Seorang sahabat yang tidak menyokong mana-mana parti atau lebih tepat
lagi “duduk atas pagar” melepaskan rasa kecewa. Katanya; “Nampak gaya
muzakarah Umno dan Pas tak menjadi lagi,” keluhnya dalam nada yang penuh
rasa kesal.
Daripada keluhan itu, penulis melihat raut wajahnya yang benar-benar
kecewa setelah menatap beberapa akhbar pada pagi minggu baru-baru ini.
Nada kecewa dan rintihannya nampak benar apabila dia turut menggeleng-gelengkan kepala.
Menurutnya, dalam hal muzakarah atau lebih tepat lagi dalam bahasa
Melayu; berbincang bertukar-tukar pendapat, tentang sesuatu masalah
seharusnya tidak perlu ditangguhkan. Perkara yang baik perlu disegerakan
untuk masa depan demi kebaikan ummah.
Dalam hal ini, pemimpin atasan terutama Pas perlu memikirkan
masalah ummah yang di bawah, iaitu rakyat yang menanggung sengsara
akibat politik. Perpecahan kian parah berlaku dalam rumah tangga, antara
anak dan ibu bapa, terutama yang menyokong partiparti berlainan dan
berfahaman mengikut fahaman masingmasing.
Perpecahan juga berlaku dalam kalangan jiran tetangga, dalam masjid
rumah ALLAH, dalam masyarakat yang semakin melebar dan meluas akibat
fahaman politik yang berbeza.
Isu muzakarah Umno dan Pas ini seharusnya menjadi kenyataan. Jika
ditanya rata-rata pendapat rakyat bawahan kebanyakannya menyokong
muzakarah ini demi kebaikan agama, bangsa dan negara pada masa akan
datang.
Cerita menariknya, Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa
yang juga Ahli Parlimen Bacok, Kelantan, sanggup menyediakan rumahnya
sebagai tempat muzakarah. Inilah semangat pemimpin atasan yang
dialu-alukan oleh orang bawahan.
Semangat seumpama ini tidak semua ada dalam hati dan sanubari pemimpin atasan.
Kebanyakannya, apabila menjadi pemimpin jarang sekali memikirkan
tentang suara rakyat terbanyak atau suara orang bawahan. Padahal orang
bawahanlah yang mengangkat mereka menjadi pemimpin melalui undi dalam
kepimpinan parti dan juga undi dalam pilihan raya.
Justeru, Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), memerlukan kekuatan dan
penyatuan orang bawah iaitu golongan rakyat terbanyak dan juga penyatuan
pemimpin di peringkat atasan.
Mereka ini seharusnya memikirkan masa depan rakyat dan negara. Buangkan
rasa kebencian, ketidakselesaan, kemarahan dan carilah rasa
kemuafakatan, kebersamaan dan juga perpaduan ummah mengatasi
segala-galanya. Tuduh-menuduh antara satu sama lain dan akhirnya dijadikan isu politik menyebabkan rakyat bawahan juga yang rugi.
Inilah pandangan banyak pihak, terutama rakyat khususnya pengundi yang
mahukan Umno dan Pas mencari jalan penyelesaian dan titik pertemuan yang
satu.
Jika muzakarah Umno dan Pas menjadi realiti, bangsa Melayu akan
bertambah kuat, bersatu padu, bersefahaman terutama dalam hal-hal yang
berkaitan agama, politik, kemasyarakatan dan juga kehidupan.
Bayangkan jika ada dalam rumah tangga, si suaminya menyokong Umno,
isterinya menyokong Pas, “tidur sekatil tetapi mimpi lain-lain”, dan
anaknya pula menyokong PKR, tentulah berkecamuk dan tidak akan ada
kesefahaman dalam rumah tangga disebabkan fahaman politik yang berbeza.
Tugas pemimpin adalah membawa pengikutnya ke arah kesejahteraan,
perpaduan dan keharmonian. Pemimpin yang memandang seribu tahun ke
hadapan adalah pemimpin yang bijak dan memahami aspirasi serta kehendak
rakyat terbanyak.
Justeru, seorang pemimpin akan ditanya tentang kepimpinannya. Jika
memahami dan sedar akan perkara ini muzakarah seharusnya menjadi
kenyataan bukan helah politik.
No comments:
Post a Comment