14 May 2012

Rasional Antara Mahasiswa dan Politik Negara


Sejak kebelakangan ini dilihat ramai golongan mahasiswa yang begitu memberikan perhatian dalam isu politik tanahair. Tidak ketinggalan juga segelintir dari mereka yang mengambil keputusan untuk mendesak malahan ada yang telah ‘terjun’ untuk bersama-sama memainkan peranan dalam pentas politk.


Antara isu yang dibawa antaranya melahirkan penegasan agar AUKU dimansuhkan hinggalah kepada mendesak kerajaan untuk memansuhkan PTPTN. Tidak dinafikan pembabitan dan sumbangan mahasiswa dalam politik tanah air suatu ketika dulu telah melahirkan ramai pemimpin muda dan berkaliber, namun apa yang perlu di ingat zaman sudah berubah.

Negara bukan lagi menentang penjajah atau ketidakseimbangan sosial atau ekonomi seperti dulu. Malah perjuangan ahli politik ketika ini juga bercampur baur antara tanggungjawab terhadap rakyat serta tuntutan kepentingan politik masing-masing.

Dalam hal ini, mahasiswa perlu membuktikan dan menunjukkan justifikasi dan tahap kewajaran untuk mereka agar diberi peluang terbabit dalam politik. Ahli politik kerjanya berpolitik sepenuh masa. Guru yang dibenar berpolitik juga memiliki tugas hakiki dan mereka sudah berada pada kedudukan kukuh dari segi kerjaya mahupun pemikiran yang lebih matang.

Bagi mahasiswa pula kerja utama mereka ialah belajar dan selagi tidak menggenggam ijazah, mereka belum boleh berasa selamat dan bebas untuk melangkah dari alam menara gading ke dunia kehidupan nyata yang penuh dengan liku dan cabaran.

Namun, hal ini tidak bermaksud mahasiswa tidak boleh menyumbang kepada kelangsungan pembangunan negara melalui pembabitan dalam politik. Kita percaya kelompok anak muda ini memiliki idea dan daya kreativiti yang boleh diketengahkan dengan bimbingan dan tunjuk ajar yang betul.

Apa yang penting ialah kewarasan pemikiran dan kematangan bertindak, di samping kebijaksanaan menyatakan pendirian, hujah serta kemampuan membahagikan masa antara akademik dan politik, dilihat antara inti pati formula yang perlu dimiliki mahasiswa andai mahu aktif berpolitik.

Jika elemen ini mampu diterjemahkan, maka rasional untuk mereka berpolitik ada kewajarannya. Dan yang paling utama statistik mereka yang lulus dengan cemerlang atau setidak-tidaknya berjaya menamatkan pengajian perlu ada peningkatan. Ini kerana barulah negara ini dapat diwariskan kepada golongan anak muda agar dapat memacu negara kearah yang lebih baik.

Apa yang diharapkan, semoga keputusan kerajaan untuk meminda AUKU bagi memenuhi aspirasi dan suara generasi orang muda dapat digunakan dengan penuh kematangan dan sebaik mungkin.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...