Sepanjang pementasan teater tersebut diadakan, penulis dapat melihat beberapa orang yang hadir telah menitiskan air mata (termasuklah penulis sendiri) kerana persembahan yang diberikan begitu dirasai oleh penonton.
Walaupun kesemua para pelakon yang menjayakan persembahan itu bukannya terdiri daripada para pelakon handalan tanahair, namun mesej yang ingin mereka sampaikan benar-benar telah menyusup ke dalam jiwa penulis dan para penonton. Mereka yang menjayakan pementasan ini terdiri daripada kakitangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri.
Tanpa perlu mengunakan ‘props’ yang hebat-hebat (PDRM hanya mengunakan latarbelakang sebuah rumah pasung (balai polis) untuk mengambarkan suasana yang berlaku) dilihat berjaya menyampaikan mesej yang terkandung.
Rentetan peristiwa penjajahan tanah melayu itu, telah berjaya di garap dan di olah dengan begitu baik oleh oleh pengarahnya, ACP Zakaria Yusof.
Pementasan pada malam itu di mulakan dengan peristiwa penjajahan Jepun di Tanah Melayu dan setelah kalah semasa perang dunia ke 2, pihak British telah mengambil alih kuasa (secara halus) dari pemerintahan raja-raja Tanah Melayu.
Babak yang seterusnya bermula apabila cadangan untuk menubuhkan ‘Malayan Union’ telah di tentang sekeras-kerasnya oleh para pemimpin politik tanahair.
Satu kongres Melayu yang menyatukan semua pertubuhan Melayu di Tanah Melayu di adakan pada 1 hingga 4 Mac 1946 atas cadangan Dato’ Onn bin Jaafar. Dalam mesyuarat ketiga Kongres Melayu Se-Malaya itu, keputusan dicapai untuk menubuhkan sebuah parti politik iaitu UMNO.
UMNO secara rasminya ditubuh pada 11 Mei 1946 dan melantik Dato’ Onn bin Jaafar sebagai presiden pertama. Penentangan Malayan Union telah mencapai kejayaan dan Malayan Union di tukar kepada Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948.
Bertitik tolak dari peristiwa itu, semangat menuntut kemerdekaan akhirnya menyala dan merebak ke suluruh pelusok tanahair sekaligus membangkitkan semangat nasionalisme umat Melayu dan akhirnya berjaya menjadikan Malaya sebagai bumi yang berdaulat.
Penulis juga berkesempatan mendengar seorang lelaki tua berkata kepada anak-anaknya supaya terus memastikan dan menjaga kedaulatan negara ini daripada di jajah semula. Jangan sesekali mempersiakan darah pejuang bangsa yang telah menggadaikan nyawa dan harta benda kerana mahu mengusir penjajah keluar dari bumi Melayu ini.
Beliau turut berpesan, andaikata kemerdekaan yang di perolehi ini gagal di pertahankan, kelak janganlah di salahkan generasi akan datang andaikata bukan air mawar yang di siram di atas pusara sebaliknya yang ditabur ialah air kencing sebagai tanda penghinaan. Jangan sesekali membiarkan diri di hina oleh generasi seterusnya semata-mata kerana kegagalan dan kealpaan kita untuk mempertahankan bumi keramat ini.
Bukanlah niat untuk mengajar sejarah kemerdekaan negara ini, tetapi penulis hanya ingin membawa pembaca menyelami akan perit getir yang terpaksa di tempuhi oleh datuk dan nenek kita dalam mendapatkan kemerdekaan. Yang mungkin ada di kalanga kita yang terlupa dengan pejuang-pejuang bangsa seperti Tunku Abdul Rahman, Datuk Onn Jaafar, Ahmad Boestamam (sekadar menyebut beberapa nama).
Mereka inilah antara tenaga penggerak yang telah bertungkus lumus dan berhempas pulas tanpa mengira siang atau malam, penat atau lelah, mahupun memikirkan kepentingan peribadi, semata-mata hanya ingin melihat Malaya pada ketika itu menjadi sebuah negara yang bebas merdeka.
