02 June 2012

PERBEZAAN ANTARA KEBANGKITAN DAN KEGANASAN


PADA 2 Februari 2011, stesen televisyen satelit Al Jazeera menyiarkan kenyataan Dr. Yusof Qardhawi mengenai rusuhan di Mesir sebagai 'wajib disertai rakyat yang sihat dan mereka yang mati ketika berdemonstrasi sebagai syahid'. Ketika itu, kenyataan Dr. Yusof dilihat sebagai pandangan khusus yang merujuk pada suasana politik Mesir, yang sedang melalui masa yang sangat genting. Sebagai Ketua Ulama Islam Sedunia, ucapan itu disiarkan dua hari sebelum menjelangnya Perarakan Jutaan Umat di Dataran Tahrir, Kaherah yang dianjurkan untuk mendesak Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan. Itu isu lama yang berlaku lebih setahun lalu.


Namun apabila kenyataan Dr. Yusof digunakan sebagai asas berhujah untuk mendesak rakyat Malaysia beragama Islam turun ke jalan raya menyertai Perhimpunan Bersih 3.0, dan menjadikan Kuala Lumpur sama seperti Medan Tahrir di Kaherah pada 28 April lalu, maka timbul kekeliruan yang harus segera diperjelaskan. Apakah benar, fatwa Dr. Yusof itu boleh diguna pada semua keadaan dan tempat? Apakah mereka yang berarak di Kuala Lumpur dikira berjihad dan sekiranya mati, tarafnya syahid?

Menurut Profesor Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid, ketika Dr. Yusof mengeluarkan fatwa berkenaan, ulama tersohor itu merujuk pada tentangan rakyat Mesir dan kekacauan di Libya.

"Dalilnya, Dr. Yusof tidak memfatwakan supaya orang bangkit menentang kerajaan di Bahrain, walaupun berlaku kekacauan yang sama, iaitu rusuhan menentang kerajaan. Tetapi tidak difatwakan Dr. Yusof supaya rakyat menggulingkan Raja Bahrain," katanya.

Maka jelas kepada kita bahawa fatwanya itu hanya berlaku di Mesir, Libya dan tidak di Qatar, Kuwait, Yamen dan lain-lain. Oleh demikian, apakah ia relevan di Malaysia? Oleh itu, katanya, Dr. Yusof berfatwa dengan sebab-sebab khusus, merujuk kekacauan dan pembunuhan rakyat awam di Mesir dan Libya ketika itu.

"Maka, dari segi Islam, kita tidak boleh mengambil satu kes untuk dijadikan rujukan umum kerana fatwa bergantung pada kondisi dan situasi tertentu," katanya.

Tambahnya, dalam konteks fiqah ada bab yang wujud dan dibahas di Malaysia, tetapi tidak di negara Arab seperti bab harta sepencarian. Ini adalah kerana di Malaysia para wanita atau isteri kita bekerja sedangkan di sana jarang orang perempuan bekerja. Beliau berkata demikian ketika menjadi panel program Bicara, terbitan TV Al Hijrah baru-baru ini. Seorang lagi panel ialah Dato' Shahlan Ismail, Setiausaha Politik Perdana Menteri. Program bual bicara ini dihoskan Amin Idris, membincangkan isu Kebangkitan dan Keganasan: Ada Bezanya.

Merujuk pada perhimpunan Bersih, terutama berhubung tuntutan penganjurnya kepada kerajaan, Shahlan pula berkata, hampir semua tuntutan itu diteliti. Bahkan untuk memastikan ia dikaji secara teliti maka ditubuhkan PSC yang dianggotai oleh Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan. Perbincangan juga diadakan bersama SPR. SPR turut bersetuju hampir semua tuntutan mereka diambil kira seperti menyemak untuk membersihkan nama pemilih, penggunaan dakwat kekal dan meneliti kaedah terbaik untuk undi pos bagi rakyat di luar negara walaupun sukar.

"Kerajaan mendengar suara mereka, itu sebab perhimpunan diluluskan, berdasarkan semangat' Akta Perhimpunan Aman' yang baru diluluskan bukan itu sahaja, ditawarkan tempat di Stadium Merdeka Kuala Lumpur atau lebih besar lagi Stadium Bukit Jalil. Persoalannya, kenapa pihak penganjur tetap mahukan Dataran Merdeka yang tidak mendapat kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur? DBKL tidak membenarkan perhimpunan di Dataran Merdeka kerana memikirkan kepentingan umum. Yang pasti berlaku kesesakan jalan-jalan utama di bandar raya Kuala Lumpur. 

''Para peniaga akan alami kerugian, jika perhimpunan tidak dapat dikawal mungkin akan berlaku rusuhan dan kerosakan harta awam. Maknanya bukan kepentingan penganjur Bersih sahaja yang patut dipenuhi, apa hal pula hak orang awam," katanya. 

