Ramai yang tidak terkejut
dengan kenyataan Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim baru-baru ini yang menyatakan
hasratnya untuk bertanding jawatan Presiden parti itu Mei depan.
Dalam wawancaranya
dengan The Ant Daily, Anwar dilaporkan berkata, sejak setahun lalu isterinya (Wan
Azizah) telah menyatakan hasratnya yang ingin bersara bagi menumpukan perhatian
bersama Anwar dan cucunya.
Perkara itu juga turut
dinyatakan oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail yang mengesahkan
Anwar akan bertanding jawatan tersebut dalam pemilihan parti itu bermula 25 April
dan berakhir pada 11 Mei ini.
Menurut pemerhati
politik, selain mengukuhkan kuasanya tindakan tersebut sebenarnya bertujuan
untuk mengekang pengaruh politik Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang semakin
melebar.
Malah desas-desus
mengenainya semakin hebat diperkatakan melalui kenyataan dan tindakan Azmin
yang dilihat begitu agresif menyerang semua ‘orang-orang’ dari kem Azizah
sehingga memeningkan Anwar.
Ahli parlimen Gombak
itu sebelum ini dilihat cuba merebut kuasa pentadbiran negeri Selangor dengan
keputusan yang dibuat oleh MPP Pusat yang mahu agar Khalid Ibrahim selaku
Menteri Besar dilucutkan jawatan dan digantikan dengan calon lain (Azmin) yang dikatakan
lebih layak dan berkemampuan.
Namun semua usaha itu
tergendala di tengah jalan, apabila Adun Kajang dari PKR mengambil keputusan meletakkan
jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding bagi membolehkannya menggantikan
Khalid sekali gus memusnahkan impian Azmin.
Namun usaha Azmin itu
tidak berhenti setakat itu sahaja apabila para pengikutnya mula menyusun
langkah dan strategi untuk membolehkannya dipilih sebagai Presiden.
Menurut sumber
dalaman parti itu, kumpulan yang menyokong Azmin dikatakan telah memulakan
beberapa siri kempen sebelum ini dengan mengadakan beberapa perjumpaan melalui
program ‘Bertemu Pemimpin Di Akar Umbi’.
Azmin juga dikatakan
turut giat mengatur langkah dengan mengadakan beberapa program wacana ‘Laksana
Satu Nyawa’ sebagai satu usaha untuk mendekati golongan muda dalam parti itu
khususnya di Lembah Klang.
Tidak cukup dengan
itu, Azmin juga dikatakan giat mengatur ‘orang-orangnya’ untuk bertanding
jawatan-jawatan penting parti di peringkat cabang, negeri dan pusat.
Khuatir dengan perkembangan
tersebut, Anwar mungkin merasakan dia perlu melakukan sesuatu bagi menghalang pengaruh
‘anak emasnya’ itu. Maka jalan terbaik adalah dengan memaklumkan hasratnya untuk
bertanding jawatan Presiden atas alasan ia adalah merupakan permintaan Azizah.
Dengan cara itu,
sudah pasti Azmin terpaksa mempertimbangkan semula hasratnya untuk merampas
kepimpinan parti. Ini kerana sebagai anak didik Anwar, sudah pasti tindakan
untuk mencabar Ketua Pembangkang itu akan dilihat sebagai satu penderhakaan.
Maka jalan terbaik
untuk Azmin hanyalah dengan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden parti yang
disandangnya sebelum ini. Namun, ada khabar mengatakan, Nurul Izzah turut berminat
untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden atas alasan ingin memantapkan lagi perjuangan
PKR agar lebih efektif.
Dalam erti kata lain,
Azmin bakal berdepan dengan anak kesayangan Anwar bagi merebut jawatan
tersebut. Dan sekiranya Anwar mengambil keputusan untuk membantu jentera kempen
Nurul, sudah pasti Azmin bakal berdepan dengan laluan yang sukar.
Kesimpulannya
#LangkahKajang bukanlah untuk memperjuangkan isu rakyat seperti yang didakwa,
ia hanyalah merupakan langkah permulaan Anwar untuk mengukuhkan penguasaannya dan
anaknya di dalam PKR. Di masa yang sama ia adalah merupakan medan yang terbaik
untuk membunuh pencabar politiknya yang juga merupakan ‘anak emasnya’ suatu
ketika dahulu.
No comments:
Post a Comment