Umum mengetahui Islam muncul di Semenanjung Arab pada kurun ke-7 masihi apabila Nabi Muhammad s.a.w. mendapat wahyu daripada Allah s.w.t. Selepas wafatnya Rasullullah s.a.w. kerajaan Islam telah berkembang pesat sejauh Lautan Atlantik di Barat dan Asia Tengah di Timur.
Oleh itu, muncullah kerajaan-kerajaan Islam seperti Umaiyyah, Abbasiyyah, Seljuk Turki Seljuk, Uthmaniyyah Turki Uthmaniyyah, Empayar Moghul India, dan Kesultanan Melaka telah menjadi antara empayar yang terkuat dan terbesar di dunia. Tempat pembelajaran ilmu yang hebat telah diwujudkan oleh tamadun Islam yang agung. Banyak ahli-ahli sains, ahli-ahli falsafah dan sebagainya muncul dari negeri-negeri Islam terutamanya pada Zaman Keemasan Islam.
Namun apa yang menyedihkan pada kurun ke-18 dan ke-19 masihi, banyak kawasan-kawasan Islam telah jatuh ke tangan penjajah Eropah. Selepas Perang Dunia I, Empayar Turki Uthmaniyyah iaitu empayar Islam terakhir tumbang menyembah bumi.
Nasib yang sama juga telah menimpa empayar Melaka, mungkinkah kita lupa sejarah kejatuhan ketuanan Melayu Melaka suatu ketika dahulu disebabkan apa, apakah kita lupa bagaimana negara ini terjajah dan dijajah oleh bangsa asing? Adakah semua insan di bumi yang bertuah yang bernama MELAYU ini lupa pada sejarah yang perit dan hitam itu.
Mungkin rata-rata dikalangan kita bukanlah seorang politikus mahupun yang mempunyai cita-cita besar untuk memegang sebarang jawatan besar di persada politik tanahair, namun sebagai rakyat, sekurang-kurangnya perlu untuk kita menyokong penuh usaha memartabatkan maruah Agama, Bangsa dan Negara.
Walaupun perlu diakui kerajaan yang ada sekarang ada kekurangan, namun sekiranya terdapat sebarang masalah mahupun isu-isu berbangkit, kita seharusnya berbincang dan mencuba untuk menyelesaikan dengan cara yang baik dan mengutamakan perpaduan bangsa.
Pemimpin parti-parti politik bangsa lain walaupun berlainan ideologi namun impian dan cita-cita mereka tetap sama iaitu memperjuangan dan mendaulatkan hak bangsa mereka sendiri. Bak kata perpatah “tidur berlainan bantal, namun masih berkongsi mimpi yang sama”.
Namun apa menyedihkan kita sebagai bangsa Melayu, sering bergaduh dan mencemuh sesama sendiri. Cacian dan makian sering dilontarkan sesama sendiri bahkan terdapat segelintir dari kita yang tanpa segan silu sanggup melondehkan keaiban sesama sendiri. Tidak kurang juga para pemimpin kita juga acapkali dilontarkan dengan pelbagai bentuk tohmahan dan hinaan tanpa mengira apa yang telah dilakukan.
Yang peliknya mereka yang menjadi dalang itu, terdiri dari bangsa Melayu itu sendiri, yang sering menyuarakan erti perpaduan, kedaulatan, keadilan dan sejuta macam kata, namun di masa yang sama melakukan perkara yang sebaliknya.
Lihat sahaja sejarah perpecahan yang pernah terlakar di dalam UMNO seperti PAS, Semangat 46, Team A dan Team B, Keadilan dan sebagainya sewajarnya cukup untuk mengajar kita untuk lebih matang dalam memperkatakan erti perpaduan bangsa. Apakah mustahil kiranya semua bangsa Melayu bersatu dalam memperjuangankan soal perpaduan dan kemaslahatan Melayu dengan mengunakan suara dan nada yang sama?
Tidak cukupkah dengan segala bentuk penghinaan dan kelemahan yang ada pada bangsa kita selama ini? Apakah tidak kita sedari bangsa Melayu tidak lagi dihormati oleh bangsa lain, kita sering di labelkan sebagai bangsa kelas 2, bangsa subsidi, tiada berdaya saing dan sebagainya ditambah pula dengan masalah sosial, ekonomi, pendidikan dan segala macam kepincangan yang melanda bangsa Melayu dewasa ini seharusnya mampu dijadikan iktibar dan titik tolak untuk penyatuan bangsa.
