Oleh : Mohd
Ayop Abd Razid
Toleransi beragama adalah aspek penting dalam
menjaga kerukunan dan keharmonian masyarakat Malaysia. Aspek ini perlu disemai
dan dipupuk sejak kecil dan peranan ini mesti dilakukan oleh keluarga dan
diperkukuh di peringkat pendidikan formal.
Semua kaum di negara ini dengan pelbagai
anutan agama mesti mengelak diri daripada menyentuh sensitiviti penganut agama
lain serta menjauhi sikap ekstremis. Sikap fanatik terhadap kaum dan agama
secara membabi-buta sehingga tidak mempedulikan kepentingan orang lain juga
mesti dijauhi.
Jauhi semangat taksub
Semua kaum di negara ini mesti mengamalkan
kembali budaya toleransi, berbincang dan berunding secara terbuka supaya
kedamaian dan keamanan negara dapat terus dinikmati. Melalui perbincangan
secara terbuka akan lahir semangat saling menghormati serta bersedia menerima
perbezaan pandangan dan pendapat yang menjadi asas kepada amalan beragama di
negara ini.
Kepelbagaian kaum dan agama di negara ini
sewajarnya dapat memperkukuh aspek kenegaraan terutama dalam membina perpaduan
nasional dan solidariti sosial. Justeru, semangat taasub yang keterlaluan dalam
memperjuangkan kepentingan sesuatu kaum serta memperlekeh dan menghina penganut
agama lain sewajarnya dihindari bagi mengelak konflik kaum dan agama yang boleh
meruntuhkan kesepaduan sosial masyarakat Malaysia.
Kita sewajarnya mengambil iktibar daripada
pelbagai konflik agama yang menyebabkan pertumpahan darah seperti di Myanmar
dan Sri Lanka yang membabitkan penganut agama Buddha dan Islam. Beratus tahun
dahulu berlaku Perang Salib di antara Kristian dan Islam yang menyebabkan
banyak nyawa terkorban. Semuanya itu berlaku disebabkan kepercayaan dan
permusuhan beragama yang melampau.
Rakyat Malaysia sewajarnya bersyukur kerana
selama ini kepelbagaian agama menjadi kekuatan kepada perhubungan kaum di
negara ini. Selama ini semua pihak dapat bertoleransi dan berganding bahu tanpa
menyentuh sensitiviti agama dan perkauman. Jika pun ada, ia dapat dikawal
dengan baik dan setiap kaum akan segera kembali ke landasan yang betul mengikut
landasan perlembagaan dan penghayatan terhadap Rukun Negara.
Mereka sedar bahawa konflik kaum dan agama
yang sengaja dicetuskan dan diperbesarkan akan memporak-perandakan dan
menghancurkan negara. Namun, mutakhir ini pelbagai isu seperti penggunaan
kalimah Allah dalam Bible, penghinaan terhadap ibadah puasa dan sambutan
Aidilfitri, dibimbangi akan mengheret kepada konflik kaum dan agama. Mereka
yang terbabit dengan perbuatan seperti itu wajar dikenakan tindakan tegas serta
dibawa ke muka pengadilan bagi menerima balasan setimpal agar menjadi
pengajaran kepada yang lain.
Penulis yakin umat Islam di negara ini masih
bersikap rasional dan mempunyai tahap kesabaran yang tinggi. Namun bimbang
lukanya tetap berdarah sekiranya masih wujud provokasi berterusan terhadap
amalan umat Islam di negara ini. Kita mengharapkan penganut agama lain menjauhi
penghinaan sedemikian terutama melalui media sosial kerana kesannya cukup
mendalam.
Pemimpin setiap agama harus mendidik penganut
masing-masing agar menghormati amalan umat Islam di negara ini yang majoriti
berbangsa Melayu. Kita menyanjung tinggi tokoh tertentu yang tahu menghormati
sensitiviti umat Islam di negara ini. Contohnya, Presiden Majlis Jaksa Pendamai
Malaysia, Datuk Clarence Bongkos Malakun yang menggesa agar tuntutan untuk
menggunakan nama Allah dalam Bible digugurkan demi memelihara keharmonian
masyarakat majmuk Malaysia.
Semai nilai positif
Nilai positif dalam beragama mesti terus
disemai dalam masyarakat supaya dapat menghasilkan interaksi budaya dan agama
yang sihat di negara ini. Ambillah pengajaran daripada sejarah di mana ketika
zaman pemerintahan Bani Umaiyyah hingga zaman pemerintahan Uthmaniyyah,
golongan minoriti Yahudi dan Kristian boleh hidup harmoni dan aman damai
bersama umat Islam. Mereka menghormati amalan agama umat Islam dan umat Islam
pula menghormati pegangan agama mereka.
Kesimpulan, semua kaum di negara ini mesti
mengamalkan kembali budaya toleransi, berbincang dan berunding secara terbuka
supaya kedamaian dan keamanan negara dapat terus dinikmati. Melalui
perbincangan secara terbuka akan lahir semangat saling menghormati serta
bersedia menerima perbezaan pandangan dan pendapat yang menjadi asas kepada
amalan beragama di negara ini.
Bagi umat Islam di Malaysia, provokasi dan
penghinaan terhadap amalan agama mereka melalui media sosial yang semakin
meningkat seharusnya dapat memperkukuh kembali perpaduan mereka. Hanya
perpaduan membolehkan umat Islam mempertahankan maruah agama dan bangsa
daripada terus diperkotak-katikkan oleh mereka yang berniat jahat.
No comments:
Post a Comment