Mengisi Kemerdekaan
Betapa besar dan luhurnya perjuangan mereka demi melihat bumi bertuah ini ditadbir urus mengikut acuan bangsa, budaya, dan keserasian masyarakat majmuk negara ini. Hasilnya inilah Malaysia seperti yang dapat kita lihat pada hari ini.
Namanya bukan sahaja mekar di rantau ini malah di segani dunia di atas cetusan-cetusan kecemerlangan yang di hasilkan oleh rakyat Malaysia di bawah kepimpinan lima Perdana Menteri yang berwawasan. Di terajui oleh Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra sehingga Perdana Menteri hari ini, Datuk Seri Najib Abdul Razak, Malaysia tidak menoleh ke belakang lagi dalam mengejar impianya.
Walupun hanya di diami oleh 27 juta penduduk, keunikannya tersebar ke seluruh dunia. Kepelbagaian bangsa, pembangunan fizikal, keindahan alam semulajadi, kekayaan budaya malah kesinambungannya dalam arus kemajuan dunia telah memartabatkan semangat bangsa Malaysia.
Pembaca semua juga sedia maklum, di bumi Melayu ini juga Islam berjaya berkembang dan di pertahankan, hasil dari kemerdekaan ini juga Malaysia telah berjaya melahirkan ramai tokoh-tokoh dalam bidang perniagaan, ekonomi, perubatan, pendidikan, sebagainya.
Hasil kemerdekaan ini juga anak Melayu telah berjaya mendaki gunung yang tertinggi di dunia, berenang merentasi Selat Inggeris, berlayar mengelilingi dunia, ekspedisi jelajah kutub utara dan selatan, dan seribu macam kejayaan telah dikecapi dan boleh dibanggakan.
Terkini anak kelahiran Malaysia juga telah berjaya berada di ambang angkasa lepas dalam misinya merintis teknologi aeroangkasa buat di susuli generasi akan datang.
Tidak kurang juga rakyat Malaysia ketika ini mampu untuk hidup secara aman damai dengan persahabatan dan pemuafakatan antara kaum yang saling di jalin erat antara satu sama lain. Paling keramat dalam semua keunikkan ini adalah keamanan dan keharmonian yang kita miliki, inilah aset prima negara.
Amerika contohnya yang telah mencapai kemerdekaan hampir 150 tahun juga di lihat gagal untuk mewujudkan toleransi antara kaum dan di lihat begitu tertarik dengan formula yang di guna pakai di Malaysia ini.
Oleh yang demikian telah wujud perasan dengki dan khianat di hati mereka untuk sentiasa merosakkan perpaduan kaum dan keharmonian rakyat negara ini. Penulis di fahamkan telah wujud gerakan-gerakan untuk memastikan negara lainterus berada dalam keadaan hura-hara dan secara tidak langsung menjadikan umat negara tersebut kembali di jajah dengan isltilah penjajahan baru atau penjajahan senyap.
Penjajahan ekonomi dan minda contohnya, juga merupakan satu pendekatan baru dalam merealisasikan impian untuk terus menjajah. Pendekatan yang diguna pakai ialah, memilih individu tertentu untuk berkiblatkan kepada idealisme mereka dan sekaligus di jadikan sebagai boneka.
Sebagai contoh lihat sahaja kepada pemimpin boneka mereka di Iraq, Afghanistan, Timur Laste, Palestin dan sebagainya. Mereka ini memengang jawatan sebagai ketua negara hanya pada nama, namun dalam urusan membuat keputusan perkenan Amerika hendaklah diperolehi terlebih dahulu.
Sekiranya dikaji secara mendalam Amerika sendiri sebenarnya adalah boneka untuk kerajaan Israel kerana dari pembuat dasar hinggalah Presiden negara itu, wajib mendapat kelulusan dari penaung-penanung yang majoritinya berketurunan Israel.
Maka untuk memastikan negara ini terus berdaulat (dalam ertikata merdeka), sokongan padu dari segenap masyarakat hendaklah diberikan, bagi mengelak negara ini menerima nasib yang serupa.
