SAYA terbaca satu rencana bertajuk The 30 greatest conspiracy
theories atau 30 teori konspirasi terbesar; yang diperkatakan orang di
dunia. Sungguh menarik cerita-cerita itu.
Malangnya cerita mengenai teori konspirasi Anwar Ibrahim, yang juga
menjadi terhebat di abad ini, di Malaysia – tidak tersenarai.
Antara teori-teori besar konspirasi yang dinyatakan dalam akhbar The
Telegraph, UK itu ialah dari pembunuhan John F Kennedy sehinggalah
kepada kematian Puteri Diana. Dari penemuan bangkai piring terbang UFO
di Roswell, New Mexico, Amerika Syarikat pada 1947 hinggalah kepada
peristiwa pendaratan manusia pertama angkasawan Nasa di bulan. Dari
kisah kematian Nabi Isa sehinggalah kepada kematian Elvis Presley. Semua
kejadian besar sejak 2,000 tahun itu telah dikaitkan dengan teori-teori
konspirasi yang dipercakapkan oleh manusia. Selagi manusia berakal,
semua perkara akan cuba dikaitkan dengan teori itu.
Kejadian 11 September di Pusat Dagangan Dunia (WTC) New York juga
dikaitkan dengan konspirasi. Saya tidak bermaksud mahu menulis semula
apa yang ada dalam akhbar The Telegraph itu.
Tapi apa itu teori konspirasi? Teori konspirasi atau teori
persekongkolan adalah teori yang berusaha menjelaskan suatu rancangan
rahsia oleh sekelompok orang atau organisasi yang sangat berkuasa atau
berpengaruh ke atas seorang mangsa atau serangkaian peristiwa (pada
umumnya peristiwa politik, sosial atau sejarah).
Banyak teori konspirasi yang mendakwa bahawa peristiwa-peristiwa
besar dalam sejarah telah didominasi oleh para konspirator belakang
tabir yang memanipulasi kejadian-kejadian politik. Teori ini berlaku
dari urusan politik sampai kepada soal makanan. Roti yang halal
dikeluarkan oleh pengusaha Islam dikonspirasikan mengatakan tidak halal,
dan ada orang mempercayainya. Bagi orang yang tidak percaya selalu
menganggap semua hanyalah olok-olok, mengada-ada dan sebagainya. Bagi
para penganut teori itu percaya ada pihak yang mencipta polanya.
Penganut teori itu pula terbahagi kepada dua. Kelompok pertama adalah
mereka yang hanya percaya bahawa segala hal mungkin terjadi apabila ada
dokongan argumentasi yang kuat, fakta tepat, data ilmiah, pendapat yang
boleh diverifikasi kebenarannya, tokoh-tokoh yang nyata, sejarah yang
memang ada dan bukan mitos dan sebagainya. Kelompok ini percaya John F
Kennedy sebenarnya tidak ditembak, tetapi diselamatkan oleh makhluk
angkasa lepas, misalnya.
Kelompok kedua ialah mereka yang percaya tanpa apa yang berlaku ia
sudah dirancang sedemikian rupa, yang seringkali dikaitkan dengan mitos,
legenda, supernatural dan sebagainya. Misalnya, mereka percaya bahawa
peristiwa 11 September sudah dirancang sebagaimana yang terlibat pada
lipatan wang kertas 20 dolar Amerika Syarikat; apabila kita melipat wang
itu sedemikian rupa akan tercipta gambaran menara berkembar WTC yang
terbakar. Rujuk Teori Persekongkolan
Apa yang mahu dibincangkan di sini adalah mengenai kisah teori
konspirasi yang membabitkan seorang yang pernah digelar sebagai Pak
Sheikh oleh rakan-rakannya atau Brother Anwar di kalangan cendekiawan
dan budayawan serta Saudara Anwar pada peringkat awal meminta para
pemberita memanggilnya begitu, sebaik sahaja beliau mendapat gelaran
datukship. Dan sekarang dikenali sebagai Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setelah kes pertama Azizan dan kedua Saiful membabit perlakuan liwat
dibicarakan di mahkamah, ada yang masih menganggap apa yang berlaku
kepada Anwar sebagai satu konspirasi jahat. Para pelajar universiti, ada
antaranya, masih menganggap apa yang berlaku sebagai satu teori
konspirasi semata-mata. Konspirasi itu juga boleh bermakna seperti satu
kelompok tadi yang mempercayai bahawa John F Kennedy sebenarnya tidak
ditembak mati, tetapi diselamatkan oleh makhluk angkasa lepas.
