17 May 2012

Peliharalah keamanan, hindari rosakkan negara


SAYA ingin membincangkan dan berkongsi pendapat mengenai Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang semakin hampir. Pelbagai pihak memberi pandangan serta komen mengenai tarikh PRU-13 itu. Namun tarikh sebenar hanya akan diketahui apabila diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.


Namun begitu, itu bukan isu utama yang saya ingin ketengahkan di sini. Isu utamanya ialah bagaimana adab serta tatasusila kita sebagai rakyat Malaysia yang terkenal dengan lemah lembut dan peramah ini menghadapi situasi tersebut.

Sebagaimana semua maklum, negara kita baru sahaja menghadapi Bersih 3.0 (yang kotor) serta menjadi igauan semua pihak. Ada yang berpendapat ia tidak patut diadakan, namun tidak kurang juga pihak yang menyokong demonstrasi tersebut. 

Namun begitu, penyejuk kepada igauan tersebut ialah apabila Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan mengeluarkan fatwa yang jelas mengenai demonstrasi itu. Sebagai umat Islam, kita sewajarnya menghormati keputusan fatwa yang dikeluarkan itu.

Pada pendapat saya, fenomena yang berlaku kini menimbulkan situasi yang membimbangkan dalam kalangan masyarakat awam khasnya. Ini kerana suasana tersebut mewujudkan ketegangan di antara pihak yang terlibat, sama ada daripada pihak pro-kerajaan atau propembangkang. Masingmasing cuba mempertahankan tindakan mereka dengan mengeluarkan hujah-hujah berkaitan.

Saya sebagai seorang mahasiswa menyeru agar semua pihak berlapang dada agar negara kita sentiasa aman serta dijauhi daripada masalah yang mengundang negara ke arah situasi yang buruk.

Saya terpanggil untuk berkongsi idea dan pandangan bagi memperbaiki masalah yang melanda kini. Kita perlu sedar keamanan yang dikecapi sekarang ini perlu dijaga dengan sebaiknya agar negara terus maju serta di hormati oleh negara lain, khususnya oleh negara Islam.

Sebagai masyarakat matang, kita perlu mempunyai kesedaran bahawa pentingnya menjaga keamanan negara yang dikecapi kini. Saya menyarankan agar semua pihak merujuk Al-Quran dan As-Sunnah sebagai kayu pengukur dalam semua isu yang timbul. Lebih-lebih lagi, mahasiswa perlu cerdik memilih pilihan yang tepat pada PRU -13 nanti kerana merekalah yang akan menggantikan kepimpinan negara nanti.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...