GELI hati saya apabila membaca polemik muzakarah
UMNO-Pas. Pada pandangan saya eloklah UMNO lupakan saja jemputan
muzakarah ini kerana Pas sememangnya tidak ikhlas untuk bermuzakarah. Cuba renungkan cerita lagenda Puteri Gunung Ledang (PGL) di mana tuan
puteri meletakkan syarat-syarat yang pelik kepada Sultan Melaka, Sultan
Mahmud, untuk meminang beliau.
Pendek kata dan senang cerita, Puteri Gunung Ledang sememangnya tidak
mahu bersuamikan Sultan Melaka. Maknanya tuan puteri menolak pinangan
secara berhemah dan beradab. Macam juga Pas yang meletakkan pelbagai syarat yang tidak logik
seperti UMNO mestilah menerima PKR dan DAP sedangkan kita tahu adalah
mustahil untuk DAP bekerjasama dengan UMNO. Ini kerana masing-masing
punya agenda politik berbeza.
Memang Pas tidak ada keikhlasan untuk bermuzakarah dengan UMNO. Nik
Aziz sudah dapat persetujuan Karpal Singh atau Lim Kit Siang atau Guan
Eng tentang syarat ini? Nanti kena tengking oleh Karpal Singh!
Adakah Nik Aziz sudah dapat persetujuan DAP andai kata kerjasama
UMNO-Pas-PKR dan DAP menjadi kenyataan di mana UMNO tolak kebangsaan dan
terima Islam sebagai wadah perjuangan perikatan BN dan Pakatan Rakyat?
Saya tidak faham apa yang Nik Aziz maksudkan UMNO mesti tolak
kebangsaan dan terima Islam. Beranikah Nik Aziz cakap pada Karpal Singh,
DAP mesti tolak sifat cauvinis mereka dan terima Islam? Kita tahu, Pas
baru nak buka mulut bercakap fasal Islam bila kena tengking dek Karpal
Singh terus menikus.
Beranikah Nik Aziz secara terus terang mengatakan orang Islam yang
menyokong UMNO adalah kafir? Siapalah Nik Aziz untuk mengkafirkan orang
Islam yang lain? Siapalah Nik Aziz jika dibandingkan dengan para ulama
yang menganggotai Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan?
Adakah ilmu agama Nik Aziz mengatasi semua bidang agama yang dimiliki
oleh ahli Majlis Fatwa Kebangsaan? Harap Nik Aziz berbicaralah secara
berhemah, bijaksana dan berperibadi sebagai seorang Tok Guru yang
berilmu dan disegani. Renung-renungkanlah.
No comments:
Post a Comment