Karpal Singh baru-baru ini mengatakan akan memperjuangkan kerusi
PM untuk diisi seorang bukan Melayu selagi beliau masih hidup.
Karpal turut berkongsi terjemahan sendiri bahawa tiada undang-undang
dalam Perlembagaan Persekutuan yang menghalang orang bukan Melayu
menjadi Perdana Menteri Malaysia. Berdasarkan terjemahan itu, Karpal secara peribadi menganggap jawatan
itu boleh disandang oleh calon bukan Melayu walaupun pakatan
pembangkang telah bersetuju Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk
Seri Anwar Ibrahim calon paling layak.
"Selagi saya hidup, saya akan berjuang untuk melihat seorang bukan
Melayu menjadi Perdana Menteri kerana tidak termaktub dalam Perlembagaan
negara yang menyebut hanya orang Melayu dibenarkan berbuat demikian. Saya tidak pasti sama ada hasrat untuk melihat bukan Melayu menjadi
Perdana Menteri termakbul dalam era saya, namun saya tetap akan
memperjuangkan impian ini," katanya.
Isu itu menerima pelbagai reaksi daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli politik dan anggota pakatan pembangkang sendiri. Dalam PKR dilihat terus membisu mengenainya, Pas pula kelihatan
berpecah kepada kumpulan yang menentang dan kumpulan yang cuba mengelak
daripada memberi komen yang boleh menjejaskan hubungan dengan DAP.
Banyak blog yang berkongsi laporan media berkenaan isu ini dan
mendapat reaksi positif dan negatif daripada pembaca namun beberapa
blogger sahaja yang memberi komen sementara yang lain membiarkan pembaca
mereka mengemukakan pandangan.
Blog House PK dalam mengupas implikasi
kenyataan Karpal turut mengaitkannya dengan kenyataan Anwar Ibrahim
sendiri pada satu konvensyen pakatan pembangkang di Ipoh, Perak sebelum
ini. Anwar ketika itu didakwa menyatakan Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang juga boleh menjadi Perdana Menteri. Namun, selepas Karpal menyatakan pendirian dan perjuangan untuk
Perdana Menteri bukan Melayu, Anwar menyatakan Perdana Menteri mesti di
kalangan orang Melayu seperti yang dipersetujui dalam pakatan
pembangkang.
Pendirian Anwar yang tidak konsisten mengenai status Perdana Menteri
jika pakatan pembangkang memerintah dikatakan banyak menimbulkan tanda
tanya. Katanya: "Yang mana satu ni wahai Anwar? Aku dan rakyat Malaysia dah
makin jelak dengan mainan politik kau ni! Geli la wei, sekejap cakap
macam ni sekejap cakap macam tu!"
Isu sama turut dimainkan portal Malaysian News Network yang mengupas kesannya terhadap Pas bermula dengan
sejarah Karpal 'menewaskan' parti itu dalam agenda pembentukan negara
Islam. Karpal pada 1990 pernah menyatakan: langkah mayatnya dahulu' jika Pas
mahu membentuk negara Islam dan 20 tahun kemudian, agenda itu
digugurkan. Pas akhirnya mengalah tanpa perlu 'melangkah mayat' Karpal dengan
alasan negara Islam tiada dalam al-Quran dan ini membolehkan DAP
bersorak kegembiraan.
Bukan itu sahaja, Pas juga dikatakan mengalah kepada kuasa DAP dalam
isu undang-undang hudud yang diabaikan ketika fokus diberikan kepada
Buku Jingga mereka.
"Tidak lama dahulu, penggunaan perkataan Allah menjadi isu
kontroversi apabila pihak gereja meminta kebenaran menggunakannya.
Sekali lagi, Pas mengalah demi menjaga hubungan mereka dengan DAP,"
katanya.
