14 May 2012

Tom & Jerry vs Umno & PAS

Itulah perumpaan yang agaknya sesuai untuk diberikan kepada dua (2) parti politik terbesar umat Melayu di Malaysia ini.  Idea ini diambil dari mantan mufti Perlis, Professor Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang melabelkan parti ini seperti watak kartun di dalam akaun Twitter beliau.

 
Kedua-dua watak kartun ini dilihat begitu sinonim dengan kita (pada yang pernah menonton) suatu ketika dahulu serta masih lagi menjadi bahan tontonan anak-anak kita dewasa ini.
Tom digambarkan sebagai seekor kucing yang besar dan sering mencari peluang dan ruang untuk membuli Jerry atau tidak keterlaluan juga boleh dilabelkan sebagai opportunist. Manakala Jerry diwatakkan sebagai seekor tikus yang mempunyai telinga capang dan mempunyai susuk tubuh yang kecil namun sangat licik dengan prinsip “matlamat menghalalkan cara” dengan gerakan dan perancangan yang ada kalanya dilihat amat keterlaluan .
Kedua-dua binatang ini sering dilayarkan gemar untuk saling usik mengusik antara satu sama lain, dan ada ketika dilihat boleh menjadi sahabat yang akrab. Walaupun kedua-dua karakter ini sering dilihat bermusuhan dan membenci antara satu sama lain, namun secara kesimpulannya mereka berdua saling perlu dan memerlukan.
Ketiadaan salah satu dari watak tersebut akan mengakibatkan kewujudan watak yang lagi satu tidak lagi relevan. Kehadiran keduanya saling memerlukan walaupun secara zahirnya sering dilihat bercakaran antara keduanya.
Berbalik kepada parti politik UMNO dan PAS, walaupun antara satu sama lain baik dari segi ideologi perjuangan mahupun prinsip dilihat sering bercanggah namun sebenarnya kedua-duanya mempunyai peranan dan tanggungjawab yang tersendiri dan saling lengkap melengkapi. Kehadiran keduanya wajar dilihat sama penting kepada pembangunan ummah di dalam negara ini.
Sebagai contoh, andai kita telusuri sejarah peranan dan tanggungjawab keduanya. Suka atau tidak, kita tidak mampu untuk menolak kejayaan dan jasa yang telah dicurahkan oleh UMNO melalui Barisan Nasional dalam pembentukan dan pembangunan negara tercinta ini, manakala kejayaan di pihak PAS dalam membina dan mendidik pembangunan insan rakyat terutama dalam mengimarahkan institusi keagamaan negara ini.
Walaupun masih ada unsur dan faktor lain sebagai penyumbang, namun gandingan keduanya sebagai ‘check and balance’ adalah merupakan kuasa penentu kepada kesejahteraan dan kemakmuran di dalam negara.
Apa yang penting kedua parti politik yang mewakili Islam dan umat Melayu ini perlu muhasabah dan mencari titik kesamaan sebagai usaha memacu negara kearah yang lebih baik. Kerana sejarah telah membuktikan factor utama kemajuan dan kehebatan sesebuah negara dan bangsa itu adalah perpaduan. Runtuhnya sebuah negara dan tamadun dalah berpunca dan bertitik tolak dari hilangnya titik kesamaan dalam perpaduan dan penyatuan.
Rasulullah saw sendiri merupakan pejuang perpaduan di dalam usaha murninya. Meskipun mendukung permuafakatan dengan penganut agama lain, teras kepemimpinan Baginda adalah mendahulukan perpaduan sesama umat Islam. Firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 46 bermaksud: “Dan taatilah Allah SWT dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berselisih yang menye-babkan kamu menjadi gentar dan kekuatanmu hilang dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah SWT berserta dengan orang yang sabar.”
Kuasa yang ada perlu dipertahankan, agar tidak terhakis, kerana penyesalan dikemudian hari tidak akan berguna lagi. Kelak semua umat Islam dan Melayu perlu membayar dengan harga yang sangat tinggi. Namun, percayalah ketika itu, sudah terlambat. Nasi sudah jadi bubur. Demikian mahalnya harga yang terpaksa dibayar bila politik kepartian dimainkan secara melampau dan jumud.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...