15 June 2012

PM MALAYSIA : ISLAM DAN MELAYU

Sungguh akrab, pemimpin Ultra Kiasu ini

Baru-baru ini kita dihebohkan di media arus perdana berkenaan dengan satu isu kenyataan Pengerusi DAP Karpal Sing yang mana berikrar akan terus berjuang supaya seorang bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia dengan alasan tiada undang-undang yang diperuntukkan untuk menghalang bukan Melayu menjawat jawatan tersebut. Kenyataan beliau ini boleh kita ditafsirkan sebagai sensitif dan boleh membawa kepada keresahan dalam kalangan masyarakat khususnya, masyarakat Melayu.


Hal ini disebabkan, kenyataan-kenyataan seumpama ini bukanlah kali pertama dikeluarkan oleh beliau. Sebagai contoh, ketika Pas bercita-cita ingin mengujudkan sebuah negara pemerintah Islam beliaulah orang yang kuat menentang saranan tersebut sehinggakan cita-cita Pas untuk mewujudkan sebuah negara Islam terpaksa diketepikan bagi menjaga hubungan antara DAP dan Pas.
Antara Persaudaraan dan Kepentingan Politik

Malah,  kenyataan beliau ini yang mahu seorang bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri, merujuk kepada Lim Guan Eng telah membawa  pelbagai persepsi berbeza dalam kalangan mahasiswa, parti politik, mahu pun masyarakat umum. Ternyata kenyataan ini sudah tentu memberi impak yang besar kepada orang Melayu khususnya. Hal ini disebabkan kenyataan seumpama ini boleh mengubah kuasa politik, terutama kuasa politik orang Melayu dan juga hala tuju pemerintahan negara antara 10 atau 20 tahun akan datang.

Hal ini disebabkan dari awal kemerdekaan negara sehingga sekarang, Perdana Menteri Malaysia adalah dalam kalangan orang Melayu sendiri, dan sejarah belum lagi tercipta yang mana bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri. Persoalannya adakah orang Melayu sanggup berperdana menterikan seorang yang bukan Melayu?  Penulis boleh menjangkakan jawapannya tidak.
Hal ini melibatkan beberapa faktor. Salah satunya ialah pengaruh sejarah politik negara dan juga suasana negara yang mana majoriti masyarakatnya adalah orang Melayu.

Mengapa Isu Perdana Menteri bukan Melayu timbul?

Walaupun dalam Perlembagaan Malaysia dengan telah terang mengatakan bahawa  tiada peruntukan yang menyebut hanya orang Melayu yang boleh dilantik sebagai Perdana Menteri tetapi kaum-kaum lain juga turut berpeluang dilantik sebagai Perdana Menteri jika mendapat undian yang cukup dari anggota parti yang membentuk kerajaan.

Namun, perlu difahami bahawa kondusi masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan majoritinya adalah masyarakat Melayu. Justeru, adalah wajar jika ketua eksekutif atau kerajaan dilantik dalam kalangan Melayu sendiri, yakin boleh membawa aspirasi  dan perpaduan negara. Tetapi mengapa isu ini timbul? Persoalan ini dapat penulis kaitkan dengan isu muzakarah antara pimpinan Pas dan Umno yang dicadangkan sebelum ini, namun amat mendukacitakan apabila muzakarah yang dirancang sekian lama terkubur di tengah jalan, disebabkan beberapa perkara.

Jika kita ingin membincangkan berkenaan isu permasalahan Umno dan Pas, perbezaan pandangan, hala tuju perjuangan melibatkan kedua-dua parti politik ini ia, terlalu panjang untuk dibincangkan di dalam ruang yang terhad ini. Namun, sejarah telah menceritakan bahawa kedua-dua kuasa politik ini amat liat untuk menemui titik persefahaman. Jika ada usaha sekali pun untuk menyatupadukan kedua-dua parti politik ini ia pasti menemui kegagalan.

Namun, apa yang dapat penulis katakan berkenaan isu Perdana Menteri bukan Melayu adalah gambaran kepada keresahan dan kebimbangan DAP jika  umat Melayu bersatu, melalui landasan Umno dan Pas. Hal ini disebabkan jika Melayu bersatu melalui kedua-dua parti politik ini ia cukup ampuh, dan sudah pasti memberi satu kelebihan, dan nilai kekuatan kepada bangsa Melayu itu sendiri.

Mengapa Melayu berat menerima Perdana Menteri bukan Melayu?

Faktor utama mengapa orang Melayu amat berat menerima Perdana Menteri bukan Melayu adalah kerana ia berkait rapat berkenaan peruntukan Perlembagaan Persekutuan 153 yang mana bersangkut paut dengan hal-hal berkaitan hak keistimewaan Melayu, bahasa Melayu, dan agama Islam sebagai agama Persekutuan. Menurut pandangan penulis isu hak keistimewaan Melayu, bahasa Melayu, dan agama Islam inilah menjadi punca utama keresahan orang Melayu apabila Karpal Singh menimbulkan isu yang mana akan terus berjuang supaya seorang Perdana Menteri yang akan dilantik dari kalangan bukan Melayu selagi beliau masih hidup.

