Oleh : Tan Sri Abdullah Ahmad
Dulu Nasser 'suara, simbol' Arab, salah
hitung jadi Mesir, waspada TPP! Pesta Aidilfitri yang berterusan tidak dapat
mengurangkan kesedihan saya melihat bumi Mesir, Syria, Iraq, Libya,
Afghanistan, Kashmir, Pakistan, Bahrain dan Myanmar terus menerus berdarah;
mereka seagama dan yang lain turut tanpa berhenti dilumuri darah. Hati mana
kecuali hati batu yang tidak hancur?
Darah mana tidak mendidih kecuali darah beku?
Sebab peristiwa berdarah di Mesir, saya menangguhkan menulis episod kedua kisah
elBadawi dan 'buku'nya. Apa pun tegas seorang editor Cina kepada saya di Rumah
Terbuka Aidilfitri CIMB Isnin lepas: "penyunting, penyokong elBadawi gagal
mencapai objektif yang dingini mereka; buku mereka misfired completely-
betul-betul tak mengena!"
Peristiwa di Mesir, saya suka memberi sedikit
pandangan: andainya wujud seorang patriot seperti Gamal Abdel Nasser di Mesir
pada kurun 21, besar kemungkinan Mesir tidak seperti kini. Nasser besar-benar
'suara dan simbol' semangat dan etos Pan-Arabism - anti penjajahan dalam apa
bentuk pun. Ramai manusia Arab bersorak meriah kerana 'Arab Spring'. Sekarang
ramai pula menangis melihat tragedi menimpa negara mereka.
Campur tangan kuasa Barat di Libya, Iraq,
Syria, Afghanistan menyebabkan perang mazhab atau sekterian.
Di Bahrain, protesters dan demonstrasi
ditumpaskan secara kejam. Di Yemen, 'perang drone' oleh Amerika Syarikat tidak
kelihatan akan tamat. Apa akan jadi pada Mesir, negara Arab terbesar dengan 80+
milion penduduk? Apa akan jadi pada bangsa Arab yang berjumlah mencecah 250 milion
itu? Yang jelas seterunya, dekat dan jauh, bertepuk gembira.
Sebelum Mohamed Mursi, dari Ikhwanul Muslimin
dipilih presiden civilian yang pertama melalui peti undi yang sahih, Mesir
diperintah oleh tentera semenjak revolusi tahun 1952. Dalam tahun 1953, Mesir
diisytiharkan sebuah negara republik. Dua tahun kemudian, Kolonel Gamal Abdel
Nasser jadi Presiden Mesir dan kembali ke Rahmatullah tahun 1970; diganti oleh
Anwar Sadat (dibunuh oleh Islamis tahun 1981).
Kuasa lepas ke tangan Hosni Mubarak sebab
rusuhan berdarah yang mengorbankan banyak nyawa dalam tahun 2011, diketepikan
dan dipenjara. Pada mulanya yakni sebelum Nasser, Jeneral Mohd Naguib
memerintah menggantikan King Farouk.
Datuk Razak Hussein, ketika itu Setiausaha
Kerajaan Negeri Pahang yang juga Timbalan Presiden Umno, telah menamakan anak
sulungnya, iaitu Perdana Menteri kita sekarang Najib sempena nama Jeneral Mohd
Naguib yang bersama Nasser mengepalai pemberontakan tentera langsung
menghapuskan monarki di Mesir.
Nasser dengan segala kelemahannya amat
popular kerana dia jujur, hidup simple dan sederahana; disayangi dan disanjungi
oleh seluruh umat Arab hingga sekarang pun sebagai pemimpin nasionalis Arab
tulen yang tidak berkompromi dengan kuasa Barat.
Dia sanggup membayar harga apa pun, berapa
tinggi pun asalkan kedaulatan Mesir, maruah Arab dan Islam terjamin dan
dihormati oleh kawan dan musuh. Nasser menghaknegarakan Suez Canal, membina
Aswan Dam.
