TIDAK ada rakyat Malaysia yang memandang remeh terhadap kes tiga
diplomat Singapura yang disyaki turut terlibat secara langsung dalam
perhimpunan Bersih 3.0 pada bulan 28 April lepas. Isu tersebut menjadi
bertambah musykil apabila maklumat bercanggah disalurkan oleh pejabat
Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Kuala Lumpur, Ong Keng Yong.
Ketika pada awal berita penglibatan diplomat Singapura tersebar, Keng
Yong menyatakan penglibatan diplomat beliau tidak ada kena mengena
dengan urusan rasmi kerana perhimpunan tersebut berlaku pada hari Sabtu.
Tetapi selang beberapa hari kemudian beliau menegaskan pula kehadiran
diplomat tersebut hanyalah sebagai pemerhati.
Tetapi apa yang nyata adalah Pesuruhjaya Tinggi Singapura telah
mengesahkan kehadiran ketiga-tiga diplomat tersebut cuma perkara yang
belum dapat dipastikan ialah tujuan kehadiran mereka. Jika benar
kehadiran mereka sebagai pemerhati maka itu adalah sebahagian daripada
tugas diplomat yang ditempatkan di negara asing untuk mengumpul maklumat
secara sah.
Bukan menjadi rahsia lagi terdapat beberapa diplomat negara asing
terutama sekali dari negara Amerika Utara dan Eropah turut serta dalam
perhimpunan Bersih 3.0 tetapi secara pasif iaitu memerhati dan mengumpul
maklumat untuk kegunaan laporan pejabat kedutaan masing-masing.
Tetapi jika terbukti penglibatan diplomat Singapura tersebut adalah
secara aktif maka sudah pasti ia menyalahi peruntukan Konvensyen Vienna
mengenai Hubungan Diplomatik 1961 yang antara lain melarang diplomat
asing mencampuri urusan dalaman sesebuah negara.
Jarang sekali berlaku di kalangan negara ASEAN yang mana berlaku
campur tangan secara langsung terhadap urusan dalaman sebuah negara lain
kerana berpegangkan prinsip menghormati kedaulatan sesebuah negara.
Jika diambil contoh paling ekstrem iaitu perjalanan proses demokrasi
Myanmar, ASEAN telah mempamerkan contoh terbaik bagaimana untuk membantu
secara positif tanpa mencampuri urusan dalaman Myanmar. Jika ASEAN
tunduk kepada gesaan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah supaya memberi
tekanan secara langsung terhadap Myanmar, sukar untuk dipastikan proses
demokrasi negara tersebut akan tercapai seperti hari ini.
Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Singapura adalah begitu unik
dan istimewa kerana diwarnai oleh sejarah lampau dan diseliputi oleh
pantang larang yang tersendiri. Tambahan pula senario politik terkini
yang sedang dilalui Singapura dan Malaysia adalah jauh berbeza jika
hendak dibandingkan satu dekad yang lepas.
Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Barisan Nasional (BN) sedang melalui
apa yang digelar transformasi politik untuk menyesuaikan keadaan semasa
dan sudah pasti kejutan seperti campur tangan asing dalam hal ehwal
politik dalaman adalah satu perkara yang patut dihindarkan.
Masalah terbaru antara dua negara jiran ini bukanlah kes yang
terburuk pernah dilalui. Bukan sahaja keakraban antara pemimpin
kedua-dua negara mampu menyelesaikan apa jua masalah yang timbul tetapi
juga kerana rakyat Singapura dan Malaysia memahami ikatan sejarah yang
telah membentuk kedua- dua negara sehingga hari ini.
Tetapi Malaysia perlu bertegas dan memberi isyarat yang jelas kepada
Singapura bahawa campur tangan diplomat dalam urusan dalaman sama ada
secara tersurat atau tersirat tidak dapat diterima. Langkah memanggil
Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Wisma Putra pada 22 Jun lepas hanyalah
sebagai pemula rasa tidak puas hati Malaysia.
Dalam pertemuan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dengan Keng Yong,
beliau telah menjelaskan pendirian kerajaan Malaysia mengenai
penyertaan secara langsung oleh diplomat dalam perhimpunan haram Bersih
3.0 sebagai satu langkah yang sama sekali tidak wajar.
“Langkah yang tidak wajar ini sememangnya telah menimbulkan pelbagai
persepsi negatif dalam hubungan antara Malaysia dan Singapura walaupun
pada hakikatnya hubungan antara dua negara jiran ini dan rakan baik
ASEAN kini kian berkembang," tambah Anifah.
Singapura sepatutnya lebih peka dengan keadaan geopolitik kedua-dua
negara supaya hubungan baik dapat dikekalkan dan keadaan ini berlaku
bukan dengan secara tidak sengaja tetapi disebabkan oleh sikap pragmatik
kedua-dua pemimpin Malaysia dan Singapura.
Jangan hanya disebabkan oleh sikap acuh tak acuh dan kealpaan pegawai
di Pesuruhjaya Tinggi Singapura membaca senario politik terkini
Malaysia, hubungan baik yang terjalin selama ini akan dipandang serong.
Campur tangan asing dalam urusan dalam sesebuah negara adalah perkara
sensitif dan jika ia dilakukan oleh diplomat maka langkah tersebut
boleh disamakan dengan pencabulan kedaulatan sesebuah negara.
Pada bulan Februari lepas Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata (SCAF)
Mesir telah mengenakan tuduhan kesalahan jenayah ke atas 43 pekerja
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana disyaki terlibat secara langsung
dalam urusan politik dalaman terutama sekali dengan mengambil bahagian
dalam beberapa demonstrasi di Dataran Tahrir.
Malaysia sebenarnya lebih banyak mempunyai ruang untuk mencampuri
urusan politik Singapura tetapi tidak dilakukan kerana ia tidak memberi
faedah kepada sesiapa jua. Umpamanya keputusan pilihan raya umum
Singapura Mei lepas menyaksikan jumlah undi populariti PAP jatuh merosot
sehingga 60 peratus tetapi yang lebih menarik adalah pola pengundi
Melayu walaupun minoriti tetapi dianggap memegang kuasa penentu.
Bukannya niat Kuala Lumpur untuk bertindak seperti SCAF Mesir atau
pun menghasut pengundi Melayu Singapura, tetapi penting bagi republik
itu mempamerkan sikap terbuka dan ikhlas bahawa penglibatan ketiga-tiga
diplomat mereka itu tidak sewajarnya berlaku.
No comments:
Post a Comment