Demi ke Putrajaya, Anwar Sanggup Lakukan Apa Sahaja |
Dalam konteks negara, rakyat, muka bumi dan pemerintah Malaysia adalah
jasad fizikal Malaysia. Apa jua keganasan dan kebinasaan terjadi,
Malaysia tetap Malaysia. Elemen batiniah Malaysia yang menjadi mangsa
adalah nilai terasnya, iaitu ketenteraman dan perpaduan berlandaskan
Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara, Wawasan 2020 dan Konsep
1Malaysia.
Apabila pembangkang mengaktifkan pertukaran kerajaan (regime change),
kerana pemimpinnya ghairah merampas takhta di Putrajaya. Mereka sanggup
lakukan apa sahaja, asalkan citacita tercapai. Tindakan tersebut ada
kalanya mengundang suasana huru-hara negara dan merosakkan nilai teras
Malaysia (seolah-olah jahil mengenai keselamatan nasional). Tanpa hujung
pangkal yang sah, nyata dan demokratik, rakyat diadudombakan, wilayah
dihuru-harakan dan pemerintah dikucar-kacirkan. Perbuatan tersebut mampu
menggugat negara.
Apabila keadaan tersebut berlaku, inilah saatnya kuasa asing, khususnya
negara besar yang mahu menguasai geostrategik Malaysia, campur tangan
dalam urusan negara ini. Rakyat mesti menolak tindakan yang boleh
mengganggu gugat keamanan negara. Pertukarankerajaan melalui peti undi
pada pilihan raya dibenarkan dan dihalalkan, dan bukannya melalui protes
jalanan atau reformasi. Rakyat wajar mengambil iktibar apa yang berlaku di Iraq, angkara tali
barut asing di negara tersebut yang memperjudikan keselamatan negaranya
untuk melakukan guling kerajaan. Akhirnya, Iraq dilanda perang saudara
sejak Mac 2003 hingga sekarang dan rakyatnya terus dilanda kesengsaraan.
Di Indonesia, 21 Mei 1998 tercatat dalam sejarah Indonesia apabila
Presiden Suharto yang bertanggungjawab memakmurkan tanah dan rakyat
negara itu digulingkan gerakan mahasiswa. Selepas 14 tahun Suharto
meletak jawatan dan menjadi persoalan ramai ialah apakah yang dicapai
hasil daripada laungan reformasi? Mengikut pemerhatian, kebanyakan media utama di Indonesia merumuskan
bahawa agenda reformasi gagal mencapai matlamatnya. Kesan reformasi di
negara itu ialah amalan rasuah dan nepotisme terus dilihat berlaku.
Reformasi hanya sejahterakan golongan elit yang menyertai gelanggang
politik. Malah, Indonesia menyaksikan kebebasan bersuara hanya
mengundang parah akibat kekerasan dan tindakan tidak bertamadun
sesetengah pihak. Kebebasan yang diperoleh rakyat Indonesia tidak
seiring dengan ciri-ciri negara demokrasi yang didambakan. Tanpa reformasi, Malaysia sebenarnya berada di landasan yang tepat
menuju ke arah negara maju menjelang 2020. Apa yang perlu dilakukan kini
adalah memberi sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
untuk memastikan kestabilan politik, ekonomi dan sosial.
Justeru, perjuangan perlu berprinsip dan berakhlak. Matlamat tidak
menghalalkan cara. Rakyat boleh protes jika tidak puas hati dengan
pemerintah. Tetapi pilihlah cara yang diredai ALLAH SWT. Berpeganglah
kepada kuasa untuk menegak prinsip dan bukannya mengorbankan prinsip
kerana kuasa. Kewujudan pemimpin yang stabil, positif dan ikhlas bagi sesebuah negara
adalah aspek penting dalam Islam. Firman ALLAH SWT yang bermaksud:
"ALLAH menjanjikan orang yang beriman dan beramal salih kalangan kamu
(wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah yang
memegang kuasa pemimpin di bumi." (Surah al- Nur, ayat 55).
Sifat mulia dan terpuji Nabi Muhammad SAW wajar dijadikan contoh dalam
menolak tawaran kuasa pembesar Makkah, apabila menggadaikan prinsip
perjuangan. Umat wajar berpegang kepada ajaran Islam yang mengambil
pendekatan halal dan terpuji dalam mencapai matlamat kita. Konsep
matlamat menghalalkan cara tidak wujud dalam Islam.
No comments:
Post a Comment