Walaupun Pakatan Rakyat (PR) berulang kali menyatakan bahawa sekiranya PR berjaya membentuk kerajaan pusat pasca-PRU13, hak keistimewaan orang Melayu akan terus terpelihara dan terjamin menurut perlembagaan. Namun, persoalannya benarkah ia betul-betul terjamin sekiranya PR berjaya membentuk kerajaan persekutuan kelak. Perkara inilah masih menjadi igauan dalam benak fikiran orang-orang Melayu itu sendiri.

Hal ini disebabkan, orang Melayu melihat bangsa Melayu masih bertatih di dalam menguasai pelbagai sektor terutamanya pegangan ekonomi. Jika Perdana Menteri dilantik dalam kalangan bukan Melayu menurut Karpal Singh, orang Melayu menganggap ia satu lesen besar kepada DAP untuk mewujudkan konsep kesamarataan dalam apa juga sektor, ekonomi, pendidikan, perniagaan, pegangan saham dan sebagainya.

Secara tidak langsung ia menjarakkan lagi jurang ekonomi antara Melayu dan bukan Melayu, yang kaya terus mengaut kekayaan, manakala yang miskin akan terus tertindas. Mungkin kita tidak melihatnya secara kasar atau melalui pembentuk dasar-dasar negara, namun ia boleh berlaku dalam bentuk yang lebih halus sehinggakan orang Melayu tidak sedar apa yang sedang berlaku.

Ditambah lagi, sekiranya Perdana Menteri yang bakal dilantik sekali pun dalam kalangan Melayu Islam sekiranya PR menang dalam PRU 13 nanti dan berjaya membentuk kerajaan persekutuan. Namun, timbul pula persepsi dalam kalangan Melayu bahawa Perdana Menteri yang dilantik hanyalah Perdana Menteri boneka semata-mata seperti yang digambarkan kepada Datuk Seri Nizar sebagai Menteri Besar Perak suatu ketika dahulu.

Walaupun Datuk Seri Nizar sebagai Menteri Besar Perak namun orang di kiri dan di kanan beliau adalah orang-orang DAP yang boleh mempengaruhi beliau membuat keputusan. Sama juga situasinya di peringkat pusat jika Perdana Menteri yang dilantik dalam kalangan Melayu, namun ia tidak ubah hanya sebagai simbol semata-mata bagi mengelakkan kemarahan orang Melayu.

Hal ini disebabkan orang Melayu melihat parti DAP lebih bersifat rasis berbanding MCA kerana orang Melayu melihat DAP adalah parti yang mewarisi semangat Malaysian Malaysia dari parti PAP pimpinan Lee Kuan Yew. Setelah Singapura berpisah dengan Malaysia pada 1963, DAP dikatakan sebagai parti sapihan daripada PAP dan yang mana membawa ideologi yang hampir sama yang pernah diperjuangkan oleh Lee Kuan Yew suatu ketika dahulu.

Bagaimana Perdana Menteri bukan Melayu beragama Islam?

Hal ini dapat kita sandarkan kepada kenyataan Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Azizi Nik Mat yang mana meletakan syarat bahawa Perdana Menteri yang bakal dilantik sekiranya PR berjaya menawan Putrajaya mestilah beragama Islam manakala soal kaum yang bakal dilantik beliau tidak kisah asal Perdana Menteri tersebut beragama Islam. Beliau menambah lagi, negara ini adalah negara umat Islam maka Perdana Menteri yang bakal dilantik sebagai pemimpin utama negara mestilah dalam kalangan pemimpin beragama Islam supaya orang Islam boleh memimpin orang Islam dan bukannya orang bukan Islam memimpin orang Islam.

Malah idea ini juga, turut dikongsi oleh bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang mana senada dengan Mursyidul Am Pas supaya Perdana Menteri mestilah beragama Islam tetapi tidak mengira kaum. “ Mana-mana kaum di Malaysia boleh menjadi Perdana Menteri, asalkan beragama Islam. India Muslim, Cina Muslim sekali pun boleh memerintah, yang penting agama mesti Islam” (Sinar Harian 28 Mei 2012).

Apabila kita melihat komen dan pandangan kedua-dua tokoh ini dapat disimpulkan bahawa syarat utama Perdana Menteri yang bakal dilantik mestilah beragama Islam tanpa mengira kaum di Malaysia. Namun, harus kita ingat bahawa kaum majoriti di Malaysia adalah Melayu dan kita perlu mengambil semangat ini untuk menetapkan bahawa orang Melayulah yang lebih layak dilantik mengisi kerusi Perdana Menteri sekiranya PR berjaya menawan Putrajaya kelak.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...