25 August 2013

Tanda Putera : Apa Yang Kontroversi – Zizan Nan



Pelakon dan pengacara, Zizan Nin menjelaskan isu yang timbul gara-gara penangguhan tayangan filem terbaru lakonannya, 'Tanda Putera' merupakan tuduhan dan lemparan daripada orang yang belum lagi menyaksikan filem tersebut.

"Filem 'Tanda Putera' ini ceritanya berkisarkan sejarah. Apabila sudah ditonton, sebenarnya tak ada apa-apa pun. Cuma isu itu timbul akibat tuduhan dan lemparan yang diberikan oleh orang lain tanpa melihat filem ini terlebih dahulu. Kami barisan pelakon dan tenaga produksi langsung tak cipta apa-apa kontroversi. Saya juga amat bersyukur akhirnya filem ini diluluskan untuk tayangan," jelas Zizan ketika ditemui di Majlis Tayangan Filem Tanda Putera di The Gardens, Kuala Lumpur.

Mengulas mengenai cabaran yang ditempuhinya sepanjang menjayakan filem ini, Zizan memberitahu yang proses persiapan filem ini agak besar.

"Cabaran memang banyak, apa-apa projek sekalipun ada cabarannya tersendiri. Tetapi ini merupakan projek filem, jadi proses persiapannya agak besar. Kami melalui proses latihan lakonan selama tiga bulan, jadi sepanjang waktu tersebut, saya asingkan diri dari dunia luar. Pihak produksi memberikan latihan yang menakjubkan. Seawal 10 pagi latihan sudah bermula. Kadang-kadang berlarutan sehingga ke jam 2.00 pagi," cerita hero drama bersiri 'Ku Milikmu' ini.

Dalam perkembangan lain, Zizan telah mula menjinakkan diri dengan kerja-kerja di belakang tabir iaitu selaku Penerbit Eksekutif. Zizan telah terlibat dalam pembikinan drama bersiri 'Fatamorgana' untuk siaran RTM. Ujar Zizan, minat sebenarnya lebih kepada bidang penulisan. Selain bergiat sebagai Penerbit Eksekutif untuk drama 'Fatamorgana', cerita asal drama itu adalah daripada Zizan sendiri. Selepas ini, Zizan ada perancangan untuk menghadiri bengkel penulisan dan sebagainya untuk memperkemaskan lagi kebolehannya.

Zizan juga bakal muncul dalam drama bersiri 'Opah' untuk siaran RTM dan drama 'Strawberi & Karipap' menerusi siaran Astro Warna.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...