Oleh yang demikian setelah kita berjaya mewarisi kemerdekaan ini, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk mengisi kemerdekaan yang di perolehi dan mempertahankannya bagi di wariskan pula kepada generasi yang akan datang.
“Adalah sukar untuk mendapatkan kemerdekaan buat negara, namun untuk mengisi kemerdekaan ini adalah lebih sukar” petikan daripada kata-kata Tun Mahathir Mohamed, Mantan Perdana Menteri ke-4.
Penderhaka Negara
Apa yang mendukacitakan, tatkala rakyat bergembira meniti kejayaan negara yang bebas dan berdaulat, telah wujud seangkatan ‘tentera’ yang menyerang kerajaan dan pucuk pimpinan negara dari setiap arah.
Angkatan ‘tentera’ yang di maksudkan bukanlah terdiri daripada mereka yang mengalas senapang dan bom tangan seperti yang biasa kita tonton di dalam televisyen dewasa ini. Mereka ini terdiri daripada rakyat negara ini yang berkiblatkan barat yang saban hari menyerang kerajaan dengan seribu macam tohmahan dan fitnah.
Modus operandinya ialah memainkan sentimen perkauman, institusi raja di cemar, kesucian agama Islam di hina, pemimpin kerajaan dipersenda, badan kepolisian diperlekeh, hinggakan semua projek pembangunan kerajaan untuk rakyat dimanipulasi untuk digagalkan.
Nawaitu mereka hanya satu untuk mengapi-apikan dan membangkitkan kemarahan rakyat untuk bangkit menentang kerajaan. Sekiranya ini berlaku kerajaan luar akan campur tangan dan memaksa kerajaan membentuk kerajaan baru yang akan di pilih di kalangan mereka yang boleh di jadikan sebagai boneka.
Sekiranya 50 tahun dahulu datuk dan nenek kita berperang melawan penjajah dengan mengunakan senjata dan sebagainya, namun kini selari dengan arus kemodenan negara, serangan alaf baru telah dilancar menerusi laman web dan penulis-penulis blog yang menghentam dan mengkritik kerajaan dan pemimpin negara atas dasar hak kebebasan bersuara.
Atas dasar dan pendekatan itu pelbagai fitnah dan propaganda telah dicipta dan sentiasa dimainkan untuk menyakin rakyat. Ini kerana dengan hanya bersandarkan kepada ‘cerita palsu namun sekiranya diceritakan hari demi hari, lama kelamaan orang akan mempercayainya sebagai cerita betul’ walaupun ia sebaliknya.
‘Target market’ mereka terdiri daripada golongan atas pagar, pegawai-pegawai kerajaan, mereka yang kecewa dengan UMNO apabila sesuatu yang diharapkan tidak kesampaian, para pelajar IPT dan kolej, generasi baru yang bakal mewarisi kepimpinan kerajaan, dan golongan yang baru berjinak-jinak di dalam dunia politik.
Golongan yang di nyatakan tadi adalah terdiri daripada mereka yang kurang arif dengan taktik licik dan kotor ini. Setiap hari apabila golongan yang disebutkan tadi melayari laman-laman web pembangkang, mereka akan disajikan dengan pelbagai fitnah dan berita adu domba.
Selain daripada itu mereka juga mensasarkan kepada bangsa lain seperti cina dan india baik dari pembangkang mahupun parti komponen Barisan Nasional. Pelbagai isu diputar-belitkan sehingga mereka ini sudah berani mempersoalkan kembali keputusan yang telah di buat.
Setakat ini, mereka juga telah berjaya menjadikan bangsa Melayu sebagai majoriti negara ini saling berpuak-puak dan memusuhi antara satu sama lain. Pelbagai isu yang dibangkitkan semata-mata untuk memecah-belahkan perpaduan kaum yang telah dipupuk selama ini.
Licik dan kotornya permainan yang mereka gunakan ini, bukan sahaja merosakan kredibiliti kerajaan tapi apa yang lebih bahaya ia boleh meletakkan negara ini berada dalam keadaan huru-hara.
