuasa UMNO semakin terhakis oleh permainan politik Melayu sendiri.

Soalannya, selamatkah raja-raja Melayu jika UMNO ditakdirkan hilang kuasa nanti?

Inilah jawapannya dalam menentukan siapakah PM Malaysia akan datang. Jawapannya di tangan orang Melayu sendiri. Melayulah yang akan menentukan siapakah PM mereka pada masa akan datang: Najib atau Guan Eng?

KARPAL: Lidah tersasul banyak tersirat.

GUAN ENG: Khalifah Umar Pakatan Rakyat?

PS : Kalau bangsa Melayu benar-benar bersatu tak mungkin mereka percaya fatwa Tok Guru yang sekejap naik sekejap turun.Tak mungkin ada Melayu masih jadi pak turut Anwar yang dikelilingi pelbagai tuduhan moral...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...