Hanya Sekadar Gambar Hiasan |
Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan
mengumumkan senarai 49 pertubuhan haram, termasuk kongsi gelap esok, kata
menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau berkata senarai yang
mengandungi nama pertubuhan, lokasi dan aktiviti yang terlibat pertubuhan haram
itu akan diumumkan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Abdul
Rahim Mohamad Radzi dalam satu sidang media.
“Pengazetan nama pertubuhan-pertubuhan haram
telah saya tanda tangani.
“Mereka (pertubuhan-pertubuhan haram) tidak
boleh menggunakan nama, lambang, menggunakan premis atau bergerak dalam satu
pasukan atas nama atau simbol yang disenaraikan itu,” katanya kepada pemberita
selepas menerima kunjungan hormat Duta Poland, Adam Waclaw Jelonek di
pejabatnya di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata pertubuhan-pertubuhan haram
ini boleh dikenakan denda maksimum RM15,000 dan penjara lima tahun. Ahmad Zahid
berkata langkah mendedahkan senarai pertubuhan haram kepada umum telah mendapat
sokongan NGO termasuk Majlis Peguam dan pertubuhan-pertubuhan pencegahan
jenayah.
Selain mengembalikan keyakinan rakyat, beliau
berkata langkah ini juga menunjukkan polis serius dalam membanteras jenayah di
negara ini,” katanya.
“Langkah ini diambil selepas Ops Cantas Khas
dan usaha mewartakan nama pertubuhan atau entiti haram ini, yang pada asasnya
untuk menformalkan tindakan undang-undang di samping membasmi kegiatan jenayah.
"Saya kira apa yang dilakukan adalah
mengikut undang-undang yang diperuntukkan bagi kami melaksanakannya dengan
sewajarnya," katanya.
Ahmad Zahid juga berkata KDN akan bekerjasama
dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk memantau aktiviti perniagaan
pertubuhan-pertubuhan haram.
"Kita tidak berkompromi dengan aktiviti
haram yang dijalankan pertubuhan-pertubuhan haram. Yang penting ialah rakyat
diberi perlindungan sepenuhnya," katanya.
“Saya kira kerjasama rapat dengan SSM
merupakan usaha yang dijalankan polis atau ROS (Pendaftar Pertubuhan). Apa yang
penting orang ramai perlu diberi perlindungan sepenuhnya,” katanya.
No comments:
Post a Comment