24 May 2012

MUZAKARAH Perlu Focus perpaduan ummah


ISU muzakarah dan penyatuan antara dua parti majoriti terbesar umat Islam iaitu UMNO dan Pas kembali bergema. Ia bukan satu isu baru kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini suara-suara untuk penyatuan kedua-dua parti ini lantang disuarakan oleh pelbagai pihak merangkumi ahli akademik, pemimpin masyarakat di samping ahli dan pemimpin parti masing-masing.


Malah beberapa langkah dan inisiatif pertemuan juga pernah diadakan sebelum ini. Namun hakikatnya belum menampakkan sebarang tanda positif seperti yang diharapkan oleh semua pihak. Terkini Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan muzakarah bersama UMNO diadakan sebelum pilihan raya umum ke-13 (PRU-13). Rata-rata semua pihak baik dalam kalangan ahli dan pemimpin UMNO mahupun Pas sendiri menyambut baik saranan ini yang mahukan umat Islam negara ini bersatu padu atas dasar perpaduan ummah.

Sudah tiba masanya untuk UMNO dan Pas memandang secara serius isu ini, terutamanya apabila mutakhir ini terlalu banyak pertelingkahan berlaku sesama umat Islam sehingga memecah-belahkan umat Islam negara ini kepada beberapa kelompok kecil. Justeru perkembangan baharu ini perlu dilihat secara positif tanpa sebarang prasangka mahupun prejudis demi mewujudkan perpaduan ummah.


Seperti biasa dalam hal sebegini isu syarat perjumpaan selalu menjadi halangan utama kepada usaha murni terbabit yang akhirnya seringkali menggagalkan perjumpaan yang dirancang. Walaupun ada di antara syarat tersebut boleh dipertimbangkan atau dibawa berbincang, biarlah ia menjadi soal kedua.

Biarlah usaha dan niat untuk menyatupadukan umat Islam menjadi perkara pokok dan agenda utama perbincangan.

Apa salahnya segala syarat mahupun kehendak itu dibincang secara baik dalam muzakarah itu kelak? Terserahlah kepada kedua-dua pihak untuk berbincang secara terperinci dan membuat keputusan yang bijak nanti setelah meneliti cadangan, syarat mahupun pandangan masing- masing agar dapat wujudkan situasi menang-menang.

Kita perlu terima hakikat bahawa bukan mudah untuk membuat sesuatu keputusan tanpa perbincangan yang terperinci, apatah lagi ia melibatkan sebuah parti yang mempunyai bilangan ahli yang begitu ramai.

Justeru, dalam hal ini apa yang penting sebagai permulaan ialah setuju untuk bermuzakarah secara ikhlas tanpa sebarang syarat. Jumpalah dulu baru bincang dan kemukakan syarat yang difikirkan sesuai.

Terimalah hakikat bahawa umat Islam di negara ini sekarang berpecah kepada beberapa kelompok mengikut ideologi politik masing-masing. Ini sekali gus menyebabkan kita semakin lemah dan bukannya semakin kuat.

Maka adalah wajar untuk semua ahli dan parti politik yang berlandaskan Islam mengetepikan seketika idealogi dan pegangan politik masing-masing, sebaliknya mengutamakan perpaduan ummah sebagai agenda perjuangan yang utama. Sampai bila kita mahu berkiblatkan politik? Apakah kita mahu hilang segala kedudukan dan keistimewaan hanya kerana tamak kuasa dan jawatan?

Andai keadaan seperti ini dibiarkan berterusan tidak mustahil suatu hari nanti agama Islam bukan lagi menjadi agama rasmi Persekutuan, apatah lagi untuk kita digelar negara Islam. Jadi janganlah runtuhkan dan hancurkan segala apa yang sedia ada hanya kerana politik.

Islam tidak utamakan pangkat, bangsa, kedudukan, jawatan mahupun harta. Justeru ayuh seluruh umat Islam di Malaysia kita berdamai sementara ada peluang. Sesal dahulu ada pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...