19 May 2012

Benarkah Pas parti Islam?

 
''DENGAN begitu ramai orang Islam dan tok guru agama menyokong Pas, maka penggunaan perkataan Islam kepada parti oleh pemimpin-pemimpin Pas sudah tidak dapat dibatalkan lagi. Jika percubaan dibuat untuk membatalkan kelulusan yang diperolehi daripada penjajah, Pas akan menjadikan perkara ini isu politik yang besar. 
''Mereka akan menuduh UMNO mengharamkan Islam dan bukan mengharamkan penggunaan perkataan 'Islam' dalam nama parti Pas…"
Itulah petikan daripada ucapan dasar Tun Dr. Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung UMNO pada November 1994. 
Ketika itu, Dr. Mahathir memberi penjelasan yang agak panjang lebar bagaimana Pas ditubuhkan dan bagaimana perkataan Islam terdapat kepada parti tersebut. Antaranya beliau menjelaskan, bahawa kelulusan nama Pas atau Parti Islam SeMalaya atau nama Inggerisnya Pan Malayan Islamic Party (PMIP) diberikan oleh British di zaman penjajah. 
Kini isu mengenai pengguguran perkataan Islam pada Pas itu timbul lagi, apabila Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria bersedia untuk membawa perkara tersebut dibincangkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.
Beliau mahu berbuat demikian selepas membuat kenyataan yang cukup menyebabkan Pas terutamanya Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat 'panas telinga', apabila menyifatkan Pas kini sudah menyeleweng daripada matlamat asal serta menyalahgunakan agama Islam demi kuasa dan kerusi politik.
Berikutan itu, Harussani mencadangkan Majlis Fatwa Kebangsaan supaya mempertimbangkan saranan diadakan muzakarah bagi membincangkan kewajaran parti itu menggunakan perkataan Islam dalam nama parti.
Seperti biasa, Pas akan melihat pandangan seumpama itu biar pun datang daripada seorang mufti sebagai bermotif politik sebab itulah Nik Abdul Aziz menyifatkan kenyataan Harussani sebagai 'pandangan lapuk seorang mufti'. Menteri Besar Kelantan itu juga meminta Mufti Perak itu sebaik-baiknya tidak campur soal politik.
"Bila nak nilai dasar dan perjuangan parti Islam seperti Pas, kena baca sejarahnya. Kerana asal tertubuhnya Pas adalah terlibat sama 'orang UMNO' yang melihat UMNO tak mampu berjuang Islam. Nampak sangat mufti tu tak baca sejarah," itulah sindiran yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz bagi mempertahankan Pas.
Tetapi soalnya benarkah Pas sebuah parti Islam? Cubalah kaji fakta-fakta berikut:
1) Parti Islam sebenar tidak akan menyalahkan musuh apabila mereka mengalami kegagalan tetapi Pas apabila tewas dalam pilihan raya, mereka bukannya bermuhasabah, mencari kesilapan sendiri dan berusaha memperbaiki kelemahan tetapi akan menuduh UMNO dan Barisan Nasional (BN) menggunakan taktik kotor seperti membeli undi, mengguna pengundi hantu dan menipu, serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak telus.
2) Pas membiarkan pemimpin-pemimpin memaki-hamun lawan politiknya di atas pentas-pentas ceramah. Tindakan ini bertentangan dengan ajaran Islam kerana Rasulullah SAW pernah bersabda; Sifat seorang mukmin itu tidak menjadi tukang menghina, mengumpat dan mengeluarkan perkataan kesat dan kasar (terhadap sesama mukmin).
3) Sikap Pas lebih asabiah qaumiyyah kerana sanggup mempertahan dan membela anggotanya yang bersalah. Ini jelas apabila Pas sentiasa menyifatkan apa juga perkara yang berkaitan keburukan pemimpin parti itu atau sekutunya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP ia adalah konspirasi politik UMNO dan BN.
4) Pas menolak untuk mengadakan kerjasama dengan UMNO biar pun bagi membincangkan soal perpaduan orang Melayu dan Islam. Tindakan ini bertentangan dengan ajaran Islam yang mahu semua umat Islam bersatu padu dan tidak berpecah-belah.
Hakikatnya, banyak lagi tindakan yang dilakukan oleh Pas yang dilihat bertentangan dengan seruan Islam tetapi mereka masih mahu mendabik dada mengatakan mereka parti Islam. 
Justeru jika sesiapa juga yang cuba memberi teguran biar pun secara ikhlas mengenai kesilapan Pas maka mereka akan dituduh bermotif politik.
Begitulah juga yang berlaku kepada Harussani apabila beliau bercakap mengenai tindak-tanduk Pas sedangkan Harussani menegaskan, ''Kita hanya menasihat atas perkara yang berlaku, bukan mahu campur hal politik. Namun, saya ingin tegaskan apa perkara dalam dunia ini, mana yang tiada kena mengena dengan politik. Semua perkara turut membabitkan politik. Kami hanya nyatakan hukum, kalau dia tak nak dengar itu dia punya fasal, dia tanggung sendiri, tapi saya harus menjalankan tanggungjawab."
Oleh itu, Pas tidak perlu emosional apabila ada pihak menyentuh soal perkataan Islam pada nama parti itu. Mungkin selama ini perkataan itu yang menyebabkan Pas mampu bertahan tetapi tindakan berkenaan tidak akan menguntungkan Islam secara keseluruhan.
Tindak-tanduk Pas yang dilihat lebih bercorak matlamat menghalalkan cara dalam berpolitik demi mengejar kekuasaan bersama-sama PKR dan DAP boleh mencemarkan Islam kerana sesungguhnya pendekatan berpolitik yang dianjurkan oleh Islam jauh berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Pas.
Ia kerana Pas terus menyemarakkan permusuhan sesama Islam semata-mata kerana perbezaan fahaman politik. Pas tidak boleh menafikan perkara ini kerana selama ini apa juga yang berlaku, parti itu akan menyalahkan UMNO dan apabila UMNO cuba berbaik dengan mereka demi masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara ini, ia ditolak bulat-bulat.
Bagi Pas, mereka lebih bersedia berpeluk dengan pemimpin-pemimpin DAP bagi memburu kuasa politik berbanding bersalaman dengan pemimpin UMNO demi kepentingan orang Melayu dan umat Islam.
Oleh itu, jika Pas tidak mahu berubah dengan mengamalkan sikap dan tingkah laku serta pendekatan yang dianjurkan oleh Islam sebenar-benarnya maka sememangnya mereka tidak layak lagi menggunakan perkataan Islam pada nama parti itu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...