Allah s.w.t berfirman :
Mereka tiada akan memerangi kamu dalam keadaan bersatu padu, kecuali dalam kampung-kampung yang berbenteng atau di balik tembok. Permusuhan antara sesama mereka adalah sangat hebat. Kamu kira mereka itu bersatu sedang hati mereka berpecah belah. Yang demikian itu karena sesungguhnya mereka adalah kaum yang tiada mengerti. (Al-Quran – 59:14)
Janganlah kerana ada sedikit kelemahan, ia di jadikan sebagai alat untuk kita saling berbalah, bersengketa dan berpuak-puak. Kita seharusnya akur bahawasanya mereka itu hanyalah seorang hamba yang penuh dengan kelemahan, mereka bukanlah maksum jauh sekali untuk sempurna.
Apabila kita tidak bersatu, itu menunjukkan kelemahan kita dan tatkala kita lemah pihak musuh akan senang dan dengan mudah untuk menganggu-gugat kesejahteraan yang telah lama kita bina ini. Sesungguhnya musuh-musuh kita senantiasa menunggu dan menantikan peluang untuk menjahanam ketuanan bangsa kita ini.
Lihatlah apa yang telah terjadi di Afghanistan, Iraq dan Palestin sebagai contoh untuk kita jadikan sebagai iktibar, janganlah hendaknya negara dan bangsa yang tercinta ini menjadi mangsa yang seterusnya lantaran perbuatan kita sendiri. Nauzubillah.
Kelak, kita akan sentiasa di cerca oleh anak cucu lantaran kegagalan kita mempertahankan kedaulatan bangsa dan bumi yang tercinta ini. Teman telah belajar dari sejarah lampau, pernah melihat sendiri (tragedi reformasi), dan tidak mahu menggingati lagi titik-titik noda yang pernah melanda bangsa dan negara ini. Biarlah apa yang telah berlaku itu dijadikan sebagai pengajaran dan sempadan untuk kita lebih berhati-hati dengan sebarang bentuk tindakan dan ingin di lakukan.
Dari Abu Hurairah r.a: Nabi s.a.w telah bersabda: “Sesiapa yang mentaati aku maka dia telah mentaati Allah dan sesiapa yang derhaka kepada aku maka sesungguhnya dia telah derhaka kepada Allah. Sesiapa yang mentaati pemerintah maka dia telah mentaati aku dan sesiapa yang menderhaka pemerintah maka dia telah derhaka kepada aku” (Sahih Muslim : No. 3417)
Dari Ibnu Umar r.a: Nabi s.a.w telah bersabda: “Wajib ke atas setiap orang muslim mendengar serta taat kepada arahan samada dia suka atau tidak kecuali dia diperintahkan supaya melakukan maksiat. Sekiranya dia diperintahkan supaya melakukan maksiat maka janganlah dia dengar dan mentaatinya” (Sahih Muslim : No. 3423)
Bersama-sama coretan ini diselitkan juga gurindam ‘Oh Bangsa Melayuku’ sekadar untuk di renungi bersama, moga dapat di ambil sebagai pengajaran. Besar harapan hati ini, untuk melihat seluruh umat melayu bersatu dan berjuang di bawah satu suara dan mengembling seluruh tenaga untuk meninggikan martabat agama, bangsa dan negara. ‘Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’.
Hanya sekadar luahan rasa.
Wallahu’lam.
OH BANGSA MELAYUKU
Sejarah Melayu sebenarnya hebat
Namun dicemar Inggeris keparat
Propaganda bohong itulah hakikat
Namun Melayu termasuk jerat
Melayu mula ditimpa musibah
Pabila Inggeris datang menjajah
Adat dibuang, agama disanggah
Akhirnya Melayu mendapat ‘tulah’
Bumi Melayu pernah terbilang
Sejarah rajanya penuh gemilang
Turunan penjajah, entah mana menghilang
Turunan Raja Melaka, tetap ditatang
Bangsa Melayu pernah berdaulat
Terbilang merata, kesultanannya hebat
7 bangsa penjajah cuba menempat
Dengan kudrat semua dihambat
Namun ianya sejarah silam
Sekarang bangsaku menjadi kelam
Sering bergaduh siang dan malam
Fitnah dan domba tak pernah padam
Melayu yang ada sering tak sebulu
Bergaduh sentiasa tak jemu-jemu
Mencemuh dan maki sentiasa berlaku
Tak nak bersatu sejak dari dulu
Bangsa lain tak pernah begitu
Bantalnya lain mimpinya satu
Agenda bangsanya dijadikan satu
Untuk setara dengan orang Melayu
Apakah bangsaku tak pernah tahu
Bangsa asing sering menunggu waktu
Untuk menjajah seperti dahulu
Dan menjadi tuan di bumi Melayu
Mustahilkah UMNO, PAS dan Keadilan bersatu
Memperjuangan Islam dan juga Melayu
Wardah dan suara hanya satu
Melupakan segala sengketa yang dulu
Bangkitlah bangsaku bersama-sama
Bersatu padu berganding tenaga
Mendaulatkan agama dan juga bangsa
Menjadi tuan di bumi kita
No comments:
Post a Comment