17 May 2012

Isu-isu Surat Khabar Cina



TRANSFORM VS REFORM
AKHBAR Sinchew Daily bertarikh 14 Mei 2012 melalui ruangan Sudut Pendapatnya memaparkan tulisan Chang Yee Ler berkenaan perhimpunan UMNO Ke-66 dan program transformasi.


Jika dilihat dari segi rentak perhimpunan sambutan ulang tahun UMNO ke-66, ‘puak Merpati’ dalam parti itu tidak kelihatan menerajui perhimpunan tersebut, sementara ‘puak Helang’ yang agresif juga tidak mempengaruhi keadaan.

Usaha-usaha Najib membuat perubahan nampak lebih menonjol, semangat Melayu kelihatan menyepi dan sunyikan diri tidak bergerak.

Tetapi, dari segi sudut lain, orang yang berperwatakan sederhana, Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak menghadiri majlis perhimpunan tersebut, satu perkara yang mengecewakan.

Satu perhimpunan besar-besaran yang dianggap perhimpunan terakhir bagi UMNO untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU), yang terbesar selepas Bersih 3.0, sejak mula amat luar biasa meriahnya.

Ini sebagai perhimpunan besar mengangkat sumpah dan untuk menentang pakatan pembangkang dan Bersih secara besar-besaran.

Selepas perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April, perhimpunan UMNO sepatutnya menjadi satu peluang terbaik untuk mengimbangi dan menentang kewibawaan Bersih.

Tetapi apa yang menjadi perhatian ramai, adakah UMNO akan lebih drastik dan agresif untuk kebangkitan ketuanan Melayu bagi menentang orang yang berniat mahu menumbangkan UMNO melalui perhimpunan umum dan menggunakan semangat kebimbangan kepada penduduk-penduk kampung? 

Dalam perhimpunan UMNO itu, Najib kelihatan masih boleh mengawal tekanan golongan Melayu konservatif dan secara berterusan menggunakan cogan perubahan untuk mendapatkan sokongan rakyat, parti pemerintah sendiri mulakan ‘perubahan’ (transform) untuk mengimbangi “reform" pakatan pembangkang.

Jika persaingan ‘transform vs. reform’ dapat berterusan, di mana Najib dapat teruskan dan mendalami projek perubahan, dari segi politik antara pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN) sekurang-kurangnya ada tempat untuk berdialog.

Tetapi jika UMNO merayu kembali kepada ketuanan Melayu, itu bermakna mereka akan bertarung di medan peperangan berlainan dan cara persaingannya juga akan berubah. 

Jika dilihat kehadiran dalam perhimpunan UMNO kali ini, UMNO sendiri tahu di mana kedudukan mereka. Sebab itu, perhimpunan UMNO ini lebih mengikut peraturan, tidak membuka ruang luas untuk perubahan besar dalam politik dan juga tidak menaikkan semangat membelasah dan berteriak dengan nada tinggi.

Dalam pelbagai soal selidik yang dibuat menunjukkan sokongan orang ramai terhadap Najib tidak membimbangkan, imej Najib adalah punca dan sumber besar bagi BN dan berkait rapat dengan projek-projek perubahan yang dilakukannya.

Beliau akan terus membuat perubahan dan tidak boleh berundur ke belakang walaupun setapak, sekurang-kurangnya di permukaannya perlu tunjukkan pencapaian yang baik. 

Ini adalah satu kesefahaman kepada parti-parti komponen dalam BN, lebih-lebih lagi ia satu pengiktirafan yang tersirat oleh puak-puak dalaman UMNO itu sendiri.

KEHENDAK ORANG CINA
AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 14 Mei 2012 melalui ruangan pendapat Yuanlun memaparkan tulisan Tan Geok Shui berkenaan kehendak orang Cina di Malaysia.

Hari ini, di mana-mana semua orang sedang membincangkan bilakah tarikh PRU. Pemimpin BN tidak berhenti-henti menjelajah ke seluruh negara turun berjumpa rakyat, mahu tiket undi diserah kepada BN supaya dapat majoriti 2/3 di Parlimen.

Pakatan pembangkang juga tidak mahu mengaku kalah, dalam banyak perhimpunan mereka menyeru pengundi menggunakan akal dan sebaik-baiknya membuat pilihan yang bijak supaya pakatan pembangkang dapat memerintah. Selain daripada berazam mahu merampas enam buah kerajaan negeri, mereka juga mahu memerintah Kerajaan Pusat.

Tiket undi kaum Cina sebanyak 6.5 juta orang merupakan salah satu tiket undi yang patut direbut BN dan pakatan pembangkang. Kita sering terbaca di dalam akhbar-akhbar, dalam banyak hal dan persoalan pemimpin parti yang memerintah selalu bertanya, apakah yang dimahukan oleh orang Cina di Malaysia? Adakah selama ini apa yang diberi oleh pihak kerajaan masih tidak mencukupi?

Sebagai seorang wartawan akhbar yang selalu berhubung rapat dengan masyarakat golongan bawahan, cuba kita dengar apa suara hati mereka dan fahami apa yang mereka mahukan agar ahli-ahli politik dapat mendengarnya.

