17 May 2012

Melayu tiada tempat dalam DAP


SEJARAH penyertaan orang Melayu atau pemimpin Melayu dalam DAP penuh ranjau berduri. Kalau boleh dikaji senarai kepemimpinan Pusat parti itu, orang Melayu dan Bumiputera yang membentuk hampir 67 peratus rakyat hanya mempunyai dua wakil sahaja. Bumiputera Sabah dan Sarawak pula langsung tidak diwakili.


Meskipun dikatakan DAP Melayu sudah bertapak bagi suatu tempoh yang agak lama sejak 1969 di mana dalam catatan sejarah, Melayu DAP pernah memenangi satu kerusi Parlimen dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri, namun kedudukan Melayu dalam parti pimpinan Lim Kit Siang itu penuh dilema. Tidak terarah.

Barangkali yang masih diingati pemimpin Melayu dalam DAP ialah Allahyarham Ahmad Nor yang memenangi kerusi Parlimen Bayan Baru, Pulau Pinang pada pilihan raya umum 1990. Itu pun populariti beliau diwarnai penglibatan aktifnya dalam sebuah kesatuan sekerja. 

Dan kalau nak dikira pemilihan calon-calon Melayu untuk menggalas cabaran DAP pun hanya sekelumit - yang memang pun boleh dikira dengan jari dalam dekad demi dekad. Antaranya, penyandang kerusi DUN seperti Ibrahim Singgeh (1969), Tapah Road, Perak; Hassan Ahmad (1969) Si Rusa, Perak; Fadzlan Yahya (1982), Pasir Berdamar, Perak; Fadzlan Yahya (1986), Pasir Berdamar, Perak; Fadzlan Yahya (1990), Lahat, Perak dan Mohd Asri (1990), Dermawan, Perak.

Dan selepas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim membuat keputusan keluar dari parti itu baru-baru ini, hampir tidak ada pemimpin Melayu dari DAP yang cukup dikenali. Kalau adapun, seorang yang bernama Zulkifli Mohd. Noor tetapi dia hanya menyandang Ahli Jawatankuasa DAP Pulau Pinang meskipun merupakan seorang pemimpin Melayu veteran dalam DAP sejak hampir 25 tahun. 

Yang menyerlah dalam pandangan rakyat terutama orang Melayu adalah DAP sebagai parti ‘anak-beranak sendirian berhad’ walaupun mereka berkokok dan menjerit kononnya keahlian mereka adalah berbilang kaum.

Pada masa sama, dua perkataan iaitu kronisme dan nepotisme (juga dinasti) jugalah yang menjadi modal besar DAP selain ‘dianuti’ sama sekutu parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana si ayah menjadi ketua umum (PKR), si ibu menjadi presiden dan si anak pula naib presiden.

Secara realiti, DAP sebagai parti politik tidak pernah berubah sejak lima dekad lalu (iaitu 50 tahun). Sejak pembentukan rasminya pada 1966, DAP ialah Kit Siang dan Kit Siang ialah DAP. DAP ialah parti Satu-Orang, yang disokong oleh Dinasti Lim. 

Struktur kepemimpinan DAP tidak pernah melalui perubahan sebenar sejak kewujudannya pada 1966. Supremo parti itu masih Kit Siang dan anaknya, Guan Eng (yang berubah hanya jawatan). Diuar-uarkan DAP parti berbilang kaum, tetapi nampaknya Melayu di dalamnya tidak ada arah. Kaum India juga serupa melainkan mungkin hanya Karpal Singh seorang.

Semasa hampir kesemua parti politik mengalami perubahan dalam barisan kepemimpinan sejak beberapa dekad lalu, tapi apa sudah jadi dengan pihak yang sering bertempik mengenai perubahan, seperti DAP? 

Sepanjang riwayat politiknya, Kit Siang sering mendesak para pemimpin BN meletak jawatan kerana ‘kamu sudah terlalu lama’, ‘beri peluang kepada yang lain’, ‘anda sudah tua’, tapi dia sendiri pula macam mana?

Di mana perubahan yang anda laung-laungkan itu Kit Siang? Nepotisme berada di kedudukan tertinggi dalam DAP, sehinggakan para penyokong parti sosialis itu mempersenda DAP sebagai sebuah syarikat sendirian berhad - “DAP Sdn. Bhd."

Ini pernah berlaku dalam DAP ketika Kit Siang berkuasa dengan penyingkiran cara halus pemimpin seperti Tan Sri Lee Lam Thye, Wee Chee Keong dan ramai lagi untuk menyediakan laluan kepada anaknya Lim Guan Eng dan menantu beliau, Betty Chew.

Anwar juga melakukan perkara yang sama semasa pemilihan PKR yang menyaksikan Zaid Ibrahim dan Gobalakrishnan bertindak keluar parti. Sebelum itu beberapa wakil rakyat juga bertindak demikian seperti Zulkifli Noordin dan Datuk Seri Zaharin Mohamed Hashim yang juga bekas Setiausaha Agung PKR. 

Semua ini dilakukan oleh Anwar untuk memudahkan laluan kroninya Azmin Ali dan anaknya Nurul Izzah. Ini juga untuk memastikan edudukan isteri beliau, Wan Azizah sebagai Presiden PKR tidak tergugat. Ini adalah fakta dan peristiwa yang telah berlaku. 

Dan kalau dilihat semasa dini hari diumumkan kemenangan pembangkang di Pulau Pinang pada Mac 2008, sebaik sahaja tiba di tempat perisytiharan kemenangan di George Town, tanpa segan silu diumumkan beliau adalah penyandang jawatan Ketua Menteri.

Padahal jika hendak dikira, individu yang paling layak yang juga anak tempatan bukan Guan Eng yang ‘lari’ dari Melaka ke Pulau Pinang. Sebaliknya individu berkenaan adalah Chow Kon Yeow, Pengerusi DAP Pulau Pinang yang juga Ahli Parlimen Tanjong. 

Dan ketika Setiausaha Politik Guan Eng, Ng Wei Aik mencabar Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang yang baru,Teng Chang Yeow supaya berentap dengan Kon Yeow di DUN Padang Kota pada PRU-13, banyak pihak mula mempersoalkan sama ada ia mahu ‘membunuh’ karier politik veteran DAP tersebut. 

Ini memandangkan imej dan potensi Chang Yeow semakin terserlah kebelakangan ini dalam kalangan kaum Cina Pulau Pinang dengan kelantangannya memperjuangkan nasib masyarakat itu. Apatah lagi, Padang Kota bukanlah asing buatnya kerana pernah bertapak di situ sebagai wakil rakyat selama tiga penggal iaitu dari tahun 1995 hingga 2008 sebelum tewas kepada Kon Yeow pada PRU-12.

Namun seperti mana nasib Melayu dalam DAP, demikianlah juga persepsi kepemimpinan parti itu terhadap orang Melayu. 

Apabila Wei Aik mencabar Chang Yeow, dia mengaitkan cabarannya itu dengan UMNO, sebuah parti yang disertai majoriti umat Melayu. 

Kata Wei Aik, Chang Yeow mesti menyahut cabarannya itu untuk membuktikan bahawa dia bukanlah boneka UMNO.

Ketika kempen PRU-12 yang semakin agresif tempoh hari, Guan Eng acap kali memainkan isu-isu perkauman yang banyak menimbulkan kemarahan masyarakat Cina.

Isu yang ‘popular’ dimainkan DAP ialah UMNO. Antaranya, konon jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang akan dirampas oleh UMNO - yang merupakan tonggak harapan orang Melayu.
Hakikatnya Melayu memang tidak ada tempat dalam DAP.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...