Selepas mengangkat sumpah menjadi ahli
kumpulan kongsi gelap, tiada istilah tarik diri atau letak jawatan dan hanya
mati menjadi satu-satunya jalan keluar. Peraturan asas itulah yang menyebabkan
kebanyakan ahli geng kongsi gelap tidak berani meninggalkan kumpulan
masing-masing dan ada kala berlaku kejadian pembunuhan di kalangan mereka.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan
Jenayah Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Datuk Abd Jalil
Hassan berkata sebelum menamatkan riwayat ahli mereka yang ingkar arahan, belot
atau mahu keluar geng, ahli terbabit terlebih dulu akan dikasari serta diugut.
“Berikutnya, ahli itu akan diancam bunuh dan
kemuncaknya ahli itu akan dibunuh. Semua tindakan ini dilakukan bagi menakutkan
ahli daripada meninggalkan kumpulan dianggotai mereka,” katanya kepada Harian
Metro.
Sementara itu, seorang ahli kumpulan kongsi
gelap yang mahu dikenali sebagai Burn, 36, berkata peraturan melarang ahli
keluar daripada kumpulan diguna pakai hampir semua kongsi gelap termasuk Geng
04, 08 dan 36. Menurutnya, istilah ‘keluar’
hanya merujuk kematian sama ada mati secara normal atau dibunuh rakan lain.
“Sekali masuk tiada jalan keluar... jalan
keluar hanyalah mati. Malah, istilah ‘keluar’ dianggap satu pembelotan bagi
kumpulan kongsi gelap,” katanya yang mendakwa kini sudah kurang aktif dalam
aktiviti kumpulannya.
Burn berkata, ada ramai ahli kumpulan kongsi
gelap pada mulanya tertarik untuk menjadi ahli atas pelbagai dakwaan
‘kelebihan’ yang diperoleh sekiranya menyertai pertubuhan itu.
“Kononnya, jika menjadi ahli kongsi gelap
mereka akan selamat dan tidak akan diganggu kumpulan atau individu lain, selain
ada ramai kawan sehidup semati yang akan membantu jika ada masalah dan pelbagai
janji manis lain.
“Namun, semua itu sebenarnya hanyalah indah
khabar daripada rupa. Apabila menjadi ahli, pelbagai yuran bulanan dilakukan
dan mulalah melihat banyak aktiviti sebenar kumpulan itu seperti pengedaran
dadah, pemerasan, ugutan dan pergaduhan,” katanya.
Menurutnya, apabila ada ahli yang insaf dan
mahu meninggalkan kumpulan, dia akan diugut dan dipukul.
“Bukan setakat dirinya, malah keluarganya
juga mungkin akan diganggu dan diperas ugut. Lebih kejam, pengikut yang mahu
meninggalkan kumpulan mungkin akan dibunuh,” katanya.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri
(KDN), Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi semalam mengumumkan nama 49
kumpulan kongsi gelap berbahaya dan masih aktif menjalankan pelbagai kegiatan
jenayah.
Menurutnya, kewujudan geng kongsi gelap itu
jelas menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966 pada
28 Ogos lalu menerusi Pewartaan P.U 272/2013.
“Pewartaan itu dilakukan mengikut peruntukan
Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) yang berkaitan dengan kuasa menteri
dalam mengisytiharkan sesebuah pertubuhan itu sebagai menyalahi undang-undang.
“Selepas diwartakan, tiada seorang pun boleh
menggunakan semula nama pertubuhan itu untuk didaftarkan sebagai pertubuhan
berdasarkan peruntukan Seksyen 7(3)(b) Akta Pertubuhan 1966,” katanya.
No comments:
Post a Comment