Teori konspirasi atau teori persekongkolan itu juga boleh membawa
maksud ia hanya direka-reka oleh pemerintah atau kerajaan atau oleh Tun
Dr. Mahathir atau kini oleh Datuk Seri Najib untuk saja-saja
memburuk-burukkan Anwar agar cita-cita politiknya tidak tercapai.
Ada dua teori yang boleh diterima di sini. Jika kita mahu mempercayai
bahawa Tun Dr. Mahathir dan Datuk Seri Najib ialah konspirator dalam
konspirasi ini, maka kita juga perlu melihat bahawa Anwar dan
rakan-rakan politiknya juga ialah konspirator yang terhebat dalam
mengatur perancangan untuk membuatkan rakyat mempercayai bahawa kelakuan
liwat Anwar itu direka-reka untuk menjatuhkannya.
Dalam kedua-dua permainan ini siapa yang menang? Tunkah, Najibkah
atau Anwar? Secara logik, apakah kerajaan Malaysia mahu mencari pasal
mewujudkan satu lagi kekacauan politik yang bukan-bukan untuk mengaitkan
Anwar dengan Saiful Bukhari? Kes Anwar dengan Saiful ialah kes peribadi
membabitkan kedua-dua pihak itu atau kes Anwar dengan kerajaan?
Secara
logik juga konspirasi hanya boleh wujud sekali sahaja, bukan dua kali
atau tiga, atau empat kali membabitkan subjek yang sama. Mengapa pula
ramai teman-teman rapat Anwar sudah melarikan diri daripadanya? Mengapa
peguam-peguam beragama Islam sudah tiada dalam team guaman Anwar? Apakah
mereka semua sudah dibeli? Apakah itu juga satu konspirasi?
Kita pendekkan cerita mengenai kisah kes liwat Anwar kerana semua orang sudah mengetahuinya.
Ini mengenai kisah beberapa hari lalu. Saya telah dijemput ke satu
acara di luar Kuala Lumpur. Bersama-sama saya ialah bekas rakan
sekongkolan Anwar dalam PKR. Itulah pertama kali saya bertemu dengan
beliau. Kami menaiki satu van menuju ke destinasi itu. Banyak cerita
yang diceritakan kepada saya. Pergi dan pulang dari destinasi yang
memakan masa dua setengah jam itu kami bercerita. Saya banyak mendengar.
Beliau banyak bercerita.
Oleh kerana hubungannya yang rapat dengan Anwar dan PKR dan Pas dan
DAP banyak juga yang saya soalkan. Banyak maklumat yang saya dapat.
Banyak cerita-certa politik yang saya timba mengenai kisah permainan DAP
yang memperkuda-kudakan Pas dan PKR sehinggalah kepada soal: teori
konspirasi membabitkan Anwar Ibrahim.
Konspirasi katanya hanya ‘‘permainan di atas pentas politik
semata-mata.” Kami semua diarahkan mengikut skima yang ditetapkan bagi
mewujudkan suasana itu. Biar orang ramai, rakyat jelata termakan istilah
konspirasi, konspirasi dan konspirasi, katanya.
Memang benar, istilah itu berjaya ditanam dalam kepala, segelintir
atau banyak, orang ramai. Ramai di kalangan anak-anak muda juga berjaya
ditanam dengan istilah itu. Masih ramai yang kurang percaya mengatakan
Anwar terbabit dalam perlakuan itu.
Namun, apa yang menariknya apabila, bekas rakan Anwar itu membuat
satu petikan yang dipertuturkan oleh seorang insan terapat Anwar
kepadanya semasa isu Saiful mula-mula timbul dulu:
‘‘Tak serik-serik lagi abang kau…'' Siapa insan itu tidak perlulah disebut di sini.
Ia bukan direka-reka, saya berani bersumpah itulah yang dipertuturkan oleh insan itu, tegasnya.
Lalu dia bersumpah di hadapan saya.
No comments:
Post a Comment