23 August 2013

James Bond Gemuk PKR Marah, Bila Pemuda Umno Dianggap ‘Hero Mahasiswa’



Seperti yang telah diduga, pakatan pembangkang sudah pasti tidak dapat menerima hakikat, apabila melihat Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang diangkat sebagai ‘hero mahasiswa’. Ia ekoran dari tindakan Pergerakan Pemuda Umno yang dilihat berjaya mempertahankan kehendak rakyat agar kerajaan tidak melaksanakan cadangan, untuk menyenarai hitamkan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang ingkar.

Ini kerana, pakatan pembangkang mungkin merasakan isu tersebut sepatutnya menjadi modal mereka untuk terus menarik sokongan rakyat dan di masa yang sama menyemai sentimen kebencian di kalangan mahasiswa. Buktinya, apabila mereka terpaksa menghantar Pengarah Strategi, Rafizi Ramli atau lebih dikenali sebagai ‘James Bond Gemuk’ untuk membidas tindakan Khairy itu.


Walaupun Khairy merupakan ahli kabinet, namun tindakannya yang begitu konsisten melalui Pergerakan Pemuda Umno dalam memperjuangkan isu anak muda sedikit sebanyak telah mengurangkan persepsi yang dimainkan oleh pembangkang.

Tindakan Pemuda Umno yang membantahkan cadangan Kementerian Pendidikan itu akhirnya diterima, apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib memutuskan untuk menolak cadangan tersebut melalui mesyuarat jemaah menteri yang diadakan baru-baru ini.

‘James Bond Gemuk’ ketika memberikan kenyataan membidas Khairy semalam, mengatakan kononnya kerajaan tidak berhasrat membatalkan penggunaan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) terhadap peminjam PTPTN sebaliknya hanya menangguhkan pendekatan tersebut. Sebenarnya dalam bahasa mudah, Rafizi sebenarnya ingin menghidupkan kembali cadangan pakatan pembangkang berhubung isu pendidikan percuma.

Persoalannya ialah, apakah ketika mesyuarat jemaah menteri tersebut, Rafizi turut hadir bagi mendengar sendiri keputusan yang dibuat oleh kerajaan? Atau dia hanya sekadar ingin membangkitkan isu kerana marah dengan peranan yang dimainkan oleh Pemuda Umno.

Apa pun keputusannya ialah pengunaan CCRIS tidak akan dilaksanakan. Walaupun dari satu segi, cadangan tersebut dianggap tidak kena pada masanya, namun dari satu sudut ia adalah merupakan satu usaha yang murni. Ini kerana cadangan tersebut bertujuan untuk membolehkan pinjaman tersebut terus dapat disalurkan kepada mereka yang lain.

Ini kerana dengan tabung ini jugalah, ramai anak-anak Melayu khususnya mereka di luar bandar yang datang dari keluarga miskin dan susah dapat menyambung pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awan dan Swasta (IPTA/S). Sekali gus membolehkan mereka meneruskan cita-cita dan harapan keluarga untuk mendapatkan pekerjaan dan menjadi anak yang berguna.

Malah pendekatan ini juga mampu memberikan galakan dan motivasi kepada golongan mahasiswa agar belajar dengan bersungguh-sungguh agar mampu mendapat keputusan yang cemerlang. Ini kerana, dengan keputusan tersebut semua pinjaman mereka akan bertukar menjadi biasiswa atau dalam kata mudah, mereka secara tidak langsung telah pun mendapat pendidikan percuma.

Atau mungkinkah isu ini sengaja dibangkitkan bagi menutup kesilapan mereka yang gemar menganjurkan himpunan jalanan? Ini kerana setiap kali program tersebut diadakan, mereka akan meminta mahasiswa untuk turut menyertainya sehingga menyebabkan ada dikalangan mahasiswa gagal mendapat keputusan yang cemerlang kerana diganggu dari mengulang kaji pelajaran.

Itu belum dicampur dengan ceramah politik yang diadakan hampir saban malam, sehingga menyebabkan ada mahasiswa yang ‘terpesong’ sehingga mereka dibuang dari pengajian.

Yang hairannya ialah, sekiranya benar pakatan pembangkang ingin memperjuangkan pendidikan percuma, mengapa sehingga ke hari ini semua cadangan tersebut tidak dilakukan di negeri-negeri yang dikuasai oleh mereka seperti di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan?

Bukankah ia membuktikan pakatan pembangkang hanya ingin membodohkan rakyat dengan pendekatan yang mereka sendiri tidak mampu untuk laksanakan?

Hanya sekadar renungan. Fikir-fikirkanlah!!!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...