Nasser bersama Nehru, Tito, Sukarno, Nkrumah
adalah pemimpin Afro-Asia yang berpengaruh dan disegani oleh Amerika Syarikat
dan Soviet Union ketika Perang Dingin apabila kedua super power bersaing hebat
dalam tahun 50 dan 60an. Nasser tidak membenarkan, tidak rela Mesir
dimanipulasikan oleh kuasa Barat juga pihak Komunis.
Awal 1960-an saya mengiringi Tun Razak
tatkala itu Timbalan Perdana Menteri bersama bapa Khairy Jamaluddin (Jamaluddin
Abu Bakar), masa itu bertugas di kedutaan kita di Kaherah dan lima tahun senior
saya di MCKK dan rombongan pegawai lain bertemu Nasser di Istana Tetamu Abidin
di Kaherah.
Zaman Nasser, Amerika atau Soviet Union
seperti ditegaskan oleh Speaking: "has never succeeded in persuading
Nasser to do what Washington or Moscow wants." Penggantinya Anwar dan
Mubarak sebaliknya pula amat pro-Amerika Syarikat dan negara Barat kononnya
kerana mereka realis; berdamai dengan Israel. Kuasa besar tidak berjaya
menjadikan Nasser juga Mursi pak turut! Kerana itu, antara banyak sebab Mursi
'digulingkan'.
Pemimpin ummah dan negara Islam, termasuklah
kita, nampaknya tidak mengambil iktibar sejarah. Semenjak bila kuasa Besar
tidak hipokrit dalam tindakan, dasar dan perbuatan mereka? Kalau negara Islam
dan pemimpinnya terus membenarkan mereka dimanipulasikan umat Islam akan terus
berpecah-belah.
Inilah masanya negara Islam lebih assertive,
lebih tegas ketika Amerika dilihat makin lemah di bawah Presiden Obama yang
tidak konsisten, adakala ragu-ragu dan bertindak mengikut angin politik. Mursi
- to his credit - walaupun presedensinya belum stabil tidak begitu bersedia
untuk mengikut rentak lagu dan irama kuasa Barat dalam pemerintahannya.
Dia telah menerima padah sebab kemerdekaan
dan kedegilannya. Kita di Malaysia harus jangan tergopoh-gopoh dan mesti lebih
waspada, lebih cermat terhadap perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP). Kalau
TPP begitu bagus kenapa Indonesia dan Filipina - kedua ekonomi lebih besar dari
kita - tidak akan menyertainya? Salah hitung, salah caturan main politik dan
diplomasi; kurang tegas kita bisa jadi Mesir!
Saya tidak hairan langsung Saudi Arabia,
Kuwait dan negara Emirate menyokong penuh pemerintahan sementara di Mesir
dengan menghulurkan bantuan segera tanpa syarat berjumlah 12 bilion Dolar
Amerika sebagai permulaan; juga kebebasan Mubarak dari penjara kepada tahanan
di rumah.
Kerajaan sementara di belakangnya adalah
Jeneral Abdel Fattah al-Sisi- walaupun Naib Presiden Mohamed El-Baradei,
pemenang/laureate Hadiah Nobel, tokoh Mesir yang disegani oleh dunia
antarabangsa meletak jawatan kerana tidak bersetuju dengan pemerintahan menggunakan
kekerasan terhadap protesters, kutukan oleh Amerika Syarikat dan negara-negara
Kesatuan Eropah terhadap rejim baru Mesir - tidak akan menyerah kepada
Ikhwanul Muslimin apa jadi pun. Inilah
tragedi Mesir sebenarnya: tidak ada lagi titik pertemuan untuk berdamai. Maka
darah akan terus mengalir dan ramai lagi akan hilang nyawa, cedera dan cacat. Duit
pertaruhan saya- semata-mata kerana mahu menang betting politik - adalah pihak
yang bersenjatakan bedil, meriam dan peluru akan menang.
Tegas Mao Zedong: "kuasa datang dari
muncung senapang." Juga melalui peti undi. Di Mesir, jelas siapa akan
menang pada akhirnya. Hasil peperangan Iraq anjuran Amerika: yang untung adalah
seteru AS iaitu Iran dan mazhab Syiah. Peristiwa di Mesir menguntungkan Israel!
No comments:
Post a Comment