27 August 2013

Mampukah Palanivel Wujudkan Parti Tunggal Sebelum Bersara




Oleh Hassan Mohd. Noor

Bergabung sebagai satu parti tunggal mewakili masyarakat India. Itulah mesej yang disampaikan oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tengku Adnan Tengku Mansor ketika merasmikan persidangan perwakilan Parti Makkal Sakti Malaysia kali kelima di Kuala Lumpur semalam. Tujuan penggabungan itu adalah mewujudkan sebuah parti yang mewakili masyarakat India menjadi parti yang dapat menjalin kerjasama demi pembangunan dan kepentingan kaum itu. Mesej yang sama pernah dilontarkan pelbagai pihak sebelum ini tetapi tidak ada usaha-usaha yang konkrit dilakukan.

Harus diingat, penggabungan atau penyatuan ini memerlukan pengorbanan, kejujuran dan keikhlasan. Usaha penyatuan ini menjadi rumit disebabkan sikap ego, tidak mahu bertolak ansur serta tidak sanggup mengorbankan jawatan dan kedudukan masing-masing. Sikap jujur dan ikhlas amat penting dalam memenuhi matlamat penyatuan ini. Mungkin juga ada faktor lain yang menyebabkan penggabungan itu tidak dapat dilakukan.


Pada satu masa dulu, MIC merupakan parti tunggal yang mewakili masyarakat India yang menjadi parti komponen BN dan sebelum itu Perikatan. Parti Progresif Penduduk (PPP) yang juga parti pelbagai kaum turut dianggotai majoriti masyarakat India. Selepas berlaku ‘perselisihan’ dalaman MIC di bawah era kepemimpinan S.Samy Vellu, beberapa parti serpihan muncul yang dipimpin oleh bekas pemimpin kanan parti itu. Ada yang terus hidup sehingga ke hari ini dan ada yang berakhir begitu sahaja.

Kini, wujud beberapa parti yang mewakili masyarakat India berada di luar BN tetapi menyokong kerajaan termasuklah Makkal Sakti, Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) dan Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF).

Ku Nan melontarkan persoalan: “Kenapa perlu berpecah?...Kenapa perlu wujud banyak parti yang memperjuangkan perkara yang sama? ...Barangkali perlu dibuat analisa atau duduk semeja untuk memikirkan bagaimana mengatasi masalah ini. Apa yang lebih penting, penggabungan itu adalah bagi meraih kembali sokongan pengundi masyarakat India. Pada pilihan raya umum (PRU) lalu, BN hanya memperoleh 48 peratus sokongan kaum India. Jumlah itu perlu ditingkatkan kepada 60 hingga 70 peratus.

Memang tepat saranan Ku Nan supaya MIC yang menjadi parti tertua mewakili masyarakat India bersikap lebih terbuka mendengar pendapat dan membuat analisa mengapa terlalu ramai masyarakat India membentuk parti politik baharu bagi mewakili kaum itu. MIC mesti mencari di mana silapnya sehingga lahir begitu banyak parti yang mewakili masyarakat India.

Mungkin perkara ini berlaku pada era lalu. Kini MIC di bawah kepemimpinan baru yang diterajui oleh G. Palanivel. Beliau boleh melihat perkara ini dengan lebih serius. Dengan tempoh sehingga jawatannya berakhir atas kehendaknya pada tahun 2016, Palanivel yang mempunyai corak kepemimpinan yang berbeza dengan presiden sebelum ini boleh mengorak langkah untuk merealisasikan saranan Ku Nan ini. Beliau boleh mengambil peluang ini untuk duduk semeja bersama parti-parti berkenaan untuk mencari formula penyatuan.

Mungkin MIC boleh menubuhkan majlis pemuafakatan parti politik masyarakat India ini bagi menggerakkan usahasama dan penyatuan. Sebagai orang yang pernah bersama pemimpin terdahulu, Palanivel tentunya lebih arif di mana silapnya sehingga berlaku penolakan terhadap MIC dan membawa kepada penubuhan parti baharu. Eloklah Palanivel merintis jalan perpaduan ini. Jika berjaya, beliau pasti dikenang sebagai pemimpin yang dapat menyatukan seluruh parti masyarakat India melalui parti tunggal.

Dalam suasana sekarang serta berhadapan PRU akan datang, peranan atau tanggungjawab Palanivel nampak lebih besar. Beliau tentunya melihat keperluan ini dan memerlukan tempoh yang ada untuk memperkasakan parti MIC dan masyarakat India seluruhnya. Tanpa sebarang pertandingan bagi jawatan yang disandangnya kini, Palanivel yang mengambil alih jawatan itu daripada Samy Vellu pada Disember 2010 mempunyai lebih banyak masa untuk memikirkan soal penyatuan. Bukannya memikirkan soal pertandingan dalam parti yang hasilnya belum pasti mampu memperkukuhkan pengaruh dalam kalangan pengundi-pengundi.

Sejak dua bulan lalu, Palanivel sibuk mengadakan perjumpaan bersama semua ketua cawangan di seluruh negeri. Beliau turun ke akar umbi bagi menyelami dan mendekati anggota-anggota parti. Difahamkan, semasa perjumpaan tersebut, Palanivel lebih banyak bercakap mengenai usaha untuk memperkasakan MIC, mengembalikan semula kekuatan parti, mencadangkan perubahan perlembagaan dalam parti mengikut peredaran zaman, perpaduan dan peranan generasi muda.

Memang sudah tiba masanya, pemimpin MIC di semua peringkat memikirkan masa depan parti itu dengan lebih serius. Jangan terlalu fanatik, ghairah dan emosional tentang pemilihan parti kerana segala percaturan dalam parti tidak semestinya mewakili suara masyarakat India.

Penganalisis politik yang juga Ketua Penerangan MIC Wilayah Persekutuan, Anbumani Balan berkata, MIC perlu menerima hakikat yang sebenar mengenai segala ‘kisah benar’ yang berlaku pada dua PRU lalu, 2008 dan 2013. Sebagai sebuah parti politik dominan yang mewakili masyarakat India di negara ini, semua pemimpin dan ahli MIC perlu mendahulukan masa depan masyarakat India - khususnya aspek pembangunan dan ekonomi - satu agenda yang lebih besar bagi menjamin harapan mereka. Pertandingan dalam parti hanyalah salah satu proses demokrasi tetapi ianya tidak dapat menyelesaikan masalah masyarakat India di negara ini khususnya ketika MIC berada di- persimpangan politik yang cukup kritilkal.

Diharapkan, Palanivel serta seluruh kepemimpinan MIC dapat menggunakan kesempatan yang ada ini untuk memantapkan parti. Palanivel perlu diberikan masa dan ruang yang secukupnya untuk melakukan segala proses penambahbaikan politik yang relevan untuk tempoh sehingga menghadapi PRU akan datang. Sebenarnya, masih banyak yang perlu dilakukan. Selain melihat sokongan masyarakat India, MIC dan barisan kepemimpinannya juga perlu melihat sokongan orang Melayu dan Cina terhadap parti itu terutama di kawasan-kawasan yang pernah mereka wakili.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...