Pas dikatakan berkali-kali memilih untuk mendengar kata DAP mungkin
kerana memikirkan mereka sedang jatuh dan berharap hubungan dengan parti
itu akan membantu naik ke atas, dengan bantuan golongan bukan Islam
DAP. Karpal beberapa hari lalu menggambarkan program transformasi Datuk
Seri Najib Tun Razak tidak cukup meluas dan fokus kepada kawasan
pedalaman sahaja. Karpal menggunakan alasan status bumiputera sepatutnya merangkumi semua kaum yang dilahirkan pada atau selepas negara merdeka.
Seperti biasa, penyokong dan pemimpin Pas mengangguk dan mengikut tuntutan DAP atas nama kesamarataan dan keadilan. Kini, Karpal menyatakan hasrat untuk Perdana Menteri bukan Melayu
pula di Malaysia. Maklum balas awal Pas, khususnya dari Datuk Seri Nik
Abdul Aziz Nik Mat agak mengecewakan. Tiada bantahan selain kenyataan menyatakan apa Karpal katakan itu
hanya cakap-cakap 'orang tua'. Dalam kata lain, Nik Abdul Aziz melihat
provokasi Karpal hanya perkara kecil.
Tambah portal itu: "Sejarah mengajar kita setiap perkara yang keluar
dari mulut Karpal sentiasa menunjukkan identiti sebenar DAP seperti mana
dibuktikan apabila mereka dengan keras membantah negara Islam, hudud,
perkataan Allah, hak Melayu dan bumiputera serta banyak lagi. Oleh itu,
melihat jawapan ringkas Nik Abdul Aziz, tidak salah untuk kita katakan
yang beliau sebenarnya setuju dengan kenyataan Karpal yang mahukan
Perdana menteri bukan Melayu."
Untuk memerintah negara ini, pembangkang hanya memerlukan 112 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen sedia ada. Jika 40 daripadanya dipegang DAP dan dibantu 20 lagi daripada golongan bukan Melayu PKR, harapan DAP bakal menjadi kenyataan. Bayangkanlah bagaimana keadaannya jika pembangkang memerintah negara
ini. Ketika itu, adakah Nik Aziz akan berpatah balik dan mengatakan
kenyataan Karpal hanyalah mimpi orang tua?
Blog The Unspinners pula memberi komen
sindiran Karpal terhadap Guan Eng sama ada memilih Ketua Menteri atau
Perdana Menteri dalam menentukan untuk bertanding di peringkat Dewan
Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.
"Sebelum ini di sini, kami The Unspinner mengisahkan Karpal Singh
menyindir Guan Eng sebagai berhasrat untuk jadi Perdana Menteri. Itu
yang dijawab Guan Eng sebagai dia tiada hasrat lain melainkan hanya
untuk jadi Ketua Menteri Pulau Pinang sahaja. Rupanya inilah cara Karpal
Singh menegur Guan Eng untuk memilih antara bertanding kerusi ADUN atau
Parlimen tetapi tidak boleh kedua-dua," katanya.
Blog Apanama mendedahkan bahawa Karpal Singh ada mencadangkan polisi
'satu calon, satu kerusi' dan dengarnya polisi ini sudah disetujui oleh
DAP bagi menghentikan amalan elit-elit parti memonopoli kerusi-kerusi
negeri dan juga Pusat. Ahli-ahli pun turut menuntut supaya amalan 'satu calon, satu kerusi'
disegerakan kerana akar umbi mula hilang sabar dengan monopoli dan
dominasi keluarga Lim membina dinasti secara demikian.
Tambahnya: "Dengarnya, Guan Eng adalah satu-satu pemimpin DAP yang
masih berdegil enggan pilih satu kerusi saja. Dalam hasratnya mahu kekal
jadi Ketua Menteri Pulau Pinang, dia mahu tanding juga kerusi Parlimen
sebagai insurans. Antara sebabnya, dia khuatir kerana pemimpin
berpengaruh dalam DAP Pulau Pinang mahu Ketua DAP negeri itu, Chow Kon
Yeow menggantikan Guan Eng. Nampaknya sejarah Guan Eng dicampak keluar
dari Melaka pada 2005 akan berulang."
No comments:
Post a Comment