17 May 2012

Majlis Peguam pelantar politik?


TINDAK-tanduk kepimpinan Majlis Peguam Malaysia mengenai isu Bersih 3.0 jelas menunjukkan ia gagal mewakili sebuah badan profesional yang bebas dan objektif. Sebaliknya ia telah menjadikan dirinya pelantar politik bagi kumpulan ahlinya yang menyokong penganjur demonstrasi dan pakatan pembangkang yang merupakan dalang demonstrasi tersebut.

Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee, menyatakan mereka telah menghantar lebih 80 orang pemerhati memantau perhimpunan Bersih pada 26 April tersebut. Berasaskan itu, Lim dan konconya terus memutuskan bahawa pihak polis yang mencetuskan pergaduhan dan kekecohan pada hari tersebut.

Dalam membuat keputusan tersebut mereka tidak langsung menunjukkan sikap profesional seperti memberi butir-butir mengenai kaedah yang digunakan dalam pemantauan, di manakah pemantau itu berada, dan siapakah individu pemantau itu.

Bahkan Majlis Peguam begitu ghairah untuk menyatakan pendirian yang berat sebelah dengan membuat satu kenyataan akhbar dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas kejadian berlaku, tanpa menganalisis semua fakta dan keterangan daripada pelbagai pihak.

Tindakan yang terburu-buru ini nyata menunjukkan prejudis mereka terhadap pihak polis dan kerajaan, sesuatu yang tidak sepatutnya dibuat oleh sebuah badan mewakili golongan profesional dan mengaku memelihara serta menegakkan keluhuran undang-undang.

Mereka telah bertindak serentak sebagai pendakwa, juri dan hakim atas kes yang masih dalam siasatan pihak berkuasa dan penilaian orang ramai.

Majlis Peguam juga tergesa-gesa memanggil Mesyuarat Agung Luar Biasa (MAL) Malaysian Bar Association (MBA) untuk meneruskan agenda politik para pemimpinnya. Lalu diketengah dan diluluskan pelbagai resolusi yang secara langsung menyalahkan pihak polis dan Menteri Dalam Negeri mengenai kekecohan pada 26 April.

Nyata mesyuarat ini diadakan untuk memberi legitimacy kepada keputusan Majlis Peguam mengenai pemantauan yang dibuatnya. Kepimpinan majlis seterusnya mendabik bahawa sokongan majoriti besar ke atas resolusi yang diketengahkan menunjukkan sokongan ahli-ahli MBA ke atas sikap dan tindakan majlis.

Namun demikian kehadiran dalam MAL itu merupakan sebilangan kecil daripada bilangan ahli MBA yang kebanyakannya terdiri daripada mereka di Lembah Klang. Kini nyata terdapat tentangan keras terhadap tindakan berbau politik tersebut termasuk daripada sebilangan ahli kanan.

Dengan penglibatannya dalam isu Bersih 3.0, Majlis Peguam telah menunjukkan dengan nyata bahawa ia lebih merupakan platform politik untuk sebilangan ahlinya. Ia bukan sebuah badan yang menjaga kepentingan dan kebajikan keseluruhan ahli seperti badan profesional lain termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Institusi Jurutera dan lain-lain.

Nampaknya kecenderungan berpolitik di kalangan sebilangan ahli Majlis Peguam telah mengubah badan profesional guaman sebagai sebuah NGO politik.

Masanya telah sampai bagi Kementerian yang bertanggungjawab menyemak peruntukan dalam Akta Guaman untuk menentukan sama ada pendirian politik individu yang menerajui Majlis Peguam boleh menjejas fungsi dan peranannya sebagai sebuah badan profesional, terutama dari segi ciri-ciri self-policing yang tidak terdapat pada badan profesional lain.

Kita tidak mahu mana-mana badan profesional bertindak seolah-olah it is a law unto itself.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...