SAYA tertarik dengan beberapa janji manis di
pentas yang diluahkan dengan bersungguh-sungguh oleh Datuk Seri Anwar
Ibrahim sewaktu berceramah di Pantai Dalam, Kuala Lumpur hujung minggu
lalu. Ramai antara kami ketawa dan tersenyum melihat telatahnya dan apa
yang diungkapkan serta ditambah dengan janji-janji baru.
Memang benar Anwar cukup hebat berpidato. Tetapi dalam pidatonya
banyak yang tidak mengena, malah kosong belaka. Pidatonya hanya memberi
pandangan negatif dan semua yang dibuat oleh kerajaan tidak bermanfaat. Umum tahu apa yang pemerintah sekarang lakukan ramai rakyat mendapat
manfaat. Semasa Anwar bercakap dia lupa diri. Kami mendengar dan melihat
serta menimbang adakah yang diperkatakan berisi fakta atau sebaliknya.
Kelantangannya hanya untuk menarik perhatian, untuk mempercayainya dan
memperdaya pendengar.
Janji barunya jika menawan Putrajaya, dalam masa 24 jam harga minyak
diturunkan. Hasil Petronas akan digunakan untuk memberi pendidikan
percuma. Juga memansuhkan pinjaman PTPTN setelah berkuasa. Sungguh manis, sungguh senang berjanji itu dan ini semata-mata untuk
meraih undi. Gunung yang ada pun kalau dicangkul hari-hari akan menjadi
rata, inikan pula hasil utama negara. Apakah dasar pemerintahan Anwar
dan pembangkang mahu dengan mudah memperoleh dan membelanjakan hasil
negara tanpa mengambil kira implikasinya?
Macam mana masa depan negara kalau berbelanja dengan tidak berhemah?
Kalau bagi mereka memerintah, lima tahun lagi negara akan hancur dan
kucar-kacir. Lihatlah apa yang sedang berlaku di negeri di bawah
pemerintahan pembangkang, tidak nampak kemajuan. Air tak cukup, sampah
tak dibuang, rumah untuk rakyat tidak dibina. Pembangkang hanyut ke sana ke sini menabur janji, macam NATO (No Action Talk Only).
Mana perginya janji dulu? Sekarang terus buat lagi pelbagai janji baru
walaupun janji dulu masih belum nampak banyak ditunaikan di negeri di
bawah pembangkang setelah lebih empat tahun memerintah.
Lihatlah apa yang berlaku di Pulau Pinang. Anwar berasal dari sana,
menang di Parlimen Permatang Pauh, diperintah oleh pembangkang. Apa
sumbangan dia kepada orang Melayu Pulau Pinang? Kemajuan dan pembelaan kepada anak bangsa amat jauh sekali. Malah
ramai orang Melayu Pulau Pinang berhijrah ke Sungai Petani dan negeri
berdekatan kerana semua tahu sebabnya. Ini salah satu negeri yang di
bawah pembangkang bersama Anwar yang tidak ambil kira kepentingan bangsa
Melayu.
Kalau di Pulau Pinang yang dia menang pun Anwar tidak dapat berbuat
apa-apa, inikan pula memerintah negara. Janganlah kata orang, kera di
hutan disusui anak di rumah mati kelaparan. Marilah kita sama-sama tanya apa yang telah Anwar lakukan untuk
kebaikan dan pembinaan anak bangsa di kawasannya. Tak ada satu pun
projek atau kejayaan yang dapat dibanggakan daripada dia menjadi
Timbalan Perdana Menteri dahulu hingga sekarang. Yang ada hanyalah janji
kosong. Yang dapat hanya kuncunya yang terus menyokong walaupun akan
membawa rebah kelak.
Dalam kehidupan kita boleh tipu seorang dua, tetapi tidak boleh tipu semua orang.
No comments:
Post a Comment