DALAM pakatan pembangkang yang dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat
(PKR), DAP dan Pas masing-masing mempunyai 'ayam sabung' yang akan
terpekik terlolong di atas pentas-pentas ceramah bagi menyerang UMNO dan
Barisan Nasional (BN). Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja ceramah-ceramah melibatkan
'ayam-ayam sabung' itu di seluruh negara. Tuduhan amalan rasuah dan
penyelewengan yang kononnya dilakukan oleh UMNO dan BN sentiasa menjadi
modal ceramah mereka.
Penulis tidak berhasrat menyebut nama-nama 'ayam-ayam sabung' ini
kerana semua orang mengetahui siapa mereka yang kononnya bertindak
sebagai pejuang menegakkan kebenaran, menghapuskan ketidakadilan dan
mahu mewujudkan sebuah pentadbiran negara yang bersih. Kalau mendengar hujah-hujah mereka di pentas ceramah, seolah-olah
UMNO dan BN lah parti yang paling korup dalam dunia serta setiap hari
menyeleweng wang rakyat.
Apabila ada isu-isu yang melibatkan pemimpin-pemimpin UMNO dan BN,
'ayam-ayam sabung' ini akan berkokok kuat mendesak supaya siasatan rapi
dijalankan, suruhanjaya diraja ditubuhkan dan pemimpin terlibat didesak
meletakkan jawatan atau bercuti sehingga siasatan selesai. Walaupun ada tuduhan-tuduhan yang dilemparkan itu hanya rekaan
politik semata-mata namun 'ayam-ayam sabung' ini akan berkepak membuat
pelbagai andaian, tuduhan dan fitnah.
Bagi mereka, sama ada tuduhan dan dakwaan itu benar atau tidak ia
soal kedua, apa yang paling penting ialah berusaha membangkitkan
persepsi buruk rakyat terhadap pemimpin-pemimpin BN dan sekali gus akan
memberi keuntungan politik kepada mereka. Tetapi kita berasa hairan apabila 'ayam-ayam sabung' ini bagaikan bak
kata orang ayam berak kapur apabila ada isu melibatkan
pemimpin-pemimpin kanan mereka sendiri.
Tiada sepatah perkataan pun akan keluar dari mulut mereka bagi
mendesak siasatan yang telus dan adil dijalankan. Sebaliknya, mereka
akan lebih selesa untuk menganggap semua tuduhan dan dakwaan ke atas
pemimpin mereka hanyalah mainan politik serta konspirasi UMNO dan BN. Bagi 'ayam-ayam sabung' ini pemimpin-pemimpin mereka bersih dan suci
dari noda dan dosa serta tidak akan melakukan sebarang penyelewengan
mahupun salah laku moral.
Walaupun bukti-bukti yang ditampilkan terhadap dakwaan-dakwaan itu
cukup kukuh dan mampu mendorong kepada satu siasatan rapi dijalankan
tetapi 'ayam-ayam sabung' pembangkang ini hilang keberanian. Mereka akan berusaha mempertahankan pemimpin-pemimpin mereka yang didakwa melakukan perbuatan itu bermati-matian.
Ternyata sekali keberanian 'ayam-ayam sabung' tersebut ada batasnya
dan segala-galanya bukan berlandaskan kepada perjuangan menegakkan
keadilan, kebenaran apatah lagi memperjuangkan hak rakyat.
Sebaliknya, apa yang mereka lakukan hanyalah untuk mencari keuntungan
politik dengan cara memburuk-burukkan parti lawan mereka. Kalau mereka
benar-benar berjuang untuk rakyat dengan cara berusaha menghapuskan
segala penyelewengan dan salah laku sudah pasti pemimpin mereka juga
tidak akan terlepas menjadi sasaran.
Namun semua orang tahu mainan politik 'ayam-ayam sabung' ini yang
sejak kebelakangan ini semakin ghairah membangkitkan satu demi satu isu
semata-mata untuk memburukkan apa juga usaha yang dilakukan oleh
kerajaan BN. Selain itu, mereka juga berusaha melakukan 'pembunuhan karektor' ke
atas pemimpin-pemimpin parti itu berdasarkan kepada maklumat separuh
masak.
Walaupun akhirnya apa yang mereka dakwa itu tidak benar, tiada
sedikit pun keinsafan kepada diri mereka untuk memohon maaf kepada
individu terlibat, sebaliknya mereka akan terus mencanangkan isu yang
sama. Adalah sesuatu yang malang apabila, ada antara 'ayam-ayam sabung' ini
mewakili parti yang kononnya memperjuangkan Islam tetapi sanggup
melakukan tohmahan, fitnah dan dakwaan yang tidak berasas.
Kalau benar mereka pemimpin Islam kenapakah layanan yang sama tidak diberikan kepada pemimpin-pemimpin sekutu mereka yang didakwa terlibat dalam penyelewengan, rasuah dan salah laku moral. Kenapakah mereka tidak mahu memegang yang hak itu hak, yang batil itu batil?
Kalau benar mereka pemimpin Islam kenapakah layanan yang sama tidak diberikan kepada pemimpin-pemimpin sekutu mereka yang didakwa terlibat dalam penyelewengan, rasuah dan salah laku moral. Kenapakah mereka tidak mahu memegang yang hak itu hak, yang batil itu batil?
Terbuktilah sudah 'ayam-ayam sabung' di dalam pakatan pembangkang
ini, hakikatnya hanyalah penghibur di pentas-pentas ceramah dan ada
antara mereka pula lebih bertindak sebagai 'badut' dengan membuat
lawak-lawak memperlekehkan pemimpin-pemimpin BN sambil disulami dengan
tohmahan dan fitnah. Justeru tidak salah kita mencabar dan bertanya kepada 'ayam-ayam
sabung' ini, apakah mereka benar-benar memahami erti kebenaran dan
menegakkan keadilan.
Persoalan ini dilontarkan kerana 'ayam-ayam sabung' bersikap memilih berbulu, bertindak 'double standard' dan hipokrit apabila mendiamkan sahaja isu melibatkan pemimpin-pemimpin mereka. Namun dalam masa yang sama mereka harus ingat bahawa dunia sudah berubah, pemikiran politik rakyat juga yang sudah berkembang. Mungkin bagi penyokong tegar pembangkang, apa pun yang dikatakan oleh 'ayam-ayam sabung' ini akan disokong tetapi sikap itu tidak akan wujud di kalangan rakyat yang mahu berfikir dan mencari kebenaran di sebalik segala tohmahan, fitnah dan dakwaan yang dilemparkan kepada pemimpin-pemimpin BN.
Malahan akan ada di kalangan rakyat mempersoalkan, apakah hanya
dakwaan penyalah gunaan dan salah laku pemimpin BN sahaja harus dijaja
sedangkan perbuatan lebih buruk lagi yang dilakukan oleh pemimpin
pembangkang hanya berdiam begitu sahaja. Justeru ingatlah kebenaran tetap akan menumpaskan kebatilan dan
ketika itu semua pihak akan memahami bagaimana 'ayam-ayam sabung'
pembangkang ini, hanyalah 'berkokok' kuat tetapi ekor sendiri berlumuran
najis yang memualkan!
No comments:
Post a Comment