02 February 2014

Helikopter Tentera Darat, Mendarat Cemas, Ekoran Rosak Teruk



Helikopter Agusta A-109 milik Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) yang rosak teruk selepas mendarat cemas di kawasan berhutan berhampiran Empangan Bekok Khamis lepas telah berjaya dibawa keluar hari ini.

Menurut sumber-sumber tentera, helikopter peninjau ringan itu berjaya dibawa keluar dari lokasi kemalangan itu kira-kira 4 petang tadi menggunakan aset-aset  Angkatan Tentera Malaysia (ATM).


"Helikopter yang rosak teruk itu telah tiba di Kem Mahkota, Kluang kira-kira 5.45 petang tadi menggunakan kenderaan "Load Loader" tentera," katanya hari ini.

Sumber itu berkata, usaha membawa keluar helikopter PUTD itu dipercayai bermula sejak semalam menggunakan kenderaan berperisai Adnan ARV (Armoured Recovery Vehicle), yang dikerah daripada kem tentera di Gemas.

ATM terpaksa menggunakan kenderaan Adnan ARV di dalam operasi membawa keluar helikopter Agusta itu kerana ia lebih lasak dan bersesuaian dengan keadaan muka bumi lokasi kejadian kemalangan itu.

Kementerian Pertahanan sehingga hari ini belum mengeluarkan kenyataan rasmi tentang kemalangan membabitkan helikopter PUTD itu.

Di dalam kejadian di antara 9 dan 10 malam Khamis lepas itu, helikopter terbabit terpaksa membuat pendaratan cemas ketika melaksanakan latihan penerbangan malam yang berisiko tinggi.

Empat penumpang helikopter terbabit termasuk juruterbangnya dan tiga pegawai tentera yang lain selamat tanpa mengalami kecederaan yang serius.

Kesan daripada impak pendaratan cemas itu, bahagian ekor dan bilah kipasnya terputus dua manakala komponen pendaratannya juga mengalami kerosakan yang teruk.

MalaysiaGazette juga difahamkan salah seorang penumpang helikopter itu merupakan pegawai tentera asing berpangkat Lt Kolonel yang bertindak sebagai jurulatih penerbangan.

PUTD memiliki 11 buah helikopter Agusta A-109 yang ditempatkan di pengkalannya di Kem Mahkota.
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...