Semua orang Cina di negara ini berharap pihak kerajaan secara adil melaksanakan pemerintahan dan pegawai-pegawai kerajaan jangan berlaku tidak adil dalam apa jua perkara ketika melaksanakan tugas, berilah layanan yang sama pada semua kaum.

Orang Cina sangat pentingkan pendidikan Cina! Ramai orang berkata, Malaysia mempunyai pendidikan bahasa Cina yang terbaik di dunia selain dari di China. Dari mula di peringkat SJKC, menengah dan tiga buah kolej Cina, semuanya menyampaikan pendidikan Cina di mana penuntut dapat menguasai bahasa Cina, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris untuk melahirkan ramai cerdik pandai negara ini.

Semua orang Cina berharap kerajaan boleh membantu kaum Cina yang selama ini mengeluarkan duit dan tenaga membangunkan 61 buah sekolah menengah swasta Cina dan mahu kerajaan mengiktiraf sijil peperiksaan gabungan sekolah menengah Cina Swasta supaya selepas pelajar-pelajar ini tamat persekolahan mereka, mereka berpeluang melanjutkan pelajaran ke IPTA di negara ini.

Semua orang Cina berharap, saudara-mara mereka yang berpuluh-puluh tahun memegang kad pengenalan merah mendapat taraf warganegara dalam masa mereka masih hidup.

Semua orang Cina lebih mengharap, semua kaum dan semua budaya dan agama dapat tinggal dan duduk bersama di negara ini. Semua kaum dapat hidup dengan selesa, boleh menjadi contoh kepada negara-negara sedang membangun dan menjadi kebanggaan kita semua.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mentadbir negara secara sederhana, diharap beliau akan dapat membawa negara ini ke jalan yang luas terbentang serta membawa cahaya yang cerah. Banyakkan mendengar suara hati rakyat dan memperbanyakkan perkara-perkara kebaikan untuk rakyat, barulah tidak mengecewakan harapan semua.

ANTARA SERIGALA DAN BIRI-BIRI BERSIH 3.0
Akhbar China Press bertarikh 14 Mei 2012 melalui ruangan Kedai Kopi Orang Ramai memaparkan tuliskan Teo Yue Yan berkenaan tuntutan agar polis memohon maaf kepada peserta perhimpunan Bersih 3.0.

Selepas tamat perhimpunan Bersih pada 28 April lalu, banyak perkara yang dipertikaikan. Isu yang terbaru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyatakan Majlis Peguam jangan bermimpi mahu pihak polis meminta maaf. Ruang minta maaf pun tak ada. Pihak polis tidak pernah buat salah, kenapa perlu meminta maaf? 

Tuhan yang tahu, saya masih menunggu mereka mengumumkan bukti-bukti yang kukuh yang membuktikan perusuh membelasah anggota polis sehingga dikatakan pihak polis terpaksa bertindak balas.

Jika tidak, bagaimana mereka dapat jelaskan kelongsong bom pemedih mata berselerak di jalanan dan orang ramai yang tidak bersalah cedera dikejarkan ke hospital?

Dikatakan Majlis Peguam telah menggariskan pendirian dan pandangan yang serong. Sebenarnya semasa berlaku peristiwa itu siapa berada di lokasi? Bukankah mereka orang ramai, peguam, pemerhati hak asasi manusia, pelancong asing, ahli-ahli politik, orang media, petugas awam? 

Kenapa dalam perhimpunan itu tiada kakitangan dan pegawai tinggi kerajaan? 

Mungkin semua orang akan terjebak kepada kesilapan, setiap peserta yang hadir pasti ada pandangan yang berbeza-beza, itu tidak mustahil. Contohnya ahli-ahli politik yang mempunyai agenda masing-masing, pendirian pihak media pula mahu petikan-petikan dipaparkan menunjukkan perkara yang sebenar berlaku tetapi mereka juga dikasari, adakah pendirian seperti ini juga salah?

Besar kemungkinan yang merancang itu bukan orang lain, umpama budak gembala teriak ada serigala sebaliknya orang yang berteriak itulah serigalanya. Kerana khuatirkan serigala, sebab itu mereka awal-awal lagi telah sediakan kayu pemukul bersedia untuk menyerang anjing serigala. Pendirian dan rancangan seperti inilah punca masalah yang perlu diselesaikan. Persoalannya, macam manakah anda tahu yang datang bukan anjing Serigala, yang datang itu sekumpulan kambing biri-biri?

Kita dengan sikap dan perasaan mahu membantah, macam mana dapat pisahkan sama ada anjing serigala ataupun kambing? Yang penting, mereka mahu membelasah anjing serigala tetapi telah belasah kambing biri-biri pula. Adakah kita tidak perlu meminta maaf kepada kambing biri-biri itu? Ini adalah konsep yang logik dan yang paling mudah.

Yang paling menyedihkan ialah orang yang berpendirian seolah-olah mereka serta pandangan politik mereka sahaja yang benar. Tidak kira sama ada untuk mengaku telah melakukan kesilapan ataupun mahu meminta maaf, ia memang amat susah sekali bagi mereka ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...