30 August 2013

Malaysia Sebuah Negara Merdeka SONGSANG




Berbeza dari 56 tahun dahulu, pelbagai perubahan demi perubahan negara dilihat kian rancak berlaku dan terus bergerak pantas seiring dengan kemodenan global. Walaupun boleh dikatakan masih muda, Malaysia mampu berdiri sendiri tanpa campur tangan asing selepas bebas daripada cengkaman pelbagai unsur imperialisme.

Kejayaan yang amat membanggakan itu bertepatan untuk membuktikan definisi kemerdekaan bagi golongan nasionalis yang telah berjaya dikecapi negara sejak 31 Ogos 1957. Namun, adakah erti kemerdekaan tersebut memadai untuk menzahirkan nilai kemerdekaan sebenar yang menyeluruh bagi setiap masyarakat di negara ini? Atau hanya merdeka pada zahir sahaja?


Menyebut kemerdekaan, sudah menjadi fitrah bagi setiap individu yang menginginkan kebebasan daripada sebarang cengkaman atau kongkongan unsur luar. Malangnya, disebabkan keghairahan mengejar kemerdekaan tersebut, ramai yang tidak menyedari hakikatnya mereka secara tidak langsung telah meletakkan diri dalam kongkongan hawa nafsu sehingga sanggup melakukan apa sahaja.

Buktinya, jika dahulu manusia sanggup bermandikan darah, berkorban mempertahankan agama dan tanah air untuk mengecapi kemerdekaan negara daripada penjajah, kini pertumpahan darah berlaku akibat perbuatan jenayah.

Begitu juga, penularan kes penyebaran ajaran sesat, penyelewengan politik dan ekonomi, gejala sosial, krisis dalam rumah tangga dan juga demonstrasi jalanan haram yang dilakukan oleh golongan yang terlalu mengejar kemerdekaan.

Inilah krisis kemerdekaan songsang yang dilihat semakin kritikal dan membimbangkan yang melanda negara ini terutama dalam kalangan golongan remaja sehingga sukar untuk dikawal oleh pihak berkuasa. Kesannya, individu itu sendiri yang akan binasa akibat terus terkongkong dalam cengkaman hawa nafsu dan penjajahan budaya luar yang ternyata bertentangan dengan akidah dan ajaran agama itu.

Lebih membimbangkan, ini bukan sahaja memudaratkan diri sendiri, tetapi boleh mengganggu gugat keharmonian yang dikecapi dalam masyarakat dan juga negara apabila terlalu mengejar kebebasan diri sehingga tidak boleh dikawal.

Ini sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: Bahawasanya mereka, usaha mereka telah tersesat di dunia ini sedang mereka menyangka mereka telah membuat kebaikan. (al Kahfi: 54)

Timbalan Dekan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Profesor Datin Dr. Azizan Baharuddin berkata, seperti gunting dalam lipatan, inilah menjadi punca kehancuran tamadun negara yang telah dibina dan diperjuangkan oleh tokoh tanah air untuk mengecapi kemerdekaan negara sehingga ke hari ini.

Realitinya kini katanya, dunia telah pun menuju ke arah kemerosotan tamadun apabila statistik mendapati manusia lebih memperuntukkan belanja besar untuk kegunaan yang mengundang kebinasaan berbanding sesuatu yang lebih penting.

"Kajian yang dijalankan oleh Program Pembangunan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) menunjukkan 780 bilion dolar diperuntukan untuk senjata dunia dan 400 bilion dolar untuk dadah dan narkotik di dunia berbanding hanya 6 bilion dolar untuk pendidikan asas dan 13 bilion.

"Statistik ini menunjukkan bahawa betapa masyarakat dunia memperuntukkan lebih banyak sehingga ratusan bilion ringgit kepada suatu yang berisiko berbanding hanya sedikit untuk perkara yang membawa kebaikan.

"Inilah kesan apabila lemahnya nilai tamadun dalam diri manusia yang kini dilihat semakin membimbangkan selepas pelbagai gejala negatif menguasai diri," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dr. Azizan yang juga pakar dialog peradaban berkata, Malaysia turut tidak terkecuali daripada mengalami krisis tersebut, sebaliknya dilihat semakin berleluasa mengikut kemajuan semasa. Ini katanya, menunjukkan bahawa jiwa segelintir masyarakat yang sebenarnya belum merdeka kerana terus terpenjara daripada kongkongan hawa nafsu dan perbuatan bertentangan dengan panduan nilai sebenar iaitu ajaran agama.

"Jiwa masyarakat dilihat terus dibelenggu oleh cengkaman keruntuhan moral dan nilai ketamadunan yang rendah. Setiap hari pasti ada sahaja kes jenayah dilaporkan berlaku di akhbar dan sebagainya.

"Kesannya, akan membuatkan masyarakat semakin saling berpecah, berleluasanya penindasan dan kezaliman. Hal kemanusiaan diketepikan dan berlaku malapetaka serta bencana di seluruh negara.

"Perkara ini jika dibiar berterusan akan menjejaskan kestabilan negara dan tidak mustahil keamanan yang kita kecapi hari ini akan berakhir dan menjadi sejarah," kata Azizan.

Justeru, Azizan berkata, sebagai masyarakat yang hidup dalam negara berbilang kaum, masyarakat terutamanya umat Islam harus bersatu padu dalam mencapai keharmonian masyarakat dan memajukan tamadun negara.

"Keunikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai berbilang bangsa dan agama harus dimanfaatkan dengan mempelajari dan memahami kepelbagaian budaya ini.

"Dengan memahami kepelbagaian, ia akan menjadikan masyarakat lebih harmoni kerana ia merupakan tunjang kepada keamanan dan kesejahteraan sebuah negara merdeka," ujarnya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...