Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri
Shahrizat Abdul Jalil berkata parti itu mempunyai struktur organisasi yang
cukup baik dan setiap individu mempunyai peluang serta tempat untuk
menyertainya asalkan dilakukan secara berhemah.
"Dalam Umno struktur kita begitu cantik
sekali, (ada) cawangan, bahagian, Wanita sebagai tulang belakang, sayap kanan
Pemuda (dan) sayap kiri Puteri, ada tempat untuk semua yang minat politik.
"Masuk cara berhemah dan cantik, tak
perlu nak masuk ikut 'belakang' (atau) 'tepi', masuk ikut 'depan',"
katanya ketika berucap dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pergerakan Wanita,
Pemuda dan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Jumaat.
Beliau berkata anggota ketiga-tiga sayap itu
akan terus menyokong dan memberi kekuatan kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib
Tun Razak, yang juga Perdana Menteri, untuk terus memimpin negara.
"Pada hari ini, Wanita sudah ada 1.2
juta anggota, Pemuda pun tidak kurang hebat dengan hampir 700,000 anggota,
Puteri kira-kira 400,000 anggota. Kesemuanya jika kita satukan, kekuatan kita
lebih kurang 67.8 peratus daripada keseluruhan anggota Umno," katanya.
Ketika ditemui pemberita, Shahrizat yang
kekal dengan pendiriannya untuk mempertahankan jawatan Ketua Wanita pada
pemilihan kali ini, menafikan beliau mempunyai kumpulan tertentu untuk dipilih
sebagai calon dalam pemilihan itu.
"Ramai yang nak bertanding, ramai yang
layak...jadi kita welcome. Kita tak ada kumpulan...biar kita beri kepada
perwakilan untuk memilih," katanya.
Selain itu, Shahrizat berkata jika dipilih
mengekalkan jawatannya, beliau akan bersungguh-sungguh membantu kemenangan
Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, termasuk dalam soal menarik
sokongan pengundi muda. Katanya Wanita juga disifatkan sebagai 'ibu'
yang boleh membantu mempengaruhi golongan pengundi muda.
"Kita pada hari
ini mendapat sokongan yang begitu baik sekali daripada kaum wanita. Dan kami
sebagai golongan ibu juga akan 'go all out' untuk bantu menarik sokongan
pengundi muda. Kita akan buat persiapan awal untuk mengembalikan semula
kepercayaan golongan sasar," jelasnya.
No comments:
Post a Comment