Sedih dan amat memilukan, itulah antara perasaan yang sering bermain di dalam hati penulis ketika ini. Betapa bangsa yang kecil ini sentiasa mempunyai sifat seperti ketam di dalam baldi, yang akan saling menarik sesama sendiri apabila ada yang ingin keluar.
Perpecahan demi perpecahan sering dan kerap melanda, tanpa mengira waktu dan ketika.
Berbanding dengan bangsa lain yang sentiasa memastikan bangsa mereka berada di hadapan sekali untuk menguasai apa jua bidang. Yang lebih menyedihkan sudahlah lemah dalam pelbagai bidang, kuasa tunggal (politik) yang ada ketika ini pun mahu di pecahkan.
Masing-masing begitu sibuk mencari seribu macam jalan dan cara untuk merampas dan memusnahkan kuasa ini, tanpa memikirkan jalan untuk menguatkannya agar terus berada di tangan melayu.
Bangunlah Bangsaku
Pembaca sekalian juga mungkin biasa mendengar madah yang berbunyi ‘Dont ask what government can offer, but ask what yourself can offer to government’
Dalam erti kata mudah, jangan di tanya apakah sumbangan yang telah kerajaan berikan kepada rakyat selama 50 tahun usia kemerdekaan negara ini, tapi tanyalah kepada diri sendiri sejauh manakah sumbangan yang telah kita berikan untuk memastikan kemerdekaan yang di warisi ini mampu dipertahankan untuk 50 tahun akan datang?
Berpaksikan kepada kenyataan itulah penulis tampil untuk bersama menyumbangkan dan membantu kerajaan dari segi penulisan dan pandangan bagi bersama-sama menjawab tohmahan yang di lemparkan kepada kerajaan selama ini. Walaupun usaha ini kecil, namun diharapkan ia mampu menarik lebih ramai pembaca untuk berfikir secara lebih luas dan memberikan sedikit kefahaman kepada khalayak agar mampu menilai pendekatan pembangkang ini.
Bak kata pepatah ‘mata pena itu kadangkala lebih tajam dari mata pedang’ yang membawa maksud kadangkala di dalam peperangan, hanya melalui bidang penulisan musuh yang kelihatan gagah perkasa mungkin berjaya untuk dikalahkan.
Jangan lupa, suatu ketika dahulu, mantan Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim juga tersungkur kerana buku ’50 Dalil’ karangan Khalid Jafri. Walaupun tidak secara keseluruhan namun sedikit sebanyak ia telah membantu menguburkan cita-cita rakus Anwar itu.
Kemungkinan juga akan ada suara-suara sumbang yang mengatakan tulisan ini tidak akan mampu membawa sebarang makna dan perubahan dalam mempengaruhi pembaca. Kerana mungkin penulisan ini tidak cukup kuat untuk berlawan hujah dengan mereka apatah lagi untuk menyedarkan kesemua pembaca atau mempengaruhi fikiran kelompok yang telah sebati, taksub dan fanatik dengan dakyah yang telah dimomokkan selama ini.
Namun setidak-tidaknya penulis mencuba sedaya yang mampu untuk menyedarkan mereka agar masyarakat terus dapat menerima, menyokong dan mempertahankan kerajaan ini. Amanat keramat hasil nukilan pemimpin terdahulu “negara kita bukan besar untuk berpisah, bangsa kita tidak ramai untuk berpecah’ cukup menyentuh hati untuk kita fikirkan bersama.
Bersandarkan kepada nukilan tersebut penulis akan sentiasa berusaha untuk menyambung jerih payah generasi terdahulu dalam mempertahankan kerajaan dari serangan pembangkang yang hanya mahu melihat umat negara ini terus dijajah dan terjajah.
Siapa tahu mungkin penulis tidak berkesempatan untuk menanti 50 tahun akan datang untuk melihat apa yang akan terjadi terhadap negara dan bangsa yang tercinta ini.
Kalau bukan kita siapa lagi, kalau bukan sekarang bila lagi.
No comments:
Post a Comment