Merujuk pada isu perbezaan antara kebangkitan dan keganasan, kata Shahlan, kebangkitan dirujuk kepada maksud bangun dengan penuh insaf dan sedar bagi menentang kebatilan demi menegakkan yang makruf, manakala keganasan merujuk pada perilaku yang berteraskan kepada sifat buas, penuh kebengisan dan terdorong oleh rasa dendam untuk mencapai kemahuan sendiri.

Ketika dipintas Amin mengenai rasa tidak puas hati penganjur kerana kerajaan tidak memenuhi semua permintaan yang dituntut, Shahlan berkata, antara yang dibahas adalah soal panjang tempoh berkempen ketika pilihan raya. Sebelum ini, katanya, tempoh berkempen minimum hanya tujuh hari, manakala dalam tuntutan dikemukakan penganjur Bersih, dicadangkan selama 21 hari.

"Akhirnya SPR bersetuju diputuskan minimum 10 hari. Biasalah menjadi adat bila berunding, takkan setiap masa nak suruh orang terima kehendak kita 100%. Tempoh ini ada sebabnya, berdasarkan pengalaman 13 Mei dahulu, pilihan raya 1969 di mana emosi yang dibiarkan membara, panas berpanjangan dalam kempen akan mencetuskan ketegangan, dan kempen yang berpanjangan boleh menyebabkan orang hilang pertimbangan dan tercetuslah konflik yang memudaratkan rakyat,'' katanya.

Merujuk pada isu mengenai kesediaan rakyat negara ini untuk menjadi lebih matang berpolitik, terutama dalam soal untuk bertolak-ansur dan tidak memanipulasi pengaruh untuk kepentingan sepihak, Dr. Mahmood Zuhdi mengakui, tahap kesedaran dan kematangan berpolitik di negara ini belum matang.

Menurutnya, politik negara ini masih dikongkong oleh budaya 'politik bertelagah' dan tidak pernah bersedia untuk menuju ke tahap 'politik berhujah' dengan keutamaan untuk memahami dan menguasai kaedah berpolitik yang berasaskan kepada 'orientasi berbeza pandangan'.

"Contohnya hudud, terlalu banyak polemik 'politik murahan', dan hingga sekarang tiada peningkatan pun dalam usaha memahamkan pelaksanaan hudud," kata Dr. Mahmood.

Merujuk kepada keadaan semasa di Mesir yang kini terus bergolak selepas 17 bulan Revolusi Tahrir, Shahlan pula berkata, Mesir kerugian kira-kira AS$40 bilion( RM120 bilion), dan lebih parah lagi KDNK negara itu menguncup teruk daripada 5.1 peratus pada 2010, merudum ke paras 1.6 peratus tahun lalu dan mungkin 2012 akan tumbuh sekitar 2.0 peratus. Ada kemungkinan besar mereka terpaksa menerima tawaran dari Dana IMF berjumlah AS$3 bilion (RM9 bilion) yang pastinya mengundang mimpi ngeri seperti mana nyaris kita juga terperangkap dalam 1997 dulu.

Malah katanya, dari rencana yang dibaca sewaktu beliau ke Mesir April lalu hampir sejuta rakyat Mesir hilang pekerjaan berikutan merosotnya pendapatan sektor pelancongan kerana ketiadaan pengunjung, berikutan tahap keselamatan yang sukar dijamin. Harus kita ingat sektor pelancongan Mesir menyumbang lebih 30 peratus pendapatan negaranya. Sudah banyak kilang yang mula berhenti operasi, sejumlah besar pekerja hotel diberhentikan. 

''Kadar pengangguran keseluruhan meningkat kepada 12 peratus pada 2012 dan inflasi Mesir dijangka melebihi 11 peratus pada 2012. Apabila keadaan ini berlaku, apabila rakyat tiada pekerjaan, hilang punca pendapatan sedangkan kehidupan keluarga harus diteruskan maka isu jenayah, penipuan, samun dan rompakan sukar dibendung," ujar Shahlan.

Dalam pada itu, Dr. Mahmood Zuhdi turut menyentuh isu membezakan antara islah dan rampasan kuasa. Katanya, keadaan di Mesir lebih memperlihatkan kepada rusuhan yang bertujuan merampas kuasa dan ini bukanlah jalan keluar dalam membina masyarakat yang berkualiti akhlaknya.

"Islah atau pembinaan masyarakat harus bermula dari pendidikan masyarakat itu sendiri. Rampasan kuasa atau rusuhan apatah lagi keganasan tidak menjanjikan bahawa generasi yang mengambilalih akan lebih baik dari kepimpinan yang ditumbangkan," katanya.

Menurutnya, pemimpin tersohor dalam gerakan Islam Mesir, Muhammad Abduh ketika hayatnya lebih percaya, bahawa kelemahan akhlak sesuatu bangsa termasuk dalam kepimpinan harus diperbaiki melalui sistem pendidikan masyarakat itu sendiri.

"Yang perlu berubah adalah masyarakat, bukan pemimpin semata-mata, justeru Muhammad Abduh lebih percaya untuk membaiki sistem pendidikan dalam melahirkan bangsa yang mulia," jelasnya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...