Gabungan parti di dalam Pakatan, umpama mimpi tiada penghujung |
KENAPA pakatan pembangkang tidak berani menggunakan satu lambang pada
pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang diramal akan diadakan tidak lewat
dari hujung tahun ini? Adakah ini bermakna mereka tidak yakin dengan pakatan yang mereka
sendiri wujudkan? Pakatan yang kononnya mampu menggantikan Barisan
Nasional (BN) sebagai kerajaan (jika menang PRU13)? Atau masing-masing
takut jika menggunakan satu logo, penyokong akan lari?
Kenyataan Naib Presiden PKR, Tian Chua bahawa parti-parti dalam
Pakatan Rakyat (PR) tidak akan menggunakan simbol masing-masing walaupun
kewujudan pakatan itu diiktiraf oleh Pendaftar Pertubuhan menimbulkan
seribu satu tanda tanya akan keaslian dan keikhlasan pembentukan pakatan
berkenaan.
Jika, kegagalan menjadi kebimbangan, adakah ini bermakna apa yang
dikatakan sebagai kejayaan pakatan yang membabitkan gabungan Pas, DAP
dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum 2008 hingga
mencetuskan tsunami politik bukan disebabkan oleh keupayaan mereka? Sedangkam tsunami itu menyaksikan BN hilang penguasaan dua pertiga di
Parlimen selain turut hilang penguasaan di Kedah, Pulau Pinang dan
Selangor.
Jika pakatan yang dibentuk bagi tujuan mengambilalih peranan BN
sebagai kerajaan itu asli seperti yang dijaja pada setiap ceramah dan
perhimpunan, para pemimpin parti terbabit tidak perlu takut mengikatnya
secara rasmi dan bertanding menggunakan satu logo pada PRU13. Tentunya, cara itu membantu memudahkan para pengundi membuat pilihan - sama ada BN atau pakatan. Dengan itu juga ia selari dengan matlamat mewujudkan sistem dua parti
di negara ini yang kerap diuar-uarkan sejak kebelakangan ini.
Tetapi ketidaksanggupan rakan-rakan dalam pakatan terbabit
menggunakan satu logo memberi gambaran bahawa mereka tidak mempunyai
keyakinan terhadap gabungan yang dibentuk sejak PRU12 itu. Ketidaksanggupan itu menunjukkan pakatan tersebut boleh dirungkai pada bila-bila kerana tidak diikat secara rasmi.Walaupun ada pakatan, setiap parti yang bernaung di bawah pakatan itu
bergerak secara sendiri-sendiri berdasarkan ideologi masing-masing.
Tentunya Pas tidak sanggup menggunakan logo lain selain bulan kerana
khuatir itu akan dianggap oleh para penyokongnya bahawa parti itu sudah
lari daripada perjuangan untuk mengwujudkan negara Islam. Walaupun, Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang berkata, penubuhan
negara Islam bukan lagi matlamat Pas kerana ia tidak disebut dalam al
Quran, namun, di kalangan penyokong parti itu Islam adalah matlamat
perjuangan mereka. Sebab itu, Ketua Penerangan Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, pernah
menegaskan, pihak pembangkang tidak akan menggunakan lambang yang sama
pada PRU13.
Katanya, Pas, PKR dan DAP akan menggunakan lambang masing-masing pada
kertas undi. DAP pula tentunya tidak mahu imej cauvinisme Cinanya
hilang jika logo roket tidak digunakan dalam pilihan raya. Bagi PKR, sama ada menggunakan logo sendiri atau lambang yang sama
tentunya tidak memberi apa-apa perbezaan kerana parti itu sememangnya
selama ini menumpang populariti yang ada pada Pas dan DAP. Tanpa Pas dan DAP, perjuangan PKR tidak akan ke mana kerana ia
dilihat lebih ke arah perjuangan peribadi barisan kepimpinan parti itu.
Ini merupakan fakta, bahawasanya, pakatan ketiga-tiga parti itu ibarat tidur
sebantal tetapi mimpi lain-lain. Bagaimana mereka mahu menjadi alternatif kepada BN jika
dalam soal untuk menggunakan satu logo bagi mewakili pakatan yang mereka
bentuk sendiri gagal dicapai. Adakah ketidaksanggupan menggunakan satu lambang itu menunjukkan PR
hanya pakatan bermusim untuk mencapai kepentingan politik tertentu
sahaja?
Jika betul niat mereka berpakat adalah demi kepentingan rakyat dan
demi memberikan alternatif kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu
selain BN dan demi merealisasikan sistem dua parti seperti yang
dicanang, mengapa takut untuk menggunakan satu lambang pada PRU13 nanti? Jika pakatan mereka itu benar-benar ikhlas mengapa Pas, DAP dan PKR
takut dan sentiasa berdolak-dalik apabila memperkatakan soal ikatan
rasmi dan seterusnya memiliki satu lambang yang sama pada pilihan raya?
Soal masa yang singkat dan keyakinan sepatutnya tidak timbul sebab,
pakatan itu rasanya telah dicanang pembentukannya sejak sebelum pilihan
raya umum yang lalu. Dalam soal keyakinan pula, mereka telah membuktikan keupayaan untuk
berpakat apabila mencatatkan kemenangan luar biasa pada PRU12 dan
beberapa pilihan raya kecil selepas itu. Tujuan sebenar ketiga-tiga parti itu berpakat hanya untuk menewaskan BN. Mereka tidak mempunyai apa-apa pelan tindakan untuk memerintah apatah lagi membangunkan negara.
Apakah rakyat bakal tertipu lagi dengan lakonan mereka |
Sebab itu dalam hal yang berkaitan penggunaan logo secara bersama
pun mereka gagal mencapai kata sepakat. Dari sini rakyat sendiri mampu
menilai mana satu pakatan yang lebih padu untuk membela kepentingan
mereka dan pakatan mana yang rapuh dan hanya berjuang untuk kepentingan
sendiri.Yang pasti ketiga-tiga parti itu terutama Pas dan DAP masih lagi
dengan sentimen dan ideologi masing-masing yang menyebabkan mereka takut
untuk bernaung di bawah satu lambang.
Ini memberi gambaran bahawa mereka sendiri tidak yakin akan kemampuan
pakatan yang dibentuk. Sebab itu tidak rela berkongsi satu lambang
seperti mana yang dilakukan oleh BN bersama-sama dengan 14 parti
komponennya. Jika itu sikap yang diambil oleh Pas, DAP dan PKR, maka harapan
pengundi muda untuk melihat wujudnya sistem dua parti di negara ini
seperti mana yang terdapat di Amerika Syarikat dan United Kingdom tidak
akan menjadi kenyataan.
Pas, DAP dan PKR sebenarnya takut dengan bayangan pakatan yang mereka
hasilkan sendiri sebab itu tiada kesepakatan untuk menggunakan lambang
yang sama. Di sebalik sorak-sorai bahawa pakatan yang mereka bentuk mampu
mengambilalih peranan dan BN dan mampu menyediakan satu alternatif
kepada rakyat, sebenarnya Pas, DAP dan PKR masih bersifat enau dalam
belukar. Masing-masing mahu melepaskan pucuk sendiri walaupun di sisi
lain dicanangkan bahawa mereka kini berpakat.
Jika Pas, DAP dan PKR ikhlas mahu menjadi pakatan yang merupakan
alternatif kepada BN, mereka sepatutnya tidak mempunyai masalah
menggunakan logo yang sama pada PRU13. Jika dalam hal membabitkan perkara asas seperti menggunakan lambang
yang sama mereka gagal mencapai kesepakatan, mampukah mereka berpakat
untuk mentadbir negara? Terlalu jauh untuk mereka menjadi alternatif kepada BN. Kalau soal
logo pun tidak mampu berpakat, apatah lagi untuk berpakat dalam soal
dasar dan pelan dan untuk pembangunan.
Lihatlah negeri-negeri di mana Pas, DAP dan PKR pakat-pakat
memerintah. Ada-ada saja masalah berbangkit dan isu yang timbul hingga
menjejaskan kualiti hidup rakyat. Matlamat mereka hanya mahu mengalahkan BN dalam pilihan raya. Kita
bimbang, selepas menang mereka tidak boleh berpakat merancang
membangunkan negara seperti mana mereka gagal berpakat untuk menggunakan
lambang yang sama ketika pilihan raya.
No comments:
Post a Comment