KETIKA banyak isu moral, biseksual dan integriti Ketua Pembangkang,
Anwar Ibrahim masih belum terjawab, muncul pula pendedahan terbaru. Anwar didakwa mengarahkan peguamnya mencipta bukti mengaitkan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu kapal selam Scorpene dan
pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaaribu. Maknanya beliau mencipta fitnah terhadap Najib dalam isu tersebut
yang dijadikan modal politik sejak 2002. Sampai begitu sekali sikap
Anwar. Itu belum berkuasa, sekiranya menjadi Perdana Menteri,
bayangkanlah musibahnya nanti.
Walaupun tersentak dengan pendedahan itu tetapi Awang tidak terkejut.
Ramai yang tahu reputasi Anwar dalam soal integriti. Beliau tidaklah
sebersih mana. Apatah lagi perkara itu didedahkan oleh Ahli Parlimen
Kulim-Bandar Baru, Datuk Zulkifli Noordin yang ketika itu menjadi peguam
bela Anwar. Berikut antara sedutan kenyataan beliau semasa perbahasan di Dewan Rakyat, Selasa lalu yang disiarkan media.
Selaku peguam bela Anwar pada ketika itu, saya membuat pelbagai
semakan undang-undang untuk mencari bukti bagi mengaitkan Perdana
Menteri dalam kes pembunuhan berkenaan. Namun tiada sebarang petunjuk
Najib terlibat tetapi pembangkang cukup galak melemparkan fitnah.
Tiada sebesar zarah pun bukti Perdana Menteri terlibat dalam kes
pembunuhan Altantuya dan apabila saya memberitahu Anwar, dia marahkan
saya. Anwar kata, kalau tiada bukti, kamu kena adakan bukti tersebut tetapi
sebagai peguam yang berprinsip, saya tidak mengikut arahan berkenaan. Kalau ada bukti, sudah lama saya gunakan untuk menyerang Perdana
Menteri tetapi hari ini, isu pembelian kapal selam Scorpene ditimbulkan
lagi. Apa tujuan mereka timbulkan isu ini, tujuannya tidak lain untuk
kembali mengaitkan Najib dengan kes pembunuhan Altantuya yang terbukti
fitnah.
Saya peguam Anwar, saya lebih tahu. Mereka mendakwa kononnya ada
surat akuan bersumpah yang mengaitkan Najib, semua itu bohong
sebagaimana akuan sumpah palsu (diarah Anwar dalam kes Mohd. Saiful
Bukhari Azlan),
Kenyataan di Dewan Rakyat itu cukup kuat. Ini disusuli kenyataan Ahli
Parlimen Bayan Baru, Zahrain Mohamed Hashim yang juga bekas sahabat
Anwar bahawa Ketua Pembangkang itu tidak mempunyai sebarang asas untuk
mengaitkan Najib dalam kedua-dua isu tersebut. Menurut beliau, kerajaan
telah menandatangani perjanjian pembelian Scorpene pada 2002 manakala
penganalisis politik, Abdul Razak Baginda mula mengenali wanita itu pada
2004.
Tiada kaitan sama sekali Altantuya dalam isu Scorpene lebih-lebih
lagi dengan Najib. Perdana Menteri sendiri telah bersumpah di dalam
masjid pada 2007 bagi membuktikan beliau tidak bersalah. Setakat ini,
Anwar tidak memberikan reaksi berhubung pendedahan Zulkifli, sama
keadaannya dengan pendedahan bahawa beliau mengawal 20 akaun induk
bernilai RM3 bilion.
Kalau ada pun penjelasannya sudah boleh dijangka - tidak menjawab
persoalan sebenar dan menuding jari pula kepada pihak lain. Tidak perlu
untuk penulis ulas panjang tetapi Anwar sudah menjadi liabiliti kepada
rakyat dan negara. Selain dua kali dihadapkan ke mahkamah atas kes liwat dan isu
biseksual, Anwar juga berdepan dengan banyak isu pembohongan dan
dolak-dalik. Itulah ‘kehebatan’ Ketua Pembangkang Malaysia berbanding
negara lain. Antara yang Awang ingat adalah muslihat mendapatkan
bantuan IMF ketika krisis kewangan 1997, isu cubaan rampasan kuasa 16
September, kehilangan jam Omega, rakaman video seks bersama wanita
dipercayai pelacur dan sokongan kepada Israel.
Sekali lagi bayangkan sekiranya Anwar menjadi ketua kerajaan, imej
Malaysia yang disegani terutama sejak kepimpinan Tun Dr. Mahathir
Mohamad bukan sahaja merudum malah diperlekehkan dunia. penulis tidak kisah kalau Anwar mahu berbohong kepada isteri dan
keluarganya tetapi janganlah terus berbohong kepada rakyat. Dalam Islam,
ditekankan betapa pemimpin yang selalu berbohong apatah lagi memfitnah,
perlu dihindari. Persoalannya, apa lagi fitnah yang Anwar reka, yang
kita semua tidak tahu.
No